Doa dari hati

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang jauh di mata,
Semuga diberikan kesihatan yang baik agar dapat beribadat kepadaNya.

Ratna,
Keadaan di Haram semakin berkurangan. Jemaah haji mula berkumpul di Mekkah menantikan waktu wukuf di Arafah. Ramai juga yang menyatakan mereka semakin tewas dengan keadaan: cuaca, perjalananan dari hotel ke Haram, shopping, rakan sebilik dan sebagainya. Kata mereka, “Doakan kami agar diberi ketahanan diri sehingga sampainya waktu haji”.

Subhanallah!

Tidakkah awak merasa hairan Ratna.. sedangkan mereka berada di hadapan Kaabah, berada di Mekah. Bukankah ia tempat yang dikatakan paling mustajab untuk berdoa?

Ratna,
Seminggu ini kak Ngah berehat dari menerima tetamu Allah. Berehat menyediakan santapan untuk mereka. Banyak masa ditumpukan untuk menyudahkan manuskrip dan menjawab e-mail rakan-rakan blogger. Ada yang Kak Ngah jawab serta merta, namun ada juga yang Kak Ngah membacanya sahaja.

Rupa-rupanya masih ramai yang tidak mempercayai sesungguhnya Allah itu maha mendengar walau apa jua bahasa yang digunakan kepadaNya. Biarpun hanya lintasan hati yang dilafazkan ketika berjalan, berbaring, duduk dan berdiri. Sekalipun bukan di atas tikar sejadah.

Subhanallah! Astaghfirullah!

Tidakkah awak merasa hairan Ratna.. mereka mengharapkan orang lain untuk berdoa serta merintih bagi pihak mereka atas perkara yang lebih elok jika diri sendiri yang menyampaikannya.

Barangkali hati kak Ngah begitu keras malah tidak pandai menitiskan air mata apabila diminta memohon kepada Allah untuk mendoakan agar mereka berjumpa kembali barangan penting mereka – kucing, basikal anak, dokumen pejabat, kunci rumah dan sebagainya.

Tidakkah setiap hari mereka melafazkan – Ya Allah hanya kau yang disembah, tempat daku memohon pertolongan? Bukankah dalam doa iftitah seringkali mereka membuat akujanji, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku.. hanya untuk Allah Tuhan pencipta Alam”.

Bukankah dalam al-quran Allah berfirman, “Jangan menyandarkan sesuatu di antara makhlukKu selain dariKu”.

Dan Allah berfirman lagi,”Sesungguhnya daku memakbulkan segala doa bagi mereka yang berdoa kepadaKu dengan bersungguh-sungguh walau di bumi mana mereka berada”.

Ratna,
Subhanallah! Astaghfirullah!

Tidakkah awak merasa hairan apabila ada yang mahu menghulurkan bayaran agar dapat mendoakan untuk mereka?

Barangkali awak tidak merasa hairan apabila Kak Ngah bagaikan mahu menyatakan kepada mereka, “Belajarlah berdoa. Doa dari hati. Doa berkali-kali. Sesungguhnya hanya kita sahaja yang tahu apa yang dirasakan. Merayu, merintih dan menangislah di tengah malam sunyi kepada Allah yang menjadikan langit dan bumi”.

Jika benar, mereka percaya hanya Allah yang disembah.. tempat mereka mohon pertolongan. Jika benar, mereka beriktikad untuk menyembah dan beribadat hanya kepada Allah yang maha kuasa.

Ratna.. barangkali awak tidak merasa hairan, jika dahulu Kak Ngah menyalin di atas kertas setiap kali berjumpa dengan doa-doa atau kata-kata yang menyusuk qalbu. Sesungguhnya Kak Ngah tidak pandai berdoa…

Masyallah! Tabarakallah!

Ratna,
Sampaikan salam dari kami sekeluarga di Madinah al Munawarrah kepada emak, anak-anak, sanak saudara dan rakan-rakan di sana. Semuga kita diberi taufiq dan hidayah oleh Allah, mohon jangan dipalingkan hati setelah mendapatnya.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Haji, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>