Sunyi

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga diberikan taufiq dan hidayah dari Allah yang menciptakan langit dan bumi;

Ratna,
Tiba-tiba rumah kecil kami di Jabal Ohud menjadi sunyi apabila ketiadaan Amirul dan Sofea. Pagi-pagi lagi mereka sudah ke Madrasah Al-Houda. Selepas zohor baru mereka pulang.

Masyallah! Begitulah yang sering terjadi. Kita hanya merasakan kehilangan apabila suatu yang biasanya ada didepan mata.. kini tiada. Sedangkan semasa ada di depan mata, kita langsung tidak hairan dengan kehadirannya.

Ratna,
Sementara menanti kepulangan mereka, kak Ngah mengambil peluang mengedit manuskrip buku terbaru dan menjawab e-mail yang dihantar secara peribadi.

Kebanyakan e-mail datangnya dari kaum hawa yang gundah gulana dan berduka nestapa. Kak Ngah sentiasa mendoakan agar mereka dilimpahi cahaya petunjuk dari Allah dan berlapang dada ketika diuji. Ujian itu semata-mata kerana Allah mahukan kita dekat serta menghampiriNya. Berdoa dan merintih kepadaNya.

Masyallah! Sesungguhnya Allah itu maha lembut, maha pengasih lagi maha penyayang.

Ratna,
Dalam banyak-banyak e-mail, Kak Ngah tertarik untuk berkongsi tentang isu seorang wanita mulia ini. Barangkali ianya boleh diambil sebagai iktibar oleh kita sambil memikirkannya.

Wanita mulia ini menyatakan beliau adalah bekas pekerja dan akhirnya menjadi isteri kedua suaminya. Katanya, hidup ini bagaikan putaran roda, jika dahulu beliau hanya bekerja sebagai penyambut tetamu kini menjadi isteri kepada CEO, orang nombor satu sebuah syarikat besar.

Jika dahulu beliau terpaksa berkejar-kejar dan berasak-asak menaiki bas ke tempat kerja, kini suami menyediakan beliau sebuah kereta dan seorang driver. Katanya lagi, suaminya seorang yang sangat penyayang. Apa yang dimiliki oleh isteri pertama, pasti akan disediakan untuknya.

Masa berlalu, beliau dikurniakan tiga orang cahaya mata. Apabila anak-anak meningkat remaja, timbul keinginan untuk melihat suami membawa anak-anak lelaki pergi bersembahyang jemaah di masjid, pada hari Jumaat dan berjemaah bersama keluarga di rumah.

Tiba-tiba timbul keinginan untuk merasa suami pulang bersama-sama ke kampung halaman apabila tiba musim perayaan. Sedangkan selama ini, beliau akur dan sedar itu tidak mungkin berlaku.

Suaminya berkata,” Mintalah perkara lain yang boleh ditunaikan seperti pergi melancung ke luar negara atau melakukan umrah.Yang satu itu..minta maaf. Ia untuk isteri pertama.”

Tiba-tiba wanita mulia itu merasa kecil hati. Terasa tiada kebaikan lansung yang telah dilakukan oleh suaminya. Dia memberontak dalam hati namun terpamer dengan perlakuan.

Puas dipujuk, namun beliau cekal untuk terus merajuk sehingga beberapa lama. Akhirnya, barangkali bosan jadi suami sudah jarang-jarang pulang. Di saat beliau bernekad untuk berubah dan mengakhiri episod merajuk, tiba-tiba suaminya tidak muncul-muncul lagi.

Puas beliau menelefon pejabat suami dan telefon bimbit, namun sudah tidak berjawab. Kata wanita mulia itu, beliau menyesal. Terasa sunyi dan kehilangan. Dengar khabar jauh-jauh, tempat beliau sudah ada pengantinya yang lebih muda.

Ratna,
Menurut wanita mulia itu, putaran roda itu terus berlaku. Kini beliau berada disebelah bawah. Rumah mewah, kereta besar dan harta benda bagaikan tiada nilainya tanpa suami di sisi. Suaminya terus berlalu pergi dan tidak kembali.

Masyallah! Subhanallah!

Ratna..Kak Ngah jadi kelu mendengar rintihannya. Hanya doa dikirimkan setulus hati kepada Allah yang maha kuasa, agar suami wanita mulia itu terbuka hati untuk kembali kepangkuan keluarga.

Masyallah! Barangkali bagi lelaki..yang patah akan tumbuh. yang hilang akan dicari penganti.

Salam sayang dari kami sekeluarga di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Kerenah anak-anak, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>