Sup Berkrim

Sup berkrim : cendawan, carrot dan labu.

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga dirahmati Allah sentiasa,

Ratna,
Jemaah haji dari Mekah telah mula membajiri Madinah. Masih banyak lagi ruang di saf-saf hadapan. Namun, ada segelintirnya yang memang suka solat di ruang legar kawasan masjid sahaja, di tiang-tiang, di tepi tong sampah, di tepi pagar malahan disebelah tandas.

Barangkali itulah yang digambarkan oleh Allah di dalam al-quraan. Di Mekah dan Madinah adalah misal perbandingan atau gambaran kecil di padang mahsyar. Setiap manusia berhimpun mengikut puak dan amalan masing-masing. Mereka berpuas hati dengan daerah yang diduduki.

Bayangkan.. ada puak yang berada dalam Haram duduknya di saf hadapan – Mereka golongan awal – duduk di dalam suasana nyaman dengan pendingin udara, berkapet, mereka bersandar di tiang bersadur emas berdinding marmar dan disediakan air zam-zam. Masih di dalam Haram, puak di saf tengah – datang agak kemudian – mereka duduk di atas lantai marmar yang dingin, di sekitar tong-tong zam-zam, di laluan dan sekitar pintu masuk Haram.

Puak yang datang awal dan akhir – mereka duduk di luar Haram. Tanpa pendindin udara, tanpa bumbung, berlantaikan marmar meruap dan hanya disediakan karpet yang terhad. Air zam-zam disalurkan melalui paip – disitulah mereka minum dan mengambil wuduk.

Masyallah Tabarallah! Mereka semua duduk berteleku menantikan azan untuk bersembahyang. Gambaran di wajah mereka sama – mengharap belas ihsan Allah yang maha pengasih lagi penyayang.

Ratna,
Kelmarin kak Ngah ke Sauk Mandarin [pasar Mandarin] mencari bahan dan sayur-sayuran untuk pengambilan photo-photo masakan yang akan dibukukan. Masyallah! Tahukah Ratna..betapa nilai sayur-sayuran di sini – yang biasanya di Malaysia mudah terdapat dipasar-pasar malam?

Brokoli : SR 12
Sepokok batang caleri : SR 18
Cauliflower : SR 8
Cili merah kecil (Thailand) : SR12

Jadi, kami benar-benar menghargai sayur-sayuran ini di sini. Esok, kak Ngah akan belajar memasak sayur-sayur hijau di bumi arab yang tidak diketahui namanya dan cara memasaknya.

Semalam, sambil menunggu Amirul dan Sofea balik dari Madrasah..Kak Ngah membuka e-mail peribadi. Astaghfirullahalazim! Ada satu e-mail dari Puan Salomi Zakaria yang terlepas pandang. Beliau memohon resepi sup berkrim kegemaran anak-anaknya. Jika beliau membaca warkah ini… Ratna mohon sampaikan resepi ini kepadanya atau kepada sesiapa yang mahu mencubanya.

SUP CENDAWAN BERKRIM ( Cream of Mushroom Soup)

Bahan-bahan:
300 g cendawan butang segar [dihiris ]
1 batang leeks [dipotong nipis]
½ biji bawang besar [dicincang]
1 pokok parsley [dicincang halus]
1 – 2 sudu besar mentega
1 -2 sudu besar tepung gandum
500 ml air rebusan sayuran atau air rebusan ayam
200 ml susu segar penuh krim
100 ml krim [heavy cream]
Garam secukup rasa
Lada hitam atau lada sulah secukup rasa.

Cara membuatnya :
1. Panaskan mentega di dalam periuk besar. Masukkan bawang besar, cendawan, leeks dan parsley ke dalamnya.
2. Apabila bahan-bahan mulai layu, masukkan tepung dan biarkan seketika.
3. Masukkan air rebusan sedikit demi sedikit agar tepung tidak berketul. Biarkan bahan merenih selama 20 minit.
4. Masukkan susu tetapi jangan sampai mendidih. Ketepikan 1/3 cendawan untuk hiasan.
5. Kemudian kisar semua bahan dengan menggunakan pengisar tangan [hand mixer] atau mesin pengisar [blender].
6. Apabila semua bahan lumat, masukkan kembali ke dalam periuk dan panaskan.
7. Masukkan krim [heavy cream], cendawan yang diketepikan, garam dan lada hitam.
8. Hidangkan semasa panas dengan taburan cendawan dan sedikt hirisan parsley.
9. Enak dimakan bersama roti bawang putih di awal hidangan [starter]
Nota : Gantikan sahaja sayur-sayur [rebus dan kisar] untuk jenis-jenis sup yang berlainan.

Ratna,
Kak Ngah pernah berpesan kepada anak-anak sambil mereka menghirup sup berkrim panas ,” hidup ini biar jadi cream among the cream. Tengok.. heavy cream itu diletakkan di atas sekali. Kuantitinya tidak banyak tetapi diberikan penghargaan. Dihormati sebagai penyeri yang berkualiti. Benar, letaknya di atas sekali.”

Mereka mengangguk-angguk. Barangkali kerana faham..atau kerana menikmati rasa sup berkirm itu yang boleh tahan.

Sekian sahaja untuk kali ini. Sampaikan salam sayang dari kami di Madinah al Munawarrah untuk semua. Doa kami untuk semua sentiasa bermain di bibir dan di hati.

Barakallahufikum!

-Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Haji, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>