Jemput-jemput tulus ikhlas

Jemput ikan : ingatan kasih sayang wan

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan sekelian,
Semuga Allah permudahkan segala urusan dan disudahi dengan segala kebaikan.

Ratna,
Hari Khamis dan Jumaat, adalah cuti hujung minggu. Amirul dan Sofea tidak ke Madrasah. Pagi-pagi lagi mereka sudah bertanya,” Mama, kita makan apa tengahari nanti?” Sedangkan mulut masih mengunyah dan ditangan sedang mencecah jemput-jemput dengan kuah kacang.

“Tengahari ini kita tak makan apa-apa..”

“Ahhh! Mama ni..Dah siap ke buku mama? Buatlah buku lain, buku masak-masak lagi.. Amirul suka.”

“Sofea pun suka..”

Mendengar mereka berkata perkataan “Ahh!”.. lalu, kak Ngah segera menjalankan tugas sebagai ibu dan guru. Kak Ngah meminta mereka agar segera mengambil al-quraan. Lalu, kak Ngah bacakan sepotong ayat quraan kepada mereka dari surah al-Israa’, ayat 23 berbunyi begini :

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Kak Ngah katakan kepada mereka,” Amirul dan Sofea..sekarang mama masih sihat. Bagaimana kalau awak kata begitu ketika mama sudah tua dan tidak berdaya. Tambahan pula ketika itu mama menumpang di rumah awak.”

Mereka terkebil-kebil dengan penuh rasa bersalah. Kak ngah teruskan lagi.

“Tidak baik cakap begitu. Semakin tua usia sesaorang, semakin mudah terasa hati kecilnya. Perkataan “hah” pun terasa seperti anak menengkingnya.”

“Tua macam nenek ke mama?” tanya Sofea.

“Ya.” jawab Kak Ngah.

“Tapi nenek kalau masak rendang, masak lemak kobis dan jemput-jemput memang sedap..” sampuk Amirul.

“Sofea suka jemput-jemput yang Cik Yah dan Cik Ta goreng tu. Ada ikan. Nanti mama buat macam tu ya?” kata Sofea.

” Amirul nampak ayah ada beli ikan dalam peti sejuk. Jom kita buat. Favorite ayah jemput ikan tu.” kata Amirul.

Ratna tahu..ianya berakhir dengan kami sama-sama ke dapur. Amirul mengeluarkan ikan. Sofea mengupas bawang. Bila air untuk merebus ikan mendidih, tepung gandum sudah dibancuh…budak-budak itu hilang entah ke mana.

Ratna,
Bersama ini kak Ngah sertakan resipi jemput ikan istemewa dari ibu mertua, arwah Wan. Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Wan Fatimah Wan Sulaiman kerana meninggalkan ilmu yang bermanfaat dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

JEMPUT-JEMPUT IKAN

Bahan A
5 ekor ikan kembung atau ikan selayang
½ inci halia
Garam secukup rasa
1 keping asam gelugor
1 biji hirisan bawang besar

Bahan B
2 cawan tepung gandum
½ batang hirisan lobak merah
1 tangkai daun bawang
1 cawan air
Garam secukup rasa
Minyak untuk mengoreng.

Caranya :

1. Ikan direbus bersama halia yang dihiris, asam gelugor dan garam sehingga air mengeleggak. Tunggu sehingga ikan lembut dan masak.
2. Keluarkan isi ikan dari tulangnya dengan berhati-hati. Lecek isi ikan sehingga lumat dan masukkan hirisan bawang besar. Jika suka, tambahkan sedikit garam dan lada sulah.
3. Dalam mangkuk yang berlainan, bancuhkan bahan B sehingga adunan agak kental.
4. Ambil ½ sudu besar adunan tepung, masukkan pula sedikit ramuan isi ikan kedalamnya. Kemudian tutupkan isi ikan itu dengan ½ sudu adunan tepung.
5. Pastikan isi ikan berada di tengah-tengah adunan tepung.
6. Dengan menggunakan sudu atau tangan, masukkannya ke dalam minyak panas. Lakukan sehingga selesai.
7. Apabila jemput-jemput kelihatan kekuningan, angkat dan toskan minyak.
8. Jemput-jemput ikan sedap di makan panas-panas dan dicecah bersama sos cili manis.

Selamat mencuba.

Sekian sahaja untuk kali ini. Sehingga berjumpa lagi jika diizinkan Tuhan pencipta alam.

- Rumah Kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Kerenah anak-anak, Masakan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>