Berulang-ulang..

Baked fish with leeks. Menjadi hidangan mudah kerana proses berulang-ulang..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,

Semuga Allah menetapkan hati dengan memegang taliNya yang paling kukuh dan tidak berpaling lagi.

Ratna,

Semalam Amirul bertanyakan pelastik sampah hitam. Katanya untuk membuang sisa-sisa makanan. Kak Ngah tersenyum lega. Itu petanda proses yang dilakukan secara berulang-ulang mula terkesan. Kalau dahulu ia perlu diingatkan. Berjalan lancar beberapa hari, kemudian hilang jika tidak berpesan.

“Amirul..sudah banyak kali mama berpesan supaya pergi buang sampah. Nanti masuk semut, datang lipas. Amirul tidak dengar atau tidak faham? Bagaimana kalau suatu hari nanti Allah cabut pendengaran?”

Benarlah, rupa-rupanya manusia itu mudah terlupa. Malah sering pula perlu diingatkan. Masyallah! Patutlah Allah menguji manusia dengan pelbagai cara [ujian suka dan duka] untuk tujuan mengingatkan mereka agar kembali segera kepada Allah yang mencipta langit dan bumi serta alam semesta.

Subhanallah! Benar, memang Allah menceritakanya di dalam al-quraan perihal manusia yang perlu diingatkan secara berulang-ulang. Kelmarin kak Ngah terbaca terjemahan surah al-An’aam ayat 46 ada menyebut, Allah berfirman;

Katakanlah (wahai Muhammad): Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu dan Dia pula mengecap (memeterikan) atas hati kamu? Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu? Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling ingkar.

Ratna,

Antara solat maghrib dan Isyak semalam, seorang jemaah dari Jakarta duduk di sisi. Kami berbalas senyuman. Beliau kelihatan seperti seorang wanita berada. Katanya sudah beberapa kali datang ke Malaysia, melakukan pembedahan di hospital swasta. Entah mengapa Kak Ngah bertanya;

“Alhamdulillah, Allah menjemput ibu sebagai tetamuNya. Ibu masih sihat. Sedangkan adik perempuan bungsu saya juga pernah melakukan beberapa pembedahan dan ingin sekali ke sini menunaikan fardu haji tetapi tidak mendapat keizinan Allah. Namun dia sempat melakukan umrah. Masyallah! Setiap hari ibu mampu berjalan untuk beribadat di masjid?”

“Masyallah! Itulah yang saya fikirkan. Apakah pulang nanti saya mampu melakukan seperti apa yang dilakukan disini? Mampukan bibir dan hati saya berzikir, bertasbih kepada Allah dengan rasa tawaduk kepadaNya? Paling nyata..apakah nanti saya mampu berjam-jam duduk di dalam masjid atau di kamar tidur menantikan waktu solat?”

“Ibu..ramai teman-teman saya apabila pulang menyatakan kerinduan mereka terhadap Mekah dan Madinah. Kami pula menyatakan kepada mereka jika itu yang dirindukan..ayuh segera kumpulkan wang!”

“Ya..benar”

“Mereka merasai kemanisan beribadat di sini. Barangkali mereka merasa dekat dengan Allah sepanjang hari. Ia proses berulang-ulang dan berbekas di hati. Bila pulang..apa alasan yang mahu kita kemukakan? Tanyakan pada diri, mabrurkah hajiku ini. Apakah ibadatku, tingkahlakuku dan keikhlasan hatiku, lebih baik dari dahulu? Allah telah kurniakan ibu pelbagai nikmat…nikmat kesihatan. Nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?”

Entah mengapa..wanita Jakarta itu menangis teresak-esak. Sebelum pulang, beliau meminta e-mail dan no telefon untuk dihubungi. Akhirnya beliau berkata;

“Ibu.. kenapa Allah temukan kita di saat saya mahu pulang? Ucapkan sesuatu untuk buat bekalan.”

Masyallah! Lalu, Kak Ngah menarik tangannya ke rak-rak al-Quraan di saf hadapan dan katakan kepadanya;

“Ibu.. sebelum meninggalkan Madinah, hadiahkan diri sendiri dengan senaskah Al-Quraan serta terjemahaan seperti ini. Hayatilah isi kandungannya. Insyallah, ibu bertemu kasih-sayang Allah di situ.”

Sampaikan salam sayang untuk semua dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Haji, Kerenah anak-anak, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>