Kari tulang kacang kuda

Kari tulang kacang kuda. Ada tanda-tanda kemurahan Allah. Tidakkah kita mahu bersyukur?

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga dirahmati Allah sentiasa.

Ratna,
Minggu lepas adalah masa untuk Kak Ngah bermuhasabah diri. Kenapa? Kami menerima 2 berita tentang pemergiaan orang-orang yang dekat di hati. Sungguh, janji Allah itu benar. Setiap yang hidup, dipinjamkan nyawa sehingga tempoh tertentu telah dijanjikan dengan ajal. Ia datang tidak tercepat atau terlambat walau sesaat.

Berita pertama, rakan baik di UiTM Shah Alam mengadu sesak nafas disuatu pagi, beberapa jam kemudian beliau kembali ke Rahmatullah. Berusia di awal 50an.

Berita kedua, jiran belakang rumah di Ar-Raudhah Segamat, mengadu sakit dada sekitar jam 8 malam, beberapa jam kemudian beliau pergi menghadap illahi. Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak berumur antara 1-3 tahun.

Persoalannya, sempatkan mereka meninggalkan sebarang pesanan terakhir kepada orang tersayang? Sempatkah mereka melaksanakan perkara yang ingin dilakukan seperti apa yang terkandung di dalam doa awal Muharram?

Berita kematian – ia peringatan bagi kita yang masih hidup, agar tidak terleka dan disibukkan dengan urusan dunia.

Ratna,
Pagi semalam Kak Ngah menerima kunjungan dari seorang ibu. Beliau menghantar nota melalui kotak pesanan FB untuk datang ke rumah. Biasanya isteri-isteri di Madinah jarang sekali datang berziarah tanpa suami, tetapi beliau terkecuali. Rumah kami hanya sela beberapa blok, beliau datang dengan berjalan kaki.

“Maaf, menganggu pagi-pagi begini. Saya kebosanan tinggal di rumah.”

“Masyallah! Jadi apa yang puan lakukan ketika bosan?” Kak Ngah bertanya sambil menghidangkan roti tempayan dan kari tulang kacang kuda dihadapannya.

“Saya membaca quraan. Masyallah.. di Madinah ini saya mampu khatam al-quraan dalam tempoh sebulan.”

“Ya Allah..bukankah itu nikmat kelapangan masa yang Allah kurniakan kepada kita? Dahulu, saya sering mengeluh kerana tiada kelapangan masa. Sibuk..sibuk..dan sibuk sentiasa. Kini, apakah kita mahu mengeluh disaat Allah menunaikan permintaan kita?

Beliau mengangguk sambil menyuap perlahan roti yang dicicah kari tulang.

“Di Malaysia, pagi-pagi begini apa yang puan lakukan?”

“Oh, saya menjahit baju. Jadi ramai jiran-jiran yang sudah biasa dengan jahitan saya datang menempah pakaian. Namun, mohon maaf jika saya katakan kadang-kadang ia mengusarkan. Ada antaranya yang “membawa mulut” membuatkan saya tidak selesa.”

“Masyallah! Lihat, sesungguhnya Allah maha mengetahui bisikan hati, apa terkandung di dalam dada. Lihat, bagaimana Allah mengasingkan puan daripada mereka dengan penghijrahan ini. Hijrah itu indah jika lakukan kerana Allah. Pulang nanti apakah kita mahu berbalik ke belakang melakukan perkara yang sama?”

Beliau diam berfikir. Roti masih di tangan.

“Tidak mengapa jika menjahit itu dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Barangkali ketika itu kita boleh sibukkan bibir dan hati dengan bertasbih kepadaNya. Misalnya sambil memasak..daripada kita mendengar radio, televisyen atau menyanyi lagu yang sia-sia, bukankan lebih baik mengingati Allah? Membaca selawat atau menghafal surah-surah amal”

Beliau masih diam. Roti masih di tangan.

“Puan..kita semakin tua. Nyawa akan dicabut bila-bila sahaja. Jika mahu berubah ke arah kebaikan, lakukan sekarang. Bimbang, esok kita sesak nafas dan dipanggilNya kembali tanpa sempat kita berpesan-pesan kepada orang yang dikasihi.

Roti tempayan dan kari tulang kacang kuda..kering ditangannya.

Ratna,
Sampaikan salam sayang kami sekeluarga kepada emak, adik beradik, sanak saudara serta rakan taulan. Kami memohon maaf jika ada perkara yang melukakan hati mereka samada dilakukan dengan terang atau secara tidak sengaja.

Barakallahufiq!

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Masakan, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>