Apa kata mereka?

Salarwaty Abd Rahman
(Seorang ibu di perantauan, Madinah Al Munawarrah)

Saya rasa bagai bermimpi di siang hari apabila dipelawa untuk membaca dan memberi pandangan terhadap manuskrip buku Bukan Sekadar Resepi. Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran kepadaNya yang memberikan rasa gembira luar biasa di atas pengalaman indah ini.

Membaca buku ini membawa diri jauh mengimbau kembali zaman kanak-kanak. Ia zaman yang sangat indah. Saya boleh tersenyum sendirian teringatkan kisah diri dan adik-adik terutamanya ketika menghadap makanan seisi keluarga.

Sesungguhnya masakan daripada air tangan ibu memang tiada tandingannya dan akan sentiasa di kenang dan diingati walaupun telah berumahtangga dan beranak-pinak. Ia anugerah Allah kepada ibu yang bersusah payah mengandung dan membesarkan anak-anak.

Saya fikir itulah mesej utama yang cuba ditonjolkan oleh penulis, bagaimana resepi yang kelihatan ‘biasa-biasa’ boleh menjadi luar biasa melalui air tangan seorang ibu. Bezanya, ia dihasilkan dengan penuh kasih sayang.

Penulis bijak bermain dengan emosi pembaca. Hebat sekali bagaimana penulis mengaitkan setiap resepi dengan liku-liku perjalanan hidup beliau lalu disulami pula dengan petikan atau kisah-kisah daripada ayat-ayat suci Al Quran.

Saya amat tertarik pada tulisan penulis – Rahsia Kentang – tentang erti menghargai dan mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi. Nikmat Allah melata. Ia berbeza-beza mengikut banyak keadaan. Namun kita perlu berfikir. Misalnya, kita perlu bijak menggunakan sumber makanan yang ada pada sesuatu negara dan belajar menukar selera. Alah bisa, tegal biasa!

Ia terkesan kepada saya yang turut berada di perantauan.

Setiap resepi yang dipaparkan mengandungi makna kekeluargaan, persahabatan dan perkongsian dan kebesaran Allah SWT. Bagaimana resepi dan ilmu yang dikongsikan dengan setulus hati dapat memberi manfaat yang sangat besar kepada insan yang lain tanpa di sedari.

Memang benarlah buku ini Bukan Sekadar Resepi!

Ratna Roslan
(Adik yang telah merasai kesemua santapan Bukan Sekadar Resepi)

Barangkali saya tidak mempunyai merit untuk mempengaruhi khalayak membaca buku Bukan Sekadar Resepi ini. Saya adalah sebahagian daripada kehidupan penulis.

Membesar dan merasai hasil tangan masakan beliau, melihat kasih-sayang seorang kakak kepada adik-adik yang sedang membesar malah sentiasa di sisi ketika beliau sibuk di dapur ketika usia remaja kami.

Namun saya bergenang air mata apabila terpilih untuk membaca manuskrip ini. Ia satu penghormatan yang tidak terduga. Alhamdulillah.

Resepi masakan? Ia sangat biasa. Ia cuma resepi biasa yang mudah di dapati melalui buku-buku masakan. Sekiranya ‘resepi’ itu yang ingin pembaca cari, maka ia tidak menjadikan buku ini sebagai buku yang terlalu istimewa.

Namun jika pembaca inginkan resepi yang terus menusuk ke hati sanubari & minda, maka ia sebuah buku yang mungkin boleh dipertimbangkan. Malah ia satu-satu buku yang boleh dibaca oleh setiap lapisan masyarakat sama ada lelaki ataupun wanita, mereka yang sudah berkahwin ataupu bujang dan yang muda atau yang tua.

Membaca buku ini benar-benar mengimbau kenangan lalu & mengusik jiwa. Ada ketikanya saya terpaksa memberhentikan pembacaan kerana seolah tulang ayam tersekat di kerongkong, ada sebilah pisau menusuk ke jantung. Air mata tidak mampu disekat lagi. Ia berguguran di pipi.

Selitan beberapa nasihat secara tidak langsung juga amat bermakna buat pembaca. Jika ada yang berniat mencari resepi untuk santapan lahiriah, mereka pasti terlupa sejenak dengan niat tersebut kerana akhirnya mereka bertemu dengan sesuatu yang melangkaui niat asal.

Buku ini – lebih kuat pengaruhnya – apabila dikaitkan resepi atau makanan sebagai santapan kerohanian yang sepatutnya membawa manusia mendekatkan diri kepada Allah SWT. Benar, buku ini pada saya sesungguhnya bukan sekadar resepi.

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>