Anekdot..Bukan sekadar resipi

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga Allah memudahkan segala urusan serta disudahi dengan segala kebaikan.

Ratna,
Segala puji-pujian hanya untuk Allah, Tuhan pencipta alam. Kami baru sahaja selesai menyudahkan manuskrip dan foto-foto iringan bagi buku Bukan Sekadar resipi. Masyallah Tabarakallah! Rasanya menyudahkan buku ini bagaikan meluahkan segala isi hati, apa yang terbuku malah yang selama ini bergelodak di dalam dada.

Semuanya kak Ngah luahkan,bagaikan tidak tersisa. Biar nanti apabila kak Ngah telah perg dijemput illahii, ada insan lain yang turut menyedari bahawa setiap detik dalam kehidupan itu harus disyukuri. Biar ada yang berkata,

“Masyallah, aku juga alami perkara itu seperti dia.”

atau

“Ya Allah, kenapalah selama ini aku terlupa yang rupanya ibuku adalah guruku nombor satu!”

Ratna,
Sesungguhnya catatan “Bukan sekadar Resepi” ini… adalah bingkisan istimewa buat mereka yang mahu menghargai pergorbanan ibu yang pernah menyusui mereka sejak bayi. Ibu yang berjaga malam merawat sakit demam, ketika orang lain lena diulit mimpi.Ibu yang bersedih melihat anak sedih. Tertawa melihat anak gembira.

Juga bingkisan buat kakak yang pernah dititip menjaga kita ketika ibubapa tiada. Sedangkan kakak itu, sentiasa mengalah tanpa mempeduli kepentingan diri.

Malah hadiah buat mereka yang malu-malu mengucapkan terima kasih kepada isteri. Isteri, yang di awal perkahwinan mereka hanya tahu memasak lauk yang satu hasil ajaran dari ibunya. Isteri itu pula sentiasa berusaha mempelajari masakan kesukaan yang telah disuap oleh ibu suaminya sejak kecil lagi.

Lantas, jika sudi..jadikan ia wasiat serta pesanan buat rakan atau anak perempuan di hari perkahwinan. Biar dia tahu..hidup itu tidak selalunya indah. Yang indah hanyalah kenangan. Kenangan itu sudah tentu berbeza-beza, serupa tetapi tidak sama.

Katakan kepada mereka…”Wahai ibuku, kakakku, adikku, isteriku, rakanku dan anak perempuanku..Sesungguhnya dikau wanita yang mulia dihatiku. Cantik kejadianmu yang telah dicipta oleh TuhanKu pencipta langit dan bumi serta alam ini. Tidak pernah sekali dalam hidupku, luluh hati dan perasaanku mengenangkan bagaimana kiranya nanti jika kita tidak dapat berjumpa di dalam syurga.

Kecewa hatiku di akhirat nanti.. apabila melihat dikau terlontar malah terkapar-kapar. Sedangkan daku hanya mampu memerhati, tidak dapat melakukan apa-apa apatah lagi menyambut tangan yang dikau hulurkan.

Allah ya Allah..Sesungguhnya daku tidak layak masuk ke syurgaMu, namun..daku tidak sanggup menghadapi percikan bahang api nerakaMu. Ampunkan daku ya Rahman, ya Rahim, ya Robbilalamin.

Ratna,
Sampaikan salam sayang dari kami buat emak, adik-beradik, ipar duai, sahabat handai semua. Kami sentiasa mendoakan agar mereka diberi taufik dan hidayah serta rahmat Allah dan tidak dipalingkan hati darinya.

Sekian.
- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Masakan, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>