Mengaji Quran

Al-Quran Penawar hati

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga sentiasa dirahmati Allah.

Ratna,
Sudah seminggu kak Ngah dan Sofea melihat kumpulan-kumpulan kecil mula mengaji semula di Haram. Mereka kumpulan yang telah lama mendaftar. Kami dijadualkan mengaji pada 28 Muharram, InsyaAllah!

Sofea berminat sekali melihat kumpulan-kumpulan ini. Mereka terdiri dari pelbagai peringkat – kanak-kanak, remaja dan dewasa. Sofea akan duduk dekat-dekat kumpuan kanak-kanak yang sudah dihujung-hujung surah amma – surah panjang.

“Mama, budak-budak tu menghafal surah Iqra’.. Sofea tahu surah tu”

“Mama, kakak-kakak yang mengaji tu sebaya kakak Sara. Dia kena baca seorang-seorang surah panjang depan guru quran.”

Sofea memberi laporan. Kadang-kadang guru Quran memanggil Sofea agar datang dekat. Sofea duduk mendengar.

Semalam selepas solat Asar, sofea pergi melihat kumpulan dewasa pula. Kak Ngah juga duduk disekitarnya. Sesekali terdengar suara kuat guru menegur bacaan anak muridnya.

“Mama, nenek tua yang duduk sebelah mama tu rupanya guru quran. Garang!”

Sungguh, bergegar ruang kecil kami tidak sepadan dengan tubuh kecilnya yang terketar-ketar. Di suatu ketika lain, Sofea melaporkan;

“Mama, cikgu nenek tu tidur [tutup mata] tapi dia boleh tegur bila orang salah baca.”

Lalu, Kak Ngah katakan kepada Sofea

“MasyaAllah! Begitulah orang berilmu..barangkali orang melihat mata zahirnya tertutup tetapi mata hatinya terbuka.”

Allah ya Allah, dalam hati kecil Kak Ngah selalu berdoa..dapatkah suatu hari nanti jadi seperti guru itu? Ketika mata zahir ini sudah meraba-raba tetapi bibir mampu menyebut serta hati dapat melihat bait-bait kalam Allah dengan terang lagi nyata.

Ratna,
Suatu ketika dahulu, Kak Ngah pernah cemburu melihat rakan-rakan wanita yang mempunyai ruang mengikuti kelas al-quraan, mengenal huruf, membetulkan tajwid malah bertaranum. kak Ngah pula sentiasa di buru perasaan sibuk, sibuk dan sibuk. Sedangkan setiap seorang Allah telah peruntukkan masa 24 jam – kita boleh ke pasar malam, shopping mall, bersembang-sembang dengan jiran malah ke salon berjam-jam. Tetapi apabila kawan mengajak ke kelas mengaji al-quran – kak Ngah katakan kepada mereka,” Maaf, saya teringin sekali tetapi sibuk!”

Ya Allah! Daku mohon keampunanMu jika selama ini daku sering terlupa untuk mendalami dan memahami kalimahMu yang mahu membimbingku ke jalan yang lurus. Allah ya Allah, bibirku mengatakan “Ya saya mahu ” tetapi hatiku sebenarnya berdusta!

“Wahai hati..ringankanlah, biarkan daku menebus semula masa tersisaku yang telah dipersiakan sekian lama. Wahai dada..lapangkanlah agar daku dapat menerima ilmu dari kalam suci Tuhanku. Wahai lidah..lembutkanlah agar dapat daku menyebut sebutan al-quran dengan sempurna. Wahai Tuhanku..perkenankanlah. Ameen.

Ratna,
Sampaikan salam buat semua dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Kerenah anak-anak, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>