Sepotong roti

Sepotong roti..ada tanda-tanda kebesaran Allah.

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Selam sejahtera dan semuga di dalam peliharaan serta rahmat Allah sentiasa,

Ratna,
Semalam kak Ngah benar-benar terlupa membawa kurma sebagai juadah berbuka puasa. Tidak begitu gusar kerana kebiasaannya ada kariah yang sudi menghulurkannya sebutir dua.  Malahan ada yang membentang safrah. Di atasnya ada berjenis-jenis kurma, air zam-zam, roti , laban dan qahwah.

Namun, semalam tidak begitu. Sehingga hampir berbuka, tiada tanda-tanda ada kariah yang berbuka puasa di kawasan tempat kami beribadat. Allah hu Akbar, lalu, di dalam doa yang dipanjatkan sebelum azan ada kak Ngah selitkan kata-kata ini sambil tersenyum malu di dalam hati.

“Allah ya Allah, hari ini daku benar-benar terlupa membawa sebutir kurma untukku berbuka puasa. Minta-minta adalah kiranya sesiapa yang sudi memberi. Jika tidak, air zam-zam inipun sudah memadai.”

Dari jauh kak Ngah terpandang sekumpulan wanita yang sedia duduk di safrah mereka untuk berbuka puasa. Salah seorang darinya datang menghulurkan secawan qahwah halia panas dan segelas kurma kepada wanita muda yang duduk di sebelah kak Ngah. 

Sebaik sahaja kak Ngah menjatuhkan tangan ke atas riba, wanita muda itu bertanya,” Mahu qahwa?” Lalu, qahwah dan kurma itu dibahagia dua.

Masyallah Tabarakallah!

Dari jauh juga aroma roti mereka yang dicecah dengan rempah bersama laban, meruap-ruap. Cukup kuat bahkan amat menyelerakan bagi mereka yang kelaparan.

MasyaAllah Tabarakallah!

Melihat sepotong roti yang diagih-agihkan sesama mereka, mengenangkan kak Ngah kepada emak. Teringat bagaimana sebiji epal yang diracik kecil oleh emak untuk dikongsikan sesama kita. Setiap seorang mendapat bahagian kecilnya. Kita bahagia.

Tetapi itu dahulu. Ketika kita masih sebumbung bersama emak. Masih mengharap suapan air tangan emak. Barangkali hari ini, sebiji epal besar yang mampu kita beli tidak lagi selazat  racikan kecil itu.

Ratna,
Jauh-jauh begini, kak Ngah memohon agar awak mengingatkan kepada adik-adik yang lain. Katakan kepada mereka,”Jangan berkira dengan emak. Umpama memiliki sebiji epal, raciklah sebahagian kecil untuk diberi kepada emak. Biar emak merasa racikan kecil setiap bahagian dari epal adik beradik kita. Biarlah..barangkali 6 beradik yang tinggal, emak merasa 6 racikan kecil yang berbeza rasanya.”

Emak tidak pernah berkira dengan kita.

Dahulu..barangkali Kak Ngah mampu membeli sebakul epal. Lalu, sebahagian kecilnya kak Ngah hulurkan kepada emak. Kini, masa berubah..Kak Ngah hanya mampu membeli sebiji epal. Namun, biarlah..yang sebiji itu diberikan semuanya kepada emak. Lagipun..entah berapa lama lagi agaknya epal itu dapat dinikmati. Entahkan emak, entahkan kita pergi dahulu menemui ilahi.

MasyaAllah tabarakallah!

Ratna,
Salam rindu dari kami sekeluarga di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>