Travelog Cinta Abadi

Travelog Cinta Abadi: Masa yang berlalu

KESYUKURAN

Besok, saya tidak pasti apa yang bakal saya lalui. Besok terlampau panjang. Sejam daripada saat ini pun tidak jelas dan nyata, apatah lagi untuk memikirkan hari esok.

Jika sampai masanya dipanggil pulang, entah sempatkah saya berlari pulang ke pangkuan mereka yang tersayang untuk memohon keampunan dan mengucapkan selamat tinggal. Atau mungkingkah hari semalam sudah menjadi saat-saat terakhir bersama mereka.

Mungkinkah sebentar lagi adalah saat terakhir saya menyedut dan menghembus nafas, menghirup udara dan melihat semua yang saya sayangi di hadapan mata.

Lalu apa yang telah kita lalui merupakan satu nikmat yang telah dianugerah Allah. Bisikan hati terlalu kuat untuk merakamkan kisah semalam yang telah saya miliki. Semalam dan hari-hari sebelumnya yang sudah pasti berlalu bukan kerana perasaan bangga atau riyak tetapi lebih kepada mensyukuri segala nimat yang diberikan oleh Allah SWT. Barangkali ia boleh menjadi sempadan atau teladan kepada pembaca.

Travelog Cinta Abadi: Masa yang berlalu bukanlah sebuah novel khayalan atau imiginasi kreatif. Ia adalah secalit [mungkin tidak sampai pun secalit] warna-warna kehidupan yang telah dialami. Cuma bezanya, dulu ia berlalu tanpa tafsiran nyata tentang hakikat sebenar kehidupan yang telah saya lalui.

Saya bersyukur kisah-kisah semalam yang tercatat di sini dilalui bersama emak, abah, mak wa, tok abah, tok pak, adik-beradik, ipar-duai, rakan taulan, sanak saudara dan ribuan yang lain. Di atas segalanya, suami serta anak-anak mempunyai tempat ingatan yang paling istimewa. Mereka amat bermakna meskipun ia hanya sebahagian daripada tempoh perjalanan kehidupan tersebut.

Kehidupan setiap insan adalah aturan Allah yang telah ditetapkan. Ia bukan milik individu hatta pemegang watak utama. Lalu saya mohon keizinan ilham dari-Nya agar saya tidak hanya melihat sesuatu kejadian dengan pandangan mata semata-mata. Saya pohon kasih-sayangNya agar saya dapat melihat dengan hati dan perasaan.

Kenangan cerita diri. Ia benar-benar telah termaktub di dalam buku setiap insan, tertulis sejak azali. Dalam setiap kejadian atau peristiwa, bacaan hati dan perasaan yang terbuku ketika itu. Namun tafsiran dan pandangan terhadap peristiwa yang sama nyata berubah apabila masa berubah. Travelog Cinta Abadi: Masa yang berlalu meminta saya menoleh ke belakang, mensyukuri dan menikmati hari ini sambil meniti hari esok.

Saya hadiahkan catatan ini kepada khalayak pembaca sebagai satu ibadat yang diterima Allah. Ampunilah saya ya Allah!

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>