Travelog Impian Abadi

Buku ke 2 - Travelog Impian Abadi: Itu yang tertulis

KESYUKURAN
Travelog Impian Abadi: Itu yang Tertulis merupakan sambungan penulisan Travelog Cinta Abadi: Masa yang Berlalu yang merupakan satu siri merakamkan perjalanan kehidupan seorang insan yang tidak mustahak. Ia kisah biasa-biasa yang telah dilalui oleh orang biasa.

Bagaimanapun, sebagaimana yang saya catatkan sebelum ini – dalam keadaan yang tidak biasa – setiap catatan manusia biasa boleh menjadi satu ilmu yang luar biasa. Sedikit kesakitan yang telah dilalui oleh orang lain boleh menjadi penawar duka kepada pihak yang lain.

Hampir 1/3 perjalanan masa kehidupan – tempoh 20 tahun – telah dicatatkan melalui buku terdahulu. Ia hanya pembahagian masa kerana ilmu Allah tersangat luas, tiada batasan dan mustahil untuk dikupas oleh seorang insan yang fakir, tidak berilmu dan tersangat lemah.

Dan sekiranya segala pohon yang ada dibumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Luqman:27)

Seorang bayi yang dilahirkan bermula dalam keadaan bersih suci. Ibarat kain putih. Tidak terpalit sebarang tanda hitam yang mencacatkan pandangan. Kemudian, ia diwarnakan melalui pelbagai kisah kehidupan. Warna-warna inilah yang mencorakkan kehidupan seterusnya.

Setiap saat yang dilalui nyata dipenuhi dengan tanda-tanda kebesaran Allah. Misalnya, jika saya menoleh ke belakang, saya membayangkan suasana di zaman kanak-kanak di mana sawah bendang dan alam semesta adalah merupakan padang permainan. Setiap objek yang dipandang, disentuh dan dirasa memberikan sejuta pengalaman.

Suatu zaman ketika kegembiraan terlalu nyata dan tidak terbatas. Semuanya rasa dan pandangan yang berwarna-warni. Kini, setelah dewasa dan berumahtangga, saya mulai sedar yang apa yang diingati sebagai hanya kegembiraan sebenarnya mengandungi seribu pengajaran. Ia penting untuk mendidik anak-anak sendiri.

Saya melihat bagaimana saya membesar sebagai anak yang tidak berdosa. Doa atau lintasan hati seorang anak rupa-rupanya sentiasa diperkenan Allah. Bagaimanapun ia berlalu begitu sahaja. Tidak pernah terfikir bagaimana Allah memberi nikmatnya dengan penuh kasih-sayang supaya manusia bersyukur dengan apa yang telah mereka lalui.

Namun kain itu tidak sentiasa kekal putih.

Saya meninggalkan keluarga ketika berusia 18 tahun. Ia seolah-olah bermulalah satu perjalanan tanpa kawalan ketat mak dan abah. Jika ada sekalipun ia beransur-ansur melonggar secara semulajadi. Saya terdedah dengan perhubungan sama ada perhubungan sesama manusia, persekitaran dan pertembungan di antara keperluan emosi dan jasmani.

Perjalanan ini menjadikan saya bukan lagi seorang bayi atau remaja yang tidak berdosa. Kain putih itu mula tercalit dengan tompok-tompok hitam yang semakin lama semakin berbekas. Pelbagai dugaan dan ranjau nyata memberi kesan kepada kehidupan dalam meneruskan perjalanan panjang ini.

Namun kasih-sayang Allah sentiasa ada. Tuhan mahu kita menggunakan akal fikiran bagi menilai setiap titik-titik yang telah kita lalui melalui perjalanan tersebut. Malah – kalau mampu – kita perlu mentafsir dengan menggunakan mata hati. Saya melihat sesungguhnya manusia itu tersangat lemah lagi pelupa. Kita bergembira apabila Allah mengabulkan hasrat hati tetapi berasa sangat hiba apabila Allah melambatkan permohonan.

Sedekit demi sedikit saya mula mengerti yang Allah itu maha mengetahui apa yang tidak diketahui oleh hambanya. Allah akan memakbulkan setiap permohonan hambanya apabila sampai waktu di ketika saat yang paling tepat dan paling sesuai. Sayangnya, dalam kebanyakan kes, saya sendiri terlupa yang saya pernah membuat permohonan tersebut ketika Allah memakbulkannya.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (Al-Baqarah: Ayat 286)

Travelog Impian Abadi: Itu yang Tertulis meneruskan perjalanan mencari cinta abadi yang merupakan milik Allah. Marilah kita terus berfikir, sekecil mana peristiwa kehidupan yang dihadapi oleh manusia, ia adalah kepunyaan Allah SWT. Kita hanyalah insan kerdil yang pasti mengadapNya lalu kekal selamanya dengan satu kehidupan baru.

Selamat membaca, moga ia memberi manfaat. Jika ada salah-silap atau kekurangan diri, saya mohon keampunan Allah.

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>