Untuk renungan..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yan dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga diri dan keluarga dirahmati Allah sentiasa.

Ratna,
3 hari selepas perayaan natal, Kak Ngah menerima kiriman e-mail dari seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Natrah. Beliau kembali ke tanah air dari Amerika bersama 3 orang anaknya. Katanya kembali buat selama-lamanya. Beliau mahu berkongsi kisah, mudah-mudahan menjadi iktibar kepada yang mahu memikirkannya.

Natrah memulakan kisahnya sebagai “Cinta 2 benua”. Tiga tahun ketika kontrak syarikat kejuruteraan suaminya beroperasi di Malaysia, kehidupan mereka sangat bahagia. Hidup sebagai seorang Islam dengan cara hidup Islam. Kelahiran anak sulung menambah keceriaan hidup mereka suami isteri.

Apabila kontrak syarikat suami tidak di sambung, beliau bercadang untuk pulang ke kampung halaman. Pada mulanya Natrah dan keluarganya sangat teruja. Mereka membayangkan dapat berpeluang melihat Amerika! Natrah menjadi kebanggaan dan sebut-sebutan seluruh keluarga serta sanak saudara.

Keluarga sebelah suami Natrah tinggal di sebuah rumah ladang yang besar. Jarak antara rumah dengan jiran berkilometer jauhnya. Masjid tidak kelihatan, apatah lagi bagi mendengar azan. Natrah sekeluarga tinggal bersama ibubapa mertua di sayap kanan. Manakala ibubapa mertua tinggal disayap kiri dan pembantu-pembantu rumah di sayap belakang.

Tiga tahun pertama, adalah saat yang paling sukar. Sukar bagi mempertahankan aqidah, tauhid dan iman. Suaminya mula lalai menunaikan sembahyang. Ibadah puasa langsung ditinggalkan. Malah pergaulannya dengan adik-beradik, sanak-saudara dan rakan-rakan semakin menjauhkan dirinya dengan tuhan.

“Puan, setakat ilmu agama sekadar 4 senawi tidak menjamin apa-apa. Saya fikir dapat membimbing suami dan anak-anak, malah mengajak keluarga suami memeluk Islam. Rupa-rupanya tidak.”

Setiap kali hari natal, seluruh keluarga mertua menyambutnya dengan meriah sekali. Natrah di sisih kerana dianggap kolot, ketinggalan zaman dan berfahaman songsang. Suami juga tidak menyebelahinya. Natrah sendirian di rantau orang.

“Mereka cuba sedaya upaya mempengaruhi fahaman 3 orang anak-anak kami.”

Ratna,
Bertahun-tahun Natrah mengajak suami pulang semula ke Malaysia, namun suami memekakkan telinga. Selama itulah hatinya gundah gulana, dia merintih kepada tuhan pencipta alam ini. Allah yang di sembah, tempat memohon pertolongan. Dia memohon jalan yang lurus.

“Puan, saya rindukan gema azan berkumandang. Saya bimbang jika nanti anak-anak terheret ke neraka jahannam. Saya mahukan mereka lahir dan hidup sebagai seorang islam. Mati juga sebagai seorang islam. Biar akhir hayat kami, dapat mengucap syahadah. Di kapan, ditalkinkan dan dikebumikan secara islam di kuburan orang-orang islam.”

Setiap kali Natrah menerima berita kematian kaum keluarga, dia mencari alasan untuk pulang. Namun, tidak dihiraukan. Sehinggalah baru-baru ini, beliau menerima berita kematian bapanya. Natrah nekad untuk pulang!

“Puan, saya dan anak-anak hanya membawa sebuah beg sahaja agar suami tidak menyimpan syak wasangka. Namun, saya sudah bernekad. Kepulangan ini muktamad. Saya pulang dan tidak mahu kembali.”

Natrah pulang dan tinggal di rumah peninggalan arwah bapanya bersama ibu yang sudah tua. Katanya beliau terperanjat dengan segala perubahan yang berlaku di Malaysia terutamanya tingkah laku sepupu-sepupunya.

“Puan, masing-masing sedang mempersiapkan anak-anak perempuan mereka menjadi model sampingan. Kata mereka, mana tahu suatu hari nanti dapat berkahwin dengan “orang putih” dan tinggal di luar negara!”

Natrah menyambung lagi,” Yang sangat menghairankan, anak-anak perempuan mereka digalakkan memakai pakaian yang menjolok mata sedangkan si ibu menutup aurat ada disamping mereka. Tersenyum si ibu bergambar dengan anak perempuan yang sedang bergaya.”

Ratna,
Perkara pertama yang mahu Natrah lakukan adalah mendaftar haji dan mengerjakan umrah bersama ibu dan anak-anak. Beliau mahu menangis di hadapan kaabah, di dalam Raudhah.

Beliau tidak mahu berhenti mendoakan agar suaminya kembali ke pangkal jalan. Kembali hidup sebagai seorang islam. InsyaAllah, kata Natrah dia masih membuka hati, mendepa tangan jika Allah menunjukkan suaminya jalan pulang. Natrah mengakhiri kata-katanya,

“Syukur Alhamdulillah, Allah melindungi saya dan anak-anak sepanjang kami di Amerika. Sampaikan pesanan ini kepada ibu-ibu, katakan agar jangan sediakan unggun api untuk anak-anak. Mereka ibarat kain putih kita. Kitalah yang membentuk samada anak-anak itu bakal mendoakan atau tidak selepas kematian kita.”

Ratna,
Sampaikan salam buat semua. Jika diizinkan Allah, InsyaAllah kita berjumpa lagi di lain lembaran.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>