Mereka tidak tahu

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Ratna,
Kelmarin, usai solat asar, Kak Ngah bersiap sedia untuk menghantar Sofea ke tempat halaqah qur’an. Tiba-tiba dari saf ke dua, kami terdengar salah seorang dari sekumpulan kecil jemaah Malaysia menegur :

“Minta maaf, ini puan Roza dan Sofea?”

“Ya, saya.”

Lalu, kak Ngah dan Sofea di peluk arab seorang demi seorang. Jelas wajah teruja mereka. Barangkali mereka tidak menyangka akan bertemu kami di saf pertama masjid Nabawi ini.

“Minta maaf akak nak tanya, tadi..selepas solat asar, mereka sembahyang apa?”

Kak Ngah merenung muka mereka seorang demi seorang. Melihat mereka timbul simpati di hati.

“Oh.. itu solat sunat jenazah. Dalam satu hadis sahih ada menyebut, barangsipa mengerjakan solat jenazah pahalanya sebanyak satu qirat. Satu qirat umpama sebesar jabal Uhod. Namun, hakikatnya kita niat lakukan kerana Allah bukan kerana pahala itu. Hajjah ada bawa buku panduan solat sunat? Mari saya tunjukkan…”

Lalu, kami sama-sama mencari cara-cara sembahyang sunat jenazah dari himpunan solat-solat sunat.

“Minta maaf banyak-banyak hajjah, saya mohon menghantar Sofea ke tempat mengaji. InsyaAllah, saya datang semula ke tempat ini.”

Setelah menghantar Sofea, Kak Ngah segera kembali ke tempat mereka. Yang tinggal hanya berempat.

“Yang lain sudah pulang ke Hotel?”

“Ya. Mereka mahu berehat”

” Berapa hari hajjah berada di Madinah ini?”

“Tiga hari. Esok, kami akan berangkat ke Mekah.”

“Baik. Hajjah cuma ada 3 hari sahaja di Madinah. Minta maaf, saya bertanya, Kenapa tidak berehat sahaja di Haram, niatkan itikaf kerana Allah. Hanya 3 hari sahaja di sini.. sayangnya kita datang sejauh ini lalu menghabiskan masa berehat di hotel.”

“Entah berapa lama kita berdoa dan mengumpulkan wang untuk sampai ke sini. Di Haram, kita boleh mengaji quran. Penat mengaji, kita sembahyang sunat atau berzikir banyak-banyak. Bertasbih dan berselawat kepada rasululullah. Nanti bila pulang..kita akan merindui saat-saat seperti ini.”

Mereka mengangguk-anggukkan kepala. Benar, melihat mereka timbul simpati di hati.

“Puan..kami semua balu. Kami dengar macam-macam cerita jenayah yang berlaku. Jadi kami banyak habiskan masa di hotel sahaja.”

“Jangan begitu. Cerita-cerita seperti itu barangkali datangnya dari orang yang menjadikan alasan untuk tidak ke Haram. Di sini, InsyaAllah, semua jemaah yang datang kerana Allah. Mereka mahu mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha kuasa. Tidak mungkin dengan sengaja mahu melakukan kemungkaran kepadaNya.”

Mereka mengangguk-angguk sahaja. Seolah-olah kenyataan itu baru didengari buat pertama kali. Benar, melihat mereka timbul simpati di hati.

“Puan..apa lagi yang akak boleh pelajari di Mekah dan Madinah ini. Ini umrah kami buat pertama kali.”

“Kak hajjah, saya pun bukannya pandai..namun, dua perkara yang saya mahu kakak semua lakukan. Pertama, bangun awal ke Haram untuk berqiamulai. Di sini, InsyaAllah kita boleh terjaga seawal 2 pagi. Jika dulu kita rasa tidak mampu solat tahajud, solat taubat dan solat-solat sunat…InsyAllah, di sini Allah memberi peluang kepada kita. Kedua, cubalah puasa sunat sekurang-kurangnya Isnin dan Khamis.”

Tiba-tiba, salah seorang mencelah.

“Yalah..suami pun sudah tiada, kami makan ala kadar sahaja. Jika begitu..lebih baik berpuasa.”

Ratna,
Dari perbualan singkat, barulah kak Ngah tahu…rupa-rupanya usia tua bukan bermakna mereka tahu segala-galanya. Walau garis-garis kedut sudah jelas di wajah, bukan bermakna mereka sudah menjalankan segala amalan yang dituntut oleh Allah.

Benar, melihat mereka ada perasaan simpati di hati. Mereka itu mungkin ibu atau emak-emak saudara kita. Barulah kak Ngah tahu, rupa-rupanya banyak yang mereka tidak tahu.

Semuga Allah memberi taufiq serta hidayah kepada kita semua dengan kasih sayangNya.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Umrah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>