Tajwid al-Quran

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga berada di bawah lindungan kasih sayang Allah sentiasa.

Ratna,
Jemaah umrah kini sampai waktu puncak. Limpahan hamba Allah yang datang dari pelbagai negara serta bangsa melimpah ruah bagaikan musim haji.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakhbar!

Terharu.. hampir setiap malam kami tidak sunyi di Madinah ini. Ramai yang datang menziarah rumah kecil kami di Jabal Uhod. Mereka bersusah payah membawa buah tangan serta pelbagai juadah. Akibatnya, keperluan dapur kami melimpah ruah. Dapur di rumah kecil kami menjadi semakin kecil.

MasyaAllah Tabarakallah! Semuga Allah memberi rahmat ke atas mereka sekeluarga.

Namun, antara yang paling kami hargai adalah pemberian buku-buku, kitab-kitab serta majalah. Bayangkan.. buku hukum tajwid sahaja kami terima lebih daripada 10 buah!

Ratna,
Semakin kami mendalami hukum-hukum tajwid serta sedaya upaya membacanya dengan tartil yang betul… Allah ya Allah, hati kami jatuh kasih kepadaNya!

Allah ya Allah, tidak pernah kami terbayang dapat mempelajari ayat-ayat suci Al-Quran dari mereka yang arif secara terus di Masjid Nabawi ini.

Allah ya Allah, tidak pernah terfikir di hujung usia ini kami diberi peluang oleh Allah Subhanawatallah memperbaiki bacaan al-Quraan. Sedangkan selama ini, barangkali al-Quran melaknati setiap baris patah bacaan.

Ratna,
Ketika menyelak helaian salah sebuah kitab tajwid, kak Ngah terbaca selawat serta doa yang disarankan sebelum membaca al-quran. Dikatakan berselawat dan berdoa adalah satu amalan yang baik tanpa mengira masa yang tertentu.

1) Selawat sebelum membaca al-Quran

“Ya Allah! Berselawat atas penghulu kami Muhammad dan atas keluarganya serta para sahabatnya sebagai selawat yang mana dengan rahsiannya aku dapat menghafaz al-Quran dan beramal dengannya. dan kurniakanlah kepadaku cahaya yang menerangi daripadanya dan selamatkanlah dengan keselamatan yang menyeluruh.”

2) Doa sebelum membaca al-Quran

“Ya Allah! Sinarilah pandanganku dengan kitabMu (al-Quran), lapangkanlah dadaku dengannya, jadikanlah anggota badanku beramal dengannya, mudahkanlah (sebutan) lidahku dengannya, perkuatkanlah hatiku dengannya, segerakanlah kefahamanku dengannya, kuatkanlah keazamanku dengannya.

Dengan daya dan kekuatanMu, maka sesungguhnya tiada dengan daya dan upaya melainkan denganMu wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!

“Ya Allah, rahmatilah daku dengan al-Quran. Jadikanlah ia sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat bagiku serta keluargaku. Ya Allah, ingatkanlah apa yang daku lupa daripadanya. Berikanlah ilmu apa yang belum daku ketahui mengenainya. Anugerahkanlah kepadaku untuk membacanya di tengah malam dan dipenghujung siang. Jadikanlah ia sebagai hujjah bagiku wahai Tuhan seru sekelian alam.”

Ratna,
Allah..Allah..Allahu Akbar.

Salam untuk semua dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Halaqah al-qur'an, Umrah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>