Hadiah

" Hadiah paling bermakna dalam hidup"Menemui adikku Ratna, sanak saudara serta rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga diri dan keluarga sentiasa dalam rahmat Allah.

Ratna,
Sesuatu yang kita suka dan mahu tidak bermakna ia baik untuk kita. Sungguh, Allah mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Sesekali jangan kita bersedih hati apatah lagi merungut di dalam hati dengan berkata,” Kenapalah ia begini dan tidak begini. Kenapa orang lain dapat begini dan daku tidak seperti ini?”

Sungguh, bukankah Allah yang menjadikan setiap kejadian. Setiap sesuatu ciptaanNya semuanya di dalam pengetahuanNya sekalipun daun yang gugur di malam hari atau benih akar yang menjalar di perut bumi.

Jangan dipersoalkan. Belajarlah bersyukur dengan setiap kurnian tuhan.

Ratna,
Masihkah awak ingat peristiwa bagaimana abla Mariam meminta kak ngah pergi kepada abla Khadeja yang boleh berbahasa Inggeris? Namun, kak Ngah berdegil juga. Tetapi, baru-baru ini barulah kak ngah mengerti.

Apabila kuat gerakan hati berkata,” Pergilah belajar bersama abla Khadeja. Barangkali ada manafaatnya.”

Benar, kini kak Ngah terasa ketara ilmu yang diturunkannya. Ilmu yang dicurahkan dari hati akan terus ke hati. Sehingga terasa kak Ngah sudah tidak mahu berpaling lagi.

” Ya Allah ya Tuhanku…jadikanlah quran ini sebagai sebahagian dari hidupku. Lembutkan lidahku agar dapat daku menyebut dengan sebutan huruf pada makhraj yang betul. Fahamkanlah daku dengan ilmu tajweedMu agar dapat daku melafazkan bacaan dengan tartil yang betul. Kuatkanlah daya ingatanku agar dapat daku mengingati ayat-ayat dari kalam suciMu.

“Ya Rabbi..jadikanlah lidahku sentiasa basah dan hatiku digerakkan untuk membaca ayat-ayat suciMu.”

Ratna,
Tidak ada yang paling bahagia apabila kita dapat membaca quraan serta menyebut huruf dan barisan ayat suci al-quran seperti apa yang sepatutnya. Dan tidak ada saat yang paling bahagia apabila melihat seorang guru tersenyum sambil berkata,” MasayaAllah tabarakallah…inilah bacaan awak yang paling sempurna. Teruskan berulang-ulang membacanya.

Dalam diam, air mata kak Ngah bergenang. Lalu, di akhir sesi halaqah, ketika rakan-rakan sudah beredar, Kak Ngah kembali kepada abla Khadeja. Bersemuka dengannya seorang-seorang.

“Abla Khadeja, saya sangat gembira pada hari ini kerana dapat membaca quran dengan sebutan huruf pada mahraj yang betul bersekali dengan hukum tajweed. Tidak pernah terfikir di usia ini saya di beri peluang oleh Allah untuk memperbaiki bacaan quraan di masjid Nabawi dengan seorang qari seperi abla Khadeja. Jadi, terimalah hadiah ini dari saya.”

Kak Ngah menyeluk poket dan mengeluarkan sedikit wang sebagai hadiah.

” Ya Raudhah.. simpan sahaja hadiah ini. Selagi awak menjadi pelajar, saya tidak akan menerimanya. Lagipun saya dibayar gaji.”

Abla Khadeja menolak dengan baik sekali. Kak Ngah terus berusaha memujuk agar dia menerima hadiah yang tidak seberapa.

“Abla Khadeja, Rasulullah tidak pernah menolak hadiah. Terimalah ini dari saya. Jumlah ini kecil sahaja berbanding dengan ilmu yang diterima.”

“Ya Raudhah, simpanlah. Hadiah yang paling bermakna bagi saya apabila melihat awak dapat membaca quran dengan sebaik-baiknya. Itu hadiah besar buat saya. Saya mahu melihat awak membaca quran dan InsyaAllah, suatu hari nanti dapat menghafal beberapa surah besar daripadanya. Itu cukup bererti buat saya.”

Ratna,
Lalu, mulai hari itu kak Ngah bernekad di dalam hati akan menghadiahkan “saat itu” buat abla Khadeja. Kak Ngah sudah tidak mahu berpaling lagi…semuga Allah permudahkan serta mengizinkannya.

Sekian. Salam sayang untuk semua.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Halaqah al-qur'an, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>