Wahai anak kesayanganku…

Menemui adikku Ratna, sanak saudara serta rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga hari ini lebih baik dari semalam serta sentiasa dalam redha Allah.

Ratna,
Sudah beberapa hari kami sekeluarga tidak berapa sihat. Cuaca di Madinah tidak menentu. Panas dan dinginnya silih berganti. Sejuknya menyucuk sehingga ke tulang rusuk walaupun matahari terang benderang. Beberapa hari yang lalu juga ribut pasir datang melanda. Kebanyakan sekolah-sekolah di tutup dan cuti persekolahan bermula lebih awal dari yang sepatutnya.

Kami sekeluarga gagahi juga ke Haram. Melihat kak Ngah mengigil-gigil kesejukan, Abang Ngah meyuruh kak Ngah dan Sofea bersembahyang sahaja di rumah.

” Perempuan lebih afdhal sembahyang di bilik tidur sahaja tetapi jika awak mahu ke masjid saya tidak akan menghalang. Bagi saya dan Amirul pula… tidak ada kekecualian. Sembahyang bagi orang lelaki mesti berjemaah di masjid. Saya tidak mahu rumah kita di bakar jika sekarang Rasulullah masih hidup. Bukankah kita dengan Rasulullah kini berjiran?”

“Saya mahu ke Haram. Lagipun minggu ini ada ujian tajweed dan bacaan hafazan..”

Benar. Walau gelap mata serta bisa-bisa badan, kak Ngah tidak mahu menjadikan ia suatu alasan. Sebenarnya jauh di sudut hati kak Ngah mahu menyatakan begini;

“Izinkanlah saya ke Haram. Mana tahu..entah-entah Allah mencabut nyawa ketika saya sedang tunduk sujud kepadaNya. Biar saya rebah di atas sejadah. Allah..Allah..ya Allah.. Allahu Akbar. Tahukah awak itulah impian di akhir hayat saya?”

Ratna,
Semasa di Haram, seorang jemaah Malaysia memandang Sofea dengan air mata bergenang. Lalu, kami bertegur sapa.

“Ini anak puan? Saya teringat anak saya di rumah. Puan ada mendengar berita jemaah Malaysia meninggal dunia ketika jatuh di bilik air di hotel? Bilik kami bersebelahan.”

Ya. Barangkali jemaah itu terkenangkan anak-anak di rumah serta membayangkan jika itu berlaku kepadanya, tidak sempat dia mencium pipi anak-anaknya. Malah tidak sempat pula menyampaikan pesanan terakhirnya. Lalu, dia dikebumikan di bumi Madinah ini.

Allah..Allah..ya Allah. Allahu Akbar!

Ratna,
Subuh itu, imam membaca surah Luqman yang berpesan kepada anaknya. Antaranya bermaksud;

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (12)

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. (13)

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (14)

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (15)

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (16)

Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (17)

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (18)

Allah..Allah..ya Allah. Allahu Akbar!

Dan subuh itu ramai jemaah yang memahami maksud ayat itu teresak-esak menahan sedu. Barangkali ramai yang terkenangkan anak-anak mereka. Sudah diberi pesanankah kepada anak-anak kita?

Ratna,
Sungguh, harta benda akan ditinggalkan apabila kita mati. Itu pasti. Yang tinggal nanti hanya 3 perkara : Ilmu yang bermanafaat, amal jariah serta anak yang soleh dan solehah.

Lihatlah ke dalam diri dan bertanya – “sudah bersediakah kita jika dipanggilNya bila-bila masa sahaja?”

Allah..Allah..ya Allah. Allahu Akbar! Kami mohon keampunanMu ya Rabb!

Sekian.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>