Travelog kehidupan Abadi

Sudah berada di pasaran, InsyaAllah.

Travelog kehidupan Abadi: Suatu Perjalanan merupakan sambungan siri Travelog Cinta Abadi : Masa yang Berlalu dan Travelog Impian Abadi : Itu yang Tertulis. Ia masih merupakan satu siri yang merakamkan perjalanan kehidupan seorang insan yang tidak mustahak. Ia kisah biasa-biasa yang telah dilalui oleh orang biasa.

Bagaimanapun, kisah biasa-biasa bagi sesetengah orang mungkin menjadi luar biasa bagi mereka yang lain. Dalam konteks ini, saya sendiri merasai yang saya telah melalui suatu perjalanan yang luar biasa. Perjalanan kehidupan yang kelihatan diatur dan ditentukan oleh Allah SWT dengan rasa kasih-sayang yang tidak terhingga.

Kenapa?

Melalui Prolog, saya catatkan kembali satu bab yang telah ditulis melalui Travelog Cinta Abadi: Masa yang berlalu. Ia kisah lintasan hati seorang anak kecil yang ingin ke Luar Negara. Guru saya menyatakan, “jika hendak ke Luar Negara, kita mesti menjadi seorang pelajar yang pandai”. Saya tidak pandai. Logik akal seorang kanak-kanak tentu sekali berfikir, “mustahil saya dapat ke Luar Negara kerana saya tidak pandai”.

Namun keinginan yang kelihatan mustahil dinyatakan kepada Allah secara lintasan hati, “ya Allah, berikanlah saya kemungkinan itu. Tunaikanlah hasrat hati. Jika tidak, kau temukanlah jodoh yang dapat membawa aku ke luar negara”

Akhirnya, impian kanak-kanak yang berusia 12 tahun tersebut terlaksana 15 tahun kemudian. Saya bertemu jodoh dengan seorang yang dapat membawa saya ke Luar Negara. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Namun pada ketika itu, saya tidak pernah mengaitkan kejayaan berkunjung ke Luar Negara kerana Allah telah memakbulkan doa atau lintasan hati pada masa lampau.

Kini, setelah lebih 30 tahun berlalu, ketika saya mengharapkan kasih-sayang Allah, mengenangi masa lampau yang telah saya lalui, mengerti betapa agongnya kebesaran dan kekuasaan Allah, saya dapat merasai sesuatu yang luar biasa yang Allah khabarkan kepada insan biasa seperti saya.

“Akulah yang maha berkuasa yang mampu menunaikan segala hajat,” sebagaimana yang dikhabarkan melalui surah Al-Ikhlas,

“Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”

Namun perjalanan yang manusia lalui terduga dengan pelbagai cabaran dan ujian. Allah sering menyatakan yang manusia bersifat lemah, bernafsu dan sering tergelincir daripada jalan yang lurus. Semakin lama perjalanan semakin terasa cubaan dan godaan yang menjauhkan diri daripada dia yang maha berkuasa. Begitu juga, semakin jauh perjalanan, semakin luas pandangan, semakin bergelodak hawa nafsu keduniaan.

Saya fikir, perjalanan ini tiada penghujung. Saya berjalan, berjalan dan berjalan. Saya bertemu pelbagai tempat persinggahan yang dinamakan kerjaya, perkahwinan, isteri, ibu dan bertemu dengan pelbagai lokasi yang berbeza. Persinggahan dalam perjalanan ini juga mempertemukan saya dengan pelbagai wajah yang berbeza-beza sifatnya.

Kehidupan adalah pengorbanan. Segala kejadian yang berlaku jika dilihat dengan mata hati, ia boleh menjadi punca modal motivasi besar untuk berubah. Di sebalik pelbagai cubaan dan dugaan, kedewasaan mengajar saya untuk mentafsir semula laluan yang telah ditinggalkan.

Perjalanan yang saya fikir tidak bernoktah rupanya akan berakhir. Ia sangat hampir. Hujungnya, kita akan berjumpa dengan titik akhir kehidupan, KEMATIAN. Perjalanan lalu tidak boleh diubah lagi. Maka perjalanan yang bakal kita tempuhi menjadi sangat penting dalam konteks menjadikan masa-masa tersisa selari dengan keperluan kehidupan di alam baru.

Sebagaimana siri yang terdahulu, Travelog kehidupan Abadi: Suatu Perjalanan meneruskan perjalanan mencari cinta abadi yang merupakan milik Allah. Marilah kita terus berfikir, sekecil mana peristiwa kehidupan yang dihadapi oleh manusia, ia adalah kepunyaan Allah SWT. Kita hanyalah insan kerdil yang pasti mengadapNya lalu kekal selamanya dengan satu kehidupan baru.

Semoga Allah memberi keampunanya kepada kita semua.

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>