Bagaikan mimpi..

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga dilimpahi kasih sayang dan taufiq hidayah dari Allah.

Ratna,

Di dalam quran berulang-ulang Allah berfirman yang menyatakan hidup di dunia ini hanya bagaikan tidur seharian atau barangkali beberapa jam sahaja. Manusia dilalaikan dengan hiburan yang mengasyikkan sehingga ada yang terlupa ia bernokhtah. Suatu masa, suatu ketika keasyikan itu pasti terhenti.

Di saat masa yang terhenti itulah baru mereka tersedar. Ia bagaikan di tampar. Dalam keluh kesah ada yang berkata “Oh, sampai di sini sahaja rupanya perjalanan ini. Ingatkan masih jauh lagi.. Ia bagaikan mimpi.”

Di dalam al-quran juga berulang-ulang Allah memberikan peringatan dan gambaran betapa sukar serta gerun gentar keadaan huru hara di padang mahsyar. Ada yang memohon mahu kembali semula ke dunia. Ada juga yang tidak percaya mereka boleh masuk ke syurga. Sebab itu ada yang berkata,”Tunggulah sebentar lagi. Kita orang biasa-biasa, buat sedikit-sedikit tidak mengapa..”

Sungguh, hidup ini bagaikan mimpi.

Ratna,

Emak, Sara dan Azrai bersama kami selama 30 hari. Kami makan bersama, kami bergelak ketawa dan kami ke masjid nabawi setiap hari. Ia menjadi rutin yang akhirnya menjadi biasa-biasa sahaja. Hari ini mereka pergi. Subhanallah! Tiba-tiba kami merasa ia bagaikan mimpi sedangkan selama ini dalam sedar kami tahu mereka pasti akan pergi.

Allah..Allah..ya Allah. Begitu rupanya kehidupan ini.

Dahulu..bertahun-tahun dapat menatap wajah abah, tok abah, tok apak, mak wa, ayah, Wan, Niza dan Ayu..kami tidak hairan dengan kehadiran mereka. Tiba-tiba mereka pergi menemui Ilahi kerana sudah sampai masa dan ketikanya..kami pandai berkata,” Ia bagaikan mimpi.”

Ratna,

Sudah! Kejutkan kak Ngah jika masih lagi bermimpi di siang hari. Esok, jika diizinkan Allah untuk bernafas, masih mengerlipkan mata dan dapat mengerakkan tubuh anggota.. kak ngah mahu terus sujud rebah kepada Allah. Mahu bersyukur kepadaNya, menyembah dan beribadat sesunguh-sungguh hati hanya keranaNya.

Esok, kak ngah tidak mahu bangkit dalam keadaan gerun gentar serta rasa kesal sambil berkata,” Wahai Tuhanku..kalaulah dahulu daku tidak dibuai mimpi..”

Bangunlah bangun! Matahari tinggi sudah pergi, senja sebentar lagi. Bersiaplah..malam akan menjelang. Sudah sediakah lampu suluh penerang jalan?

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>