Mengemas

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga ibadat hari ini lebih baik dan lebih khusyuk dari semalam.

Ratna,

Semalam, sunyi sekali di Masjid Nabawi tanpa jemaah umrah. Yang tinggal kini hanya satu setengah saf di barisan hadapan – dipenuhi dengan penduduk tempatan. Safrah iftar juga kekurangan orang berbanding di bulan Ramadhan. Masing-masing beria-ia mengajak memenuhkan safrah mereka.

Di sana-sini, permaidani telah bergulung rapi di masjid Nabawi. Mereka sedang mengemas. Inilah masanya mereka mencuci di sana sini sebelum bermula musim haji.

Ratna,

Semalam juga kak ngah mengemas bilik Sofea yang berkongsi dengan Sara dan emak. Selepas itu kak ngah mengemas bilik Amirul yang berkongsi dengan Azrai. Hendak tahu apa yang kak ngah jumpa?

Di bilik Sofea, kak ngah berjumpa kulit-kulit coklat dan gula-gula yang dikatakan dia belum makan [setiap kali bertegang lidah dengan Amirul, dia berkata coklat itu belum pernah dirasanya.] Apatah lagi jika itu coklat terakhir di dalam kotak. Mereka bertekak yang menyatakan belum merasa lagi jenis yang itu dan yang ini. Ia berakhir.. dengan air mata.

Kak Ngah vakum karpet dan keluarkan apa yang ada di bawah katil dan disekitarnya. Nak tahu apa lagi yang kak ngah jumpa? Pelastik beg yang berisi abaya – masih berlipat cantik di dalam bungkusan pelastik. Seingat kak Ngah, kami ada membeli 3 pasang abaya untuk Sara [tambahan 2 pasang yang sedia ada] untuk dipakai sepanjang berada di Madinah.

“Sara, asyik-asyik pakai abaya itu sahaja. Tukar-tukarlah yang lain..Mama ada beli 3 pasangkan?”

Sara mengangguk sambil melemparkan senyuman tawar. Kak Ngah tahu, kalau dibawa ke kedai abaya pun pasti kak ngah juga yang akan membuat keputusan bagi membuat pilihan. Dia akur sahaja atau dia geleng kepala. Keputusannya samada mahu memakainya atau tidak adalah muktamad. Jadi, sebelum dia sampai ke Madinah, kami sudahpun membelinya.

Sungguh, dia berakhir.. dengan bungkusan berpelastik itu masih tersimpan kemas di dalam beg membeli belah!

Usai mengemas bilik Sofea, kak ngah beralih ke bilik Amirul. Nak tahu apa yang kak Ngah jumpa? Dua bilih pedang “Star wars” yang dihadiahkan oleh Azrai kepada dua beradik itu ada dicelah-celah bantal. Kata Azrai,” Kesian tenguk adik-adik abang buat filem Star wars menggunakan penyangkut baju. Ini seorang satu – untuk Amirul dan Sofea.” kata Azrai lagi,” Pedang ini mahal tahu.. dalam gelap ada cahaya laser. Habis duit alaun abang dibuatnya..”

Pedang itulah yang dicari oleh Sofea sepanjang bulan Ramadhan dulu. Katanya dia mahu bermain dengan abang ngah, namun puas dicarinya…tidak berjumpa. Puas bertanya, Amirul pula buat tidak tahu sahaja. kata Amirul,” Sofea kuat berlagak bila ada abang ngah..Tak apa, abang cik ada kakak.

Apa lagi yang kak ngah jumpa? Sampul-sampul bantal yang masih bersusun belum berpakai. Rasanya puas kak ngah berpesan agar menukar sarung yang ada selepas dua minggu memakainnya. Kak Ngah longgokkan T-shirt, seluar dan kain pelikat dari setiap ceruk. Semua ini yang dicari-cari sepanjang mereka berada di bilik ini..

Allahu Akbar! Huru haranya keadaan rumah kami ketika mereka berkumpul di sini. Apabila mereka pergi..terasa sunyi serta kosong di hati.

Ratna,

Agaknya beginilah keadaan dan perasaan emak apabila kita semua pulang dari kampung halaman selepas bercuti panjang. Kita tinggalkan segala sepah serta huru hara di rumah. Emak juga yang akan mengemasnya. Namun, kak ngah belajar sesuatu.. mereka datang dan mereka pergi. Tidak terasa mereka membesar cepat sekali.

Esok, entah masih adakah peluang untuk bersama lagi. Entah masih dipinjamkan nyawa lagi.. Ya Allah, jika ada ruang waktu yang ada untuk bersama, gunakan sepenuhnya. Lalu sebelum Sara dan Azrai pergi, kak ngah berpesan kepada mereka,” Berbaik-baiklah dengan adik beradik. Kita hanya terasa keakraban dan kemesraan ketika masih duduk sebumbung. Esok, apabila masing-masing sudah berumahtangga dan mempunyai keluarga – mereka menjadi orang lain.”

Allah..Allah ya Allah. Mengemas – ia umpama terapi bagi muhasabah diri. Kita mencuci apa yang berhabuk dan berdaki. Buang apa yang sudah tidak dikehendaki. Menukar dan mengantikan apa yang perlu. Menambah apa yang kurang.

Sesekali tanyakan kepada diri,”Sudah kemaskah ruang bilikku apabila nanti didatangi tetamu yang bertanyakan soalan yang sudah kita ketahui. Sudah sediakah jawapannya apabila ditanya nanti soalan yang berbunyi – Siapakah Tuhan kamu? Siapa Rasulmu? Apakah kitab mu? Apakah amalan mu?”

Ketika itu.. luaskah dan terangkah nanti ruang kamar milik kita?

Sekian. salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Kerenah anak-anak, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>