Sungai Nil

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi;
Semuga esok lebih baik dari hari ini dan hari ini lebih baik dari semalam dengan izin Allah.

Ratna,

Masihkah awak ingat dengan guru mengaji qur’an kita semasa zaman kecil di kampung Paya Jakas? Senang cerita..ingat tak lagi kepada Mak Uda khemah? Selain awak, De Tuti, Adib, Azah dan beberapa orang lagi – kita mengenal ayat-ayat quran, Mak Uda Khemah juga mengajar kita berzanji.

Entah, tiba-tiba hari ini Allah mengembalikan ingatan kak Ngah kepadanya. Masih mengajar mengaji qur’an kah Mak Uda Khemah agaknya? Sihatkah dia? Jika awak ada kelapangan masa, cubalah menziarahi rumahnya. Sampaikan salam sayang kak Ngah kepada Mak Uda sekeluarga.

Awak ingat tak masa pergi mengaji..kita adik-beradik serta sepupu-sepupu akan berjalan berderet-deret menuju ke rumah Mak Uda? Sepanjang jalan kita menyanyi lagu yang tengah popular pada ketika itu – Menanti Hari Esok. Selepas balik mengaji..kita berjalan berderet-deret lagi sambil menyambung lagu yang sama. Mana-mana yang terlupa lirik, kita sebut “la..la..la..” sahaja. Kita tidak pernah peduli apa yang berlaku dan siapa yang memerhatikan kita di kiri dan kanan.

Ratna,
Kenapa kak Ngah begitu teringat kepada Mak Uda Khemah? Kerana Mak Uda ada seorang anak perempuan yang pernah belajar di universiti Al-Azhar, Mesir. InsyaAllah, kami akan melawat Mesir untuk beberapa hari sebelum raya haji. Abang ngah ada menerima beberapa undangan untuk berceramah dari Universiti yang menempatkan pelajar Malaysia di sana.

Katanya hotel kediaman kami nanti berhampiran benar dengan sungai Nil.

Sungai Nil yang pernah menghanyutkan nabi Musa di dalam bakul oleh ibu kandungnya. Lalu, bakul itu dengan ketetapan Allah, hanyut di bawa ke kawasan istana Firaun dan dijumpai oleh dayang-dayang Asiah. Asiah meminta izin dari suaminya untuk memelihara anak lelaki itu walaupun Firaun telah mengeluarkan perintah untuk membunuh anak-anak lelaki yang bukan dari kalangan kaumnya di bumi Mesir.

Allahu Akbar! Bukankah di situ ada tanda-tanda kebesaran Allah yang maha mengetahui?

Apabila menyebut tentang sungai Nil, sekali lagi kak ngah teringatkan Mak Uda Khemah. Ingat tak semasa anak Mak Uda pulang bercuti, dia membawa bermacam-macam halawa arab dan coklat? Apa lagi yang kak ngah ingat..oh ya, ada pen yang sangat besar digunakannya untuk menulis.

Dan yang paling lucunya, abah datang dengan alasan mahu menziarahi Mak Uda sekeluarga tetapi sebenarnya membuat “spot check” untuk mengetahui apakah kita benar-benar pergi mengaji. Sebelum meminta izin untuk pulang, kak ngah teringat bagaimana abah berpesan kepada kita;

“Kalau mahu sampai ke Mesir, tulislah nama awak semua di atas kertas. Minta tolong kakak Mesir tu campakkan kertas itu ke sungai Nil. Mana tahu dengan izin Allah, awak semua sampai ke sana.”

Kakak itu senyum-senyum sahaja sambil menghulurkan kertas berserta pen besar di hadapan abah. Kak ngah menulis dengan beriya-iya seolah-olah seperti menerima tawaran menaiki kapalterbang percuma.

Setelah abah pulang, kakak itu menyambut kertas yang tertera nama-nama kita. Kakak itu berkata separuh berbisik; sambil tersenyum-senyum geli-hati.

“Abah awak main-main sahaja. Kakak takut kertas ini nanti hanyut di sungai Nil dan terus masuk ke dalam istana Firaun. Nanti jika askar-askar Firaun datang mencari nama-nama yang ada di sini, macamana?”

Serta merta kak Ngah tarik balik kertas itu. Itulah..budak-budak memang mudah sangat kena tipu!

Sekian, sekali lagi sampaikan salam kepada semua.

-Rumah kecil di jabal Uhod-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>