Beradab dan beradat di India

Siri TV Apprentice Donald Trump biasanya diakhiri dengan tugasan menganjurkan majlis besar. Sesiapa yang dapat menjayakan tugasan ini dengan mencapai sasaran yang ditetapkan, dialah yang akan menjadi juara siri tersebut. Hadiahnya amat lumayan.

Saya tidak pernah menyertai rancangan realiti ini tetapi bersetuju bahawa kejayaan menganjurkan majlis rasmi amat bagus untuk membina watak menjadi tokoh korporat. Ia berkait rapat dengan pengurusan projek dan kepentingan jaringan.

Mei 2009.

Saya diberi amanah mengadakan satu majlis keraian dalam skala besar disertai dengan liputan media arus perdana. Ia bagi meraikan persetujuan yang telah dicapai di antara kedua-dua pihak pemegang saham. Sibuk dan tertekannya saya berulang-alik Kuala Lumpur – Chennai demi menjayakan majlis ini, Allah saja yang tahu.

Perancangan rapi bermaksud bermesyuarat hampir setiap hari. Tekanannya sungguh hebat biarpun dibantu oleh ramai kawan-kawan. Ia menjadi lebih sukar dengan cuaca panas pada bulan tersebut. Kepala saya senang saja menjadi pening dan sakit melampau. Apakan daya berada jauh di tempat orang. Kesakitan itu saya tanggung sendiri.

Antara yang penting dalam penganjuran majlis adalah kad jemputan. Subhanallah! Susah sungguh untuk saya dapatkan kad jemputan itu disiapkan. Ada saja yang tidak kena. Bila orang ini setuju, ada pula pihak yang tidak setuju. Akhirnya saya terpaksa menghadap pembesar-pembesar syarikat di dua negara – hanya untuk mendapatkan persetujuan tentang design kad jemputan!

Perkara kedua yang kritikal adalah senarai jemputan. Dari Datuk Bandar kepada pengusaha kecil. Semuanya berada dalam senarai panjang. Ia kemudiannya dikecilkan sehingga cukup jumlah yang kami mahu – 200 orang. Saya pula yang tidak bersetuju. Ia seharusnya dilebihkan kerana kemungkinan besar hanya 50% yang akan hadir. Pendapat saya tidak dipersetujui. Jawapan mereka; orang India akan hadir jika dijemput. Okey …. kita tengok nanti!

Angin saya dibuatnya!

Kemudiannya tentang lokasi dan menu. Allahuakbar! Mana saya tahu nama masakan di India? Beriani tahulah … Nak menyebut nama pun sudah menjadi masalah. Apatah lagi untuk memilih menu yang saya suka.

Masalah tentang staf India, mereka terlalu baik. Segalanya menurut perintah. Bos saja yang betul. Walhal saya telah serahkan kepada Jawatankuasa Makanan untuk memilih makanan apa yang akan dipilih. Saya belajar banyak perkara tentang masakan di India.

Satu perkara menarik tentang hal yang remeh ini ialah saya dijemput khas oleh pihak hotel (6*) untuk merasai menu makanan yang disarankan. Saya suka dan teruja! Masih terbayang wajah Pengurus hotel yang berkerut bila saya katakan kepadanya, “Everything is delicious! I love them all!”

Jawabnya perlahan, “But you have to choose from the range, Madam.”

Alamak! Makanan enak membuat saya terlupa diri sejenak. Tugasan ini sebenarnya memberi peluang kepada saya mengenali menu makanan India yang enak dan amat lazat. Misalnya, Hyderabad Beriani adalah jauh lebih sedap dari segala macam beriani yang memang sediakala sedap!

Selepas diperhalusi semua perkara yang berkaitan dengan majlis ini, tibalah masanya untuk kami mengedarkan kad jemputan kepada tetamu yang di undang. Saya cukup risau tentang hal ini kerana masa yang kami ada amat terhad.

Mr Anba dengan lemah lembutnya mengajar saya beberapa perkara – kad jemputan harus diberi dengan tangan. Sekiranya yang dijemput adalah CEO, yang menjemput seharusnya Tuan CEO.  Hierarkinya begitu.

Saya katakan padanya, “Di Malaysia, kami hantar kad jemputan melalui surat yang kami tinggalkan di meja Setiausaha. Kemudian disusuli dengan panggilan telefon secara peribadi.”

Mr Anba memujuk saya untuk mengikut adat India. Saya akur biarpun rasanya ia membuang masa.

Maka bermulalah aktiviti menghantar kad jemputan. Ke pejabat, ke rumah, ke kelab. Ya Allah! Ia memenatkan!

Saya dijemput ke rumah Pengarah Urusan Kumpulan konglomerat India yang kebetulan pulang ke Chennai bagi urusan keluarga. Seorang yang amat berpengaruh tentunya. Masakan tidak, perolehan tahunan kumpulan tersebut pada tahun 2008 mencecah US$4 Bilion!

Setibanya di rumah Mr Syed, kami diminta menunggu di beranda. Rumah agam yang tersergam itu menarik perhatian saya. Mr Syed dan keluarga menetap di Dubai. Siapakah pula yang mendiami rumah tersebut?

Sudah pasti pembantu dan pemandu!

Selepas beberapa ketika, kami diminta masuk ke dalam rumah. Lalu kami dipersilakan duduk di bilik menunggu. Saya nampak ramai orang di ruang tamu yang letaknya beberapa meter dari bilik menunggu.

Tidak lama kemudian, datanglah amah rumah itu menjemput kami bertemu dengan Mr Syed. Benarlah jangkaan saya, ramai “panglima perang” syarikat tersebut sedang mengadakan perbincangan dengan Tuan Managing Director. Anehnya, kesemua mereka berdiri, sementara Mr Syed duduk di atas sofa menghadap mereka. Eh … macam burung hantu pun ada juga mereka ni. Kesemua mereka lengkap ber “suit” dan bertali leher.

Mr Syed mengajak saya duduk di sebelahnya. Allahuakbar. Besar sungguh penghormatan yang saya terima daripada beliau yang hanya berkain pelekat dan berbaju Pagoda.

Beliau bersuara dengan lembut sekali. Kebetulan waktu itu ialah selepas solat Jumaat. Harum minyak atar menangkap hidung. Wanginya dia. Bersihnya dia. Agaknya kekayaan menjadi beliau beitu.

Saya serahkan kad jemputan kepada Mr Syed. Dengan gaya yang begitu budiman, beliau menerangkan bahawa beliau tidak dapat bersama kami pada hari tersebut kerana perlu berada di New Delhi.

Beliau mendoakan acara itu berlangsung dengan jayanya, dan seperti biasa, beliau memanggil saya dengan panggilan “beti”. Saya amat teruja. Burung-burung hantu di hadapan saya terlopong melihat betapa sekali Mr Syed memberi layanan enam bintang kepada saya!

Saya mengagumi karisma yang dimiliki oleh Mr Syed. Beliau punya ‘physical appearance’ yang cukup sempurna. Suaranya lembut namun amat terasa ketegasannya. Butir katanya seolah-olah disusun dan amat indah didengar. Sempat saya berdoa semoga Allah jadikan saya manusia yang berjaya seperti beliau.

Sebuah lagi rumah yang saya kunjungi untuk menyampaikan kad jemputan adalah rumah anak sulung pengasas kumpulan ini; Dr BSAR yang bernama Madam Zeenath. Iyappan memberhentikan kenderaan di luar pintu pagar lalu berlari ke arah pondok pengawal.

MasyaAllah!

Tembok yang mengelilingi rumah tersebut sungguh tinggi. Kawasan elit yang hanya dihuni oleh tuan-tuan syarikat besar itu begitu bersih, cantik dan hijau kelihatannya.

Iyappan berlari kembali ke kereta. “Madam, you go down first. I want to park far from here. The Guard said I cannot park   here’, berpeluh-peluh saya lihat Iyappan. Kesian dia.

Maka saya pun masuk ke dalam kawasan rumah bertembok tinggi tadi. Subhanallah! Besarnya rumah di hadapan saya ini! Saya seakan memasuki kawasan Muzium Negara. “Driveway’ yang panjang, mengelilingi sebuah pancuran air yang besar, pokok-pokok rendang juga ditanam di sepanjang ‘driveway’ tersebut. Terpegun menyaksikan kemewahan yang terserlah.

Sampai di beranda rumah, yang sebesar rumah saya, ada orang gaji yang menunggu dan mempersilakan untuk duduk berehat. Saya asyik mengagumi keindahan reka bentuk luaran rumah ini. Tidak lama kemudian, pintu terkuak dan ada orang gaji lain yang mempersilakan saya masuk.

Subhanallah … betul-betul di sebalik pintu itu terdapat ruang kosong yang cukup mewah, dihiasi hanya oleh sebuah besen berwarna emas yang berisi kelopak-kelopak bunga mawar merah!

Bau yang harum menyambut kedatangan saya. Melepasi ruangan ini, saya masuk ke ruang tamu. Di sebelah kiri kelihatan bilik kaca bertutup yang di dalamnya terdapat meja makan panjang, mungkin boleh diisi oleh 30 orang. Di sebelah kanan pula, ada buaian besar yang dihias cantik. Persis seperti dalam filem tentang Maharaja!

Saya berjalan ke dalam lagi melewati beberapa buah bilik yang bertutup, dan akhirnya dipersilakan masuk ke dalam bilik rehat tuan rumah. MasyaAllah! Bilik menonton itu jauh lebih besar dari keseluruhan rumah saya! Saya duduk di atas sofa empuk, lalu diperkenalkan kepada tuan rumah; Mr Amzah, menantu kepada pengasas kumpulan perniagaan itu.

Tidak habis-habis saya takjub dan kagum dengan hiasan dalaman dan reka bentuk rumah, berdepan pula dengan manusia kaya raya yang melayan saya, tetamunya, dengan penuh sopan santun dan berbudi bahasa. Ditemani isterinya, kedua mereka nyata amat menghargai kedatangan saya dan berjanji akan menghadiri majlis yang saya anjurkan.

Saya juga berkesempatan menjengah pengasas kumpulan tersebut yang sudah uzur di tingkat atas. Saya menaiki tangga besar yang tidak ubah seperti seperti yang ada dalam filem Hindustan. Cumanya, tiada Shah Rukh Khan berjalan di samping saya!

Begitulah, saya diberi kesempatan belajar tentang budaya menjemput tetamu di sini. Betul seperti yang Mr Anba katakan dari awal, sekiranya jemputan menerima kad tersebut dari tangan kita sendiri, 90% daripada mereka akan hadir.

Pada hari kejadian, saya tersenyum melihat dewan dipenuhi hampir 200 tetamu, kebanyakannya pengurusan tertinggi syarikat-syarikat dan jabatan kerajaan, yang telah mengesahkan kehadiran. Termasuk tetamu dari Malaysia dan kakitangan Kedutaan Malaysia sendiri! Penat lelah merancang untuk majlis tersebut berbaloi.

Tidak saya jangka saya mampu menguruskan majlis rasmi yang besar di tempat orang yang serba-serbi berbeza dari tempat saya. Kesusahan yang saya lalui sewaktu merancang dan melaksanakannya memberi pulangan yang amat hebat dan berbaloi. Ia kejayaan peribadi yang tiada taranya. Banyak air mata yang tumpah, keringat yang mengalir dan pengorbanan yang bukan sedikit demi menjayakannya.

Sesungguhnya usaha dan doa adalah senjata paling bernilai dalam kehidupan seorang Muslim. Tanpa usaha, doa dan tawakal, kejayaan yang diberkati tidak akan mampu diraih. Berusaha iaitu dengan melakukan aksi apa saja yang diinginkan dikabulkan olehnya, berdoa iaitu memanjatkan harapan kepada Allah terhadap maksud yang diinginkan  dikabulkan olehnya dan tawakal iaitu menunggu keputusan, hasil daripada usaha dan doa yang diminta. Setelah semua dilakukan, maka kita tinggal menunggu ketentuan Allah yang dinamakan takdir.

Untuk menambah keyakinan kita kepada perubahan takdir, renungkan firman Allah  dalam surah Ar-Raad ayat 39 yang bermaksud:

Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia       kehendaki) dan di sisinyalah terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuz).

Sungguh … saya belajar beradab dan beradat di India.

10 thoughts on “Beradab dan beradat di India

  1. betul tu puan, hyderabad baryani adalah yg tersedap yang pernah saya makan disana.
    terkenangkan zaman saya menguruskan kerja2 awal utk persiapan long term assignement team yg bakal datang ke Bangalore. selalu saya bandingkan, kalau di Malaysia petik jari 2 hari sudah setel, Subhanallah, mmg betul disana kami belajar byk adab dan adat.

  2. Terima kasih puan. Saya umpama berjalan bersama cerita puan, amat mengujakan, menikmati setiap sisi penceritaan pengalaman hidup puan membuka ruang minda untuk memikirkan perbezaan. Di mana2pun hidup ini Indah kerana perbezaan yang saling melengkapi. Alhamdulillah…Terima kasih Allah

  3. Sungguh mahal pengalaman yg diperolehi…hebat & besar nya nikmat yg Allah beri pd hamba-hambanya.Kehidupan mewah mereka seperti bermimpi membacanya & terbayang di mata kemewahan mereka.

  4. Saya sentiasa menunggu catatan dari puan ia memberi pengalaman berada di negeri orang seolah saya bersama puan Tahnia. puan

  5. Menghayatinya tanpa melangkaui walau sepatah perkataan pun, merasakan bersama-sama puan dari suatu episod ke episod, menyelami budaya asing yang kaya dengan adat dan budi bahasa. Membayangkan kewahan dan keindahan di alam realiti tidak hanya di film Hindi.

    Sesungguhnya pengalaman hidup adalah lebih berharga dan tidak ternilai yang mana tidak akan diperolehi dari mana-man kelas pengajian…

    Syabas puan Mahasuria Idris.

Leave a Reply