Buah manis buah pahit

Tidak perlu bermain-main dengan hakikat kebenaran. Balasan baik pasti berlaku, balasan buruk pasti berlaku. Kedua-duanya telah dan akan berlaku tatkala hidup (di dunia), apatah lagi tidak diragukan akan berlaku di akhirat. Satu kepastian.

                Justeru itu Syeikh Abdul Qadir Al-Jalinai membawa tamsil yang sangat mudah difahami. Namun tidak semua yang mudah difahami, mudah pula dicernakan (diamalkan) dalam kehidupan sehari-hari. Tanpa keyakinan dan iltizam yang kuat, banyak perkara baik tidak terdaya dibuat.

               Apa yang dimaksudkan dengan iltizam itu, tidak lain daripada sikap tidak bertangguh untuk bertindak. Maksudnya setelah membaca kiasan Syeikh Abdul Qadir di bawah ini, sanggupkah terus membuat pilihan mengikut suara hati nurani sekali gus menolak suara nafsu amarah.

“Anggaplah kebaikan dan keburukan sebagai dua (biji) buah daripada dua cabang suatu pohon. Cabang yang satu menghasilkan buah yang manis, sedangkan cabang yang satu lagi buah yang pahit….Sentiasalah berada dekat dengan cabang yang menghasilkan buah yang manis; maka ia akan menjadi makananmu, sumber kekuatan dan berwaspadalah agar kamu tidak mendekati cabang yang lain, makan buahnya dan akhirnya rasa pahitnya membinasakan kamu.”

                                                           [Syeikh Abdul Qadir Al-Jailan, ‘Pedoman Suluk & Tawassul Menggapai Wajah Ilahi’ (Terjemahan Nabilah Abd.Jalil)]

                Fikirkan tentang ‘buah’ yang manis.

                Harus arif dalam mentafsirkan kiasan tersebut. Syeikh Abdul Qadir melihat hasil (natijah) sebagai sasaran penting, malah inilah yang menjadi objek yang menjadi idaman. Maksdunya hasil (pengakhiran) yang ‘manis’ bukan pemulaan yang manis. Titik mula harus sudah menjurus ke arah matlamat itu. Maka pilihlah cabang atau dahan yang dikira mengeluarkan buah yang manis, bukan sebaliknya.

                Agama Islam telah meletakkan pancang kebenaran dan pancang kebatilan. Agama telah menyediakan rukun-rukum (Islam dan Iman) yang mesti dipatuhi dan rukun-rukun itu dijamin benar dan itulah yang haq (mematuhinya tidak ada kebatilan lagi).

                Buah yang manis (balasan baik) menjadi santapan lazat bagi jiwa yang berhajat kepada kesucian. Buah yang pahit (balasan buruk) menjadi pilihan bagi jiwa yang dicemari oleh hawa nafsu. Pohon yang menghasilkan buah-buahan itu ialah diri manusia itu sendiri. Sebagaimana pohon itu hidup, diri manusia itu sendiri hidup dan diberi akal oleh Allah Maha Pemurah. Rahmat yang semestinya diterima dengan penuh kesyukuran.

                Setelah menemui makna tamsil itu, maka kebenaran segala Firman Allah dan Sabda Rasulullah (s.a.w) yang diulang-ulang selama hayat, telah menjadi satu kebenaran yang tidak pernah dapat disangkal. Rukun-rukun yang ditetapkan oleh Allah itu sebenarnya laluan lurus kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

                Tatkala ditiupkan sangkakala alam fana ini akan lebur selebur-leburnya; apatah lagi pohon diri yang rapuh. Perhatikan Firman Allah :

“Sesiapa yang datang membawa amal kebaikan, maka dia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya, dan mereka itu adalah orang yang aman tenteram daripada kejutan kuat pada hari itu (hari kiamat).” [Mafhum Surah Al-Naml (27) : 89].

                Sewajarnya diulang sekali lagi ayat pertama catatan ini : Tidak perlu bermain-main dengan hakikat kebenaran. Wallahu’allam.

Leave a Reply