Bahang

Kehidupan dunia cermin kecil akhirat. Misalnya, kepanasan dunia mengingatkan hati nurani kepada kepanasan api neraka. Ia hadir bersama usia yang semakin meningkat.

Lalu cuaca panas yang sedang melanda negara waktu ini menggamit perasaan. Ia membawa kembali kenangan bermukim di India. Di Chennai, musim yang ada hanyalah panas, panas dan panas. Bila saya bercerita pada kawan-kawan betapa panasnya Chennai, ada yang menjawab, Malaysia pun panas. Apa yang peliknya?

Lalu bagaimana harus saya terjemahkan dalam cara mudah betapa bahang panas di Chennai jauh sangat bezanya dengan di Malaysia?

Inilah jawapannya. Saat ini, bahang panas yang dirasai oleh rakyat Malaysia seakan sama dengan bahang panas di Chennai. Biarpun berangin, haba panas boleh terasa menjalar ke seluruh tubuh.

Saya kisahkan bagaimana di satu petang di penghujung bulan Februari, belum masuk musim panas pun, di hari-hari awal saya di Chennai, Dr Shan mengajak saya ke Pantai Marina. Ia terletak berhampiran dengan bandar dan sebuah pantai yang menarik ramai pengunjung. Sewaktu tsunami pada tahun 2004, pantai ini ditenggelami air. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ia berlaku pada awal pagi dan tiada siapa berada di pantai.

Dari kejauhan, saya sudah nampak betapa ramainya manusia yang memenuhi segenap pelosok pantai tersebut. Ada yang berkejar-kejaran, ada yang bermain kriket, ada yang duduk-duduk saja, tidak kurang ramainya yang mandi-manda di tepi pantai.

Di atas jalanraya, jelas kelihatan bahang haba yang naik dari tar jalan. Silau matahari masuk tepat ke dalam bola mata. Biarpun dilindungi kacamata hitam, cahaya masih boleh menerjah masuk. Jam menunjukkan pukul 3 petang, dan belum ada tanda-tanda cuaca akan menjadi redup.

Dr Shan meletakkan kereta di kawasan letak kereta.

“Come Suria. I want you to enjoy this beautiful scenery. Welcome to Marina Beach.”

Saya buka pintu kereta. Serta merta terasa bahangnya. Saya berjalan di atas pasir halus. Selangkah, dua langkah … dan langkah saya terhenti selepas itu.

“It’s so hot, Dr Shan! I am not going to walk under this hot sun!”

“Oh … don’t be like that, Suria. This is nothing compared to summer!”

“What? No! No! No, Sir. Thank you very much, Sir. I am not going anywhere. Give me the car key and I will just sit in the car. You may take that stroll, as you wish!”

Saya melangkah ke belakang dan masuk kembali ke dalam kereta dituruti oleh Dr Shan yang ketawa besar. Saya dapat lihat di cermin wajah saya yang merah seperti udang terbakar.

Satu lagi insiden berlaku ketika saya sibuk menjalankan lawatan ke beberapa tapak ‘workshop’ atau bengkel kereta yang kami senaraipendekkan sebagai pelanggan.

Saya akui saya tidak selalu mengunjungi bengkel. Jika ada keperluan dengan kenderaan, ada suami yang akan uruskan segalanya. Saya cuma tahu memandu; isi minyak dan parking. Asalkan selamat, tiada kemalangan, saya tahu suami saya sudah amat bersyukur.

Dari satu workshop ke satu workshop yang lain. Andai ia kepunyaan syarikat besar seperti Mercedes atau Hyundai atau Maruti, pastinya workshop itu besar, sejuk dan bersih.

Kenyataannya, kebanyakan workshop yang ada tidak begitu.

Bahang yang datang dari luar, ditambah dengan keadaan dalam workshop yang bersepah, kotor dan sempit, membuatkan saya sukar sekali untuk beernafas. Ada sekali tu, saya benar-benar menggelupur. Entah apa sebabnya, hari itu, saya pakai blaus hitam, seluar hitam dan tudung hitam.

Subhanallah.

Panas dan bahang mentari seolah membakar kulit saya. Haba yang diserap oleh kain hitam yang membalut tubuh saya terasa meresap masuk ke seluruh anggota badan saya melalui kulit. Peluh memercik tanpa henti. Kepala saya berdenyut sakit. Kasut yang saya pakai seolah mencair di kaki. Andai dapat digambarkan, saya seolah-olah sedang berdiri di sebelah unggun api besar yang sedang marak!

Begitulah gambaran panasnya Chennai di musim panas, dari April hingga Jun setiap tahun.

Usah ditanya bagaimana kesusahan penduduk tempatan. Dengan air bersih yang sentiasa tidak cukup bekalan, nyamuk besar yang banyak dan keadaan yang langsung tidak selesa, mereka perlu teruskan kehidupan.

Bagi yang berkemampuan, pendingin hawa membantu. Namun kebanyakan rakyat India hidup di bawah garis kemiskinan. Mahu makan pun perlu berebut, apatah lagi mahu mengadakan pendingin hawa. Jumlah yang tidak berumah lebih ramai dari mereka yang berumah.

Saya bersyukur dengan segala nikmat yang Allah beri kepada saya dan keluarga. Biarpun di luar membahang kepanasan, di dalam kenderaan, di dalam pejabat dan di dalam rumah, suasananya sentiasa sejuk dan nyaman. Cukup untuk memberi keselesaan.

Terpacul soalan di benak fikiran, bagaimanakah panasnya api neraka?

Dan adapun 0rang-orang yang ringan timbangan (kebaikan) nya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. Dan tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? (Yaitu) api yang sangat panas.”

(Terjemahan surah Al Qari’ah Ayat 9-11)

Oh Tuhan! Kepanasan di dunia tidak seberapa jika dibandingkan dengan neraka hawiyah yang apinya sangat panas. Siapakah penghuni neraka hawiyah? Mereka adalah  orang-orang yang ringan timbangan amalnya, yaitu mereka yang selama hidup didunia mengerjakan kebaikan bercampur dengan keburukan.

Ya Allah! Kami mohon agar Kau jauhkan kami dari nerakaMu. Masukkan kami dan keluarga kami ke dalam syurgaMu tanpa dihisab. Amin.

3 thoughts on “Bahang

  1. Kita dah dimanjakan oleh air-con, sehinggakan bila cuaca agak sejuk pun masih lagi nak memasangnya…. kemudian pakai jaket selapis lagi. Itu sayalah tu.

Leave a Reply