900 Tahun di Madinah

Bab: Rezeki Milik Allah

Jauh berjalan, luas pemandangan dan tajam pandangan.

Ia kenyataan nyata tidak selalunya benar. Malah bagi mereka berhati kecil tentunya kecut perut atau tidak selesa berjalan ke daerah asing. Lalu berhijrah ke Luar Negara tentunya lebih mendebarkan jiwa dan perasaan. Benar, saya termasuk dalam golongan aman damai berada di negara sendiri.

Kami begitu selesa bertugas di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Di sini tempat membesar sehingga menjadi dewasa. Malah saya tua dan beruban di sini.

Saya menamatkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah, menerima biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan PhD daripada UiTM. Malah bertemu jodoh pun dengan “budak UiTM”. Tempurung UiTM kelihatan begitu luas sekali.

Kemuncak kerjaya juga berlaku di UiTM apabila ditawarkan jawatan profesor perakaunan ketika berusia 39 tahun. Ia rezeki dikurniakan oleh Allah SWT menjadi penyebab untuk saya bertambah kasih dan tersemat dengan rasa UiTM di Hatiku sebagaimana yang menjadi sebutan ramai alumninya.

Hampir 25 tahun berkhidmat di sini. Kami sekeluarga pernah bermusafir ke kampus cawangan Sarawak, Johor dan Selangor. Kerjaya pantas bergerak bermula sebagai pensyarah, pensyarah kanan, profesor madya dan berakhir dengan profesor. Malah jawatan petadbir akademik seperti pengarah kampus atau dekan memenuhi CV.

Hijrah kami sekeluarga ke Madinah sangat menarik apabila dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT. Pertamanya, kami bercita untuk bermukim di Madinah tetapi hanya mahu berusaha ketika usia bersara. Makkah dan Madinah ada di hati kami.

Kami teruja mendapat khabar sepasang suami isteri – anak murid – lulusan PhD ditawarkan berkhidmat di Universiti Taibah, Madinah. Namun mereka khabarkan,

Prof … kami juga mendapat tawaran dari universiti di UAE. Gajinya jauh lebih lumayan. Kami menolak Universiti Taibah. Saya tahu Prof berminat mahu tinggal di Madinah. Cubalah prof minta. Gaji prof tentu tinggi.

Benar ia menarik. Secara bergurau saya nyatakan, “saya sudah terlalu tua untuk mengisi borang kerja. Jika kamu mahu membantu, tolonglah pohon bagi pihak saya”.

Begitulah … anak murid baik akur dengan gurunya. Kata gurau dianggap serius. Mereka lakukan apa yang saya lafazkan. Ringkaskan cerita, dalam tempoh beberapa bulan saya sudah bersara awal dari UiTM, disediakan tiket penerbangan dan di hantar oleh puluhan sanak-saudara serta rakan-taulan di KLIA.

Kini … bila saya merenung kembali saat tersebut, ia ibarat mimpi menjadi realiti. Kami tinggalkan tanah air kerana Tanah Suci Madinah memanggil kami dengan aroma luar biasa.

Saya begitu teruja melihat tawaran gaji pokok ditambah lagi 35 peratus. Kami diberi elaun rumah serta pengangkutan. Malah yuran pengajian persekolahan anak-anak di sekolah antarabangsa juga dibiayai.

Bila berada beberapa bulan di Madinah barulah saya mula memahami bagaimana struktur gaji dilaksanakan. Gaji pokoknya seragam. Namun ia boleh ditambah peratusannya atas cadangan dekan sehingga mencecah 150 peratus.

Tambahan gaji juga berbeza bergantung daripada negara mana PhD kita dianugerahkan. Susunannya sangat jelas, bermula dengan USA, UK, Australia dan negara Barat yang lain. Ia juga bergantung kepada pasport mana yang kita miliki. Alhamdulillah, Malaysia masih dipandang tinggi.

Allah ya Allah …. kenaikan 35 peratus itu merupakan kadar paling rendah yang diterima berbanding pensyarah lain. Namun ada juga pensyarah merungut kerana gaji kami di Madinah merupakan gaji paling rendah berbanding kawasan sekitar samada di dalam atau luar negara.

Opss … alasannya mudah, “kamu mempunyai Masjid Nabawi yang tidak ada nilainya”.

Kami tidak mempedulikan itu semua. Di sini kami mula menghayati konsep rezeki milik Allah SWT. Tidak usahlah kita berdengki, buruk sangka atau iri hati dengan rakan sejawat. Usahlah dihantar surat layang kepada Dekan kerana rakan sebilik gajinya lebih lumayan daripada kita.

Benar … saya sungguh bersyukur dengan nikmat berada di Madinah. Universiti Taibah  hanyalah cara Allah SWT memberi nikmat tersebut.

3 thoughts on “900 Tahun di Madinah

  1. Sungguh benar. Ilmu yg disampaikn masa disana juga amat bernilai kpd kami dari pandangan org biasa ini.

  2. Assalamualaikum wrt Prof dan Kak Roza.
    Saya sangat looking foward utk baca cerita sambungan Prof. Saya masih ada curiosity yang sangat tinggi tentang penghijrahan Prof dan Kak Roza pulang ke Malaysia. Saya (dan ramai lagi ahli MKI pastinya) sangat gembira dgn kepulangan kalian, dapat kami berdakwah secara terus. Tapi meninggalkan Madinah, apatah sesatu yang diimpikan oleh Prof (dan juga saya) adalah juga sukar pada pendapat saya.

    Terima kasih Prof. UMKI banyak membantu saya membina jiwa yang lebih signifikan.

  3. Assalam Prof…terima kasih kerana perkongsian yg Prof dan isteri serta rakan-rakan penulis Prof usahakan memberi impak yg baik untuk mengenal dan membina diri yg lebih diredhai ALLAH buat saya dan pembaca lain Insyaallah….

Leave a Reply