“Nearest, Madam”

Ia doa dan harapan.

Hidup bersendirian di Chennai menyebabkan saya sentiasa berharap ketibaan keluarga. Alangkah indahnya andai mereka punya masa terluang, saya mahu bawa mereka tinggal bersama di tempat nan indah ini. Saya berangan-angan membawa mereka berjalan ke sana sini, melihat itu dan ini dan perkenalkan beberapa budaya yang pasti akan menarik minat mereka.

India bukan seratus peratus apa yang mereka tonton di TV dan baca di buku. Ada banyak keindahan di sebalik kawasan setinggan dan kesesakan. Ada muzik indah yang bermain di kepala di sebalik kebingitan seluruh bandaraya ini.

Alhamdulillah … sesekali Allah SWT memeberi masa terluang itu.

Disember 2009, sebaik sahaja peperiksaan SPM tamat, kami menaiki Air India dari KLIA ke Chennai. Pengalaman menaiki Air India tiada tolok bandingnya. Air India, syarikat penerbangan yang dipunyai oleh kerajaan India, mula beroperasi pada tahun 1932. Keadaan fizikal kapalterbang kepunyaan Air India amat menyedihkan. Mungkin kerana perjalanan KLIA – Chennai bukan laluan mahal, mereka tidak kisah untuk menggunakan pesawat usang.

Kerusi penumpang senget dan berlubang; hiasan dalaman kapalterbang membawa kami kembali ke zaman TV hitam putih dan aroma dalam pesawat memualkan. Kami pilih penerbangan ini kerana ia menawarkan kadar harga yang paling murah!

Perjalanan hampir lima jam menjadi lebih meriah bila tiba-tiba berlaku pergaduhan di antara dua anak kapal. Asalnya mereka mengusik antara satu lain. Nada suara yang tadinya mesra berubah menjadi kasar. Siap memaki hamun dan menjerit-jerit. Ya Allah! Kami sebagai penumpang menjadi malu melihat gelagat mereka.

Sampai di lapangan terbang antarabangsa Chennai, saya biarkan Lala, Jimie dan Abey menikmati suasana yang begitu unik kepada mereka. Terpancar keterujaan mereka bila mereka ketawa berdekah-dekah tatkala melihat ribuan manusia membanjiri balai ketibaan.  Masing-masing memegang placard dan bunga sambil berasak-asak di tepi railing.

“Mama! Rasa macam selebriti la pulak. Ala-ala red carpet ni Ma!” kata Jimie.

Kami tergelak melihat mereka bertiga berjalan dengan pipi merah menyala! Jimie dan Lala tanpa segan silu melambai-lambai ke arah kumpulan manusia yang bersesak-sesak itu.

Dari jauh, kelihatan Iyappan tegak berdiri menanti ketibaan kami dengan senyum simpul dan jambul yang berkilat bersapu minyak kelapa. Lagak dan gaya Iyappan saling tak tumpah hero filem Tamil.

“Iyappan!! These are my children – Lala, Jimie and Abey. This is young Sir, Abo.   Remember him? And I bet you still remember my husband?” Saya perkenalkan            keluarga saya kepada Iyappan.

Iyappan tersenyum, malu-malu kucing. Tangannya menangkap Abo dan diletakkan di atas bahunya. Abo ketawa kesukaan. Diletakkan Abo kembali seraya berkata:

“Madam, you wait here. I take car.”

Segera ditolaknya troli yang berisi beg-beg kami menuju ke kereta. Saya kerahkan Jimie dan Abey ikut sekali. Kelihatan Jimie mahu menolak, tetapi ditepis oleh Iyappan. Begitulah batas antara pekerja dan Tuan di sana. Ada jarak yang memisahkan.

Iyappan tiba di hadapan kami kemudiannya dengan SUV Pak Hassan.

“MD said Madam, you use his car. So many of you. Cannot go into the small car.”

Subhanallah! Nikmat Tuhan manakah yang kami patut dustakan? Di tempat asing ini, kami mendapat kemuliaan yang tinggi dari insan yang tiada pertalian dengan kami.

Anak-anak menjadi semakin teruja dengan pengalaman baru mereka.

“Mama! Kenapa kat belakang lori tu dia tulis SOUND HORN?”

“Depa nak suruh orang belakang bunyikan hon.”

“Tak pasal-pasal pun nak kena bunyikan hon? Hahahahaha!”

“Kak, tengok tu. Motor ke kereta tu Pa?”

“Kat sini depa panggil otto.”

Pelbagai soalan mereka kemukakan. Pengalaman baru ini membuat mereka terkekek-kekek ketawa.

Dua minggu rumah banglo di Cheptet, Chennai itu dipenuhi dengan gelak ketawa dan warna-warni. Selain dari shopping, mereka teruja dapat peluang bermain kriket di atas bumbung rumah dan di tepi pantai yang panas menggila, menunggang motosikal di jalanraya yang sibuk dan makan makanan enak masakan KaKa setiap hari, biarpun hampir semuanya berperisa masala.

Ada sekali Iyappan mengajak kami ke sebuah tempat pelancungan. Katanya tempat itu cukup cantik. Tanah tinggi yang diberi nama Iliyangiri. Berkali-kali kami tanyakan kepadanya, berapa jauh tempat tersebut dari Chetpet.

“Nearest, Madam.”

“How many kilometres la Iyappan?”

“Very near, Madam! Don’t worry.”

Kami bertolak awal pagi dari Chennai dengan mengira kemungkinan jarak yang bakal kami tempuhi ialah 50 kilometer. Sampai naik kematu punggung kami, jawapan skema Iyappan tetap sama – nearest! Ternyata ‘nearest’ Iyappan melebihi 200 kilometer!

Subhanallah! Iliyangiri sememangnya begitu cantik dan jelas belum terusik oleh pencemaran. Hilang segala kisah penat letih dan kematu. Tasik yang luas di atas tanah tinggi ini mengubat segalanya. Sesungguhnya nikmat Allah itu amat besar kepada mereka yang bersyukur.

“Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.”

Terjemahan Surah Al-Hajj ayat 46

2 thoughts on ““Nearest, Madam”

  1. hihi…MasyaAllah Tabarakallah, saya tergelak sendirian membaca coretan pengalaman indah puan & keluarga.

    Tertanya2 juga, adakah puan, suami ataupun anak2 yang boleh berbicara menggunakan bahasa tempatan (mungkin tamil/ hindustan)?

  2. Tiada antara kami yang tahu berbahasa Tamil atau Hindi. Di sana hampir semua orang faham dan boleh berbahasa Inggeris walaupun bahasa pasar. Tetapi, kalau dengar mereka bersembang dalam bahasa mereka, faham juga lah sikit-sikit.

Leave a Reply