Pinjaman kepadaNya: Ia seperti hembusan angin

Abang ipar Pak Hasan, Pak Khalid Buhari, memiliki sebuah rumah ladang yang besar dan cantik di Guduvancherry. Kami sekeluarga sempat menghabiskan satu hujung minggu di rumah tersebut. Perjalanan menaiki Ford Fiesta amat megujakan. Anak-anak bergembira dengan jalan raya seumpama “roller coaster’.

Lebuh raya yang membolehkan kereta dipandu laju juga membenarkan lembu-lembu melintas dan berjalan-jalan dengan lemah gemalai. Kalaulah ada antara kami yang punya jantung yang lemah pasti sudah ada yang gugur.

Kami berhenti bersarapan di sebuah kawasan R&R. Saya bayangkan berada dalam filem koboi melihat persekitarannya bagaikan padang jarak padang tekukur. Habuk pekat berterbangan  dibawa angin sejuk bulan Disember. Teh tarik di situ saya anggap sebagai teh tarik yang paling sedap pernah kami minum.

Cawannya diperbuat dari ayan dan dilapik dengan piring yang kelihatan seperti mangkuk. Iyappan mengajar kami bagaimana mahu minum – tuang air  ke dalam mangkuk tersebut, dan kemudian tuang semula ke dalam cawan, hingga ia berbuih dan sejuk untuk diminum. Oh!

Rumah ladang yang tersergam indah menggamit perasaan kami untuk meneroka ke segenap penjurunya. Ia mempunyai 6 bilik, dikelilingi sawah padi, ladang kelapa dan ladang sayur. Kami diberitahu bahawa rumah itu tidak pernah didiami oleh tuannya. Ia hanya rumah singgah yang sesekali dikunjungi biarpun binaannya amat menarik, seumpama hacienda di Sepanyol.

Subhanallah.

Persekitaran menakjubkan itu begitu tenang dan mendamaikan. Ada sangkar-sangkar burung kakak tua berwarna-warni dan burung bayan yang riuh menyanyi, ada pancuran air yang melantunkan alunan indah menghiasi laman dan ada suara berbelas pembantu yang riuh di dapur menyediakan pelbagai persiapan. Bagaikan mahu mengadakan kenduri; walhal hanya kami enam beranak berserta Iyappan yang ada.

Mr Abdullah, pengurus ladang membawa kami menjelajah ladang seluas 75 hektar itu. MasyaAllah! Kami benar-benar terpegun. Pelbagai jenis ternakan dijaga rapi. Begitu juga sayur-sayuran. Kami kemudiannya dipandu oleh Iyappan ke ladang sebelah yang lebih luas.

            “How big is the other farm, Sir?” Tanya saya kepada Mr Abdullah.

            “Not big. Only 300 hectares!” Glup!

Mereka ternak kambing, ayam, burung puyuh, lembu dan beratus jenis sayuran di situ. Kami benar-benar terkesima!

Kami sempat menyaksikan petani-petani yang memakai pakaian berwarna-warni menyanyikan lagu-lagu pelbagai rentak sambil menanam padi di tengah sawah. Takjub kami melihat suasana yang bagaikan dalam filem Hindi dan Tamil. Bertuah.

Di malam harinya, Mr Abdullah mengajak naik ke atas bumbung. Disuluhnya ke atas… jelas terlihat di pandangan kami berjuta bintang bertaburan di langit luas. Melonjak hati kerana teruja…… Subhanallah!

Usai solat Subuh keesokannya, saya tercari-cari di sang suami. Puas saya berjalan di dalam dan di luar rumah, akhirnya ternampak dia di atas bumbung. Jauh renungannya. Tatkala terlihat kami sedang bergelak ketawa di bawah, dia menjerit dan menyarankan agar kami bersarapan di situ. Ewah! Lebih-lebih la pulak….. Tetapi, saya layankan juga dengan meminta Iyappan mendapatkan kebenaran daripada ketua orang gaji.

Nah! Sekejapan terlihat susuk-susuk tubuh orang gaji berbondong-bondong mengangkat permaidani dan makanan yang telah siap dimasak, dan dihamparkan di atas bumbung mengadap sawah yang terbentang luas.

Allah Ya Allah! Keindahan pagi itu sungguh menakjubkan. Cahaya matahari terik memantulkan warna keemasan apabila terkena rumpun padi yang sedang menguning. Pokok-pokok padi yang berwarna hijau, bertukar menjadi emas jika dipandang dari tingkat atas. Kami seolah sedang memandang lautan emas di hadapan kami!

Di tengahari, Mr Abdullah singgah untuk makan bersama kami. Beras yang dimasak datang dari sawah hadapan. Panjang-panjang berasnya. Rasa seperti kapas. Wangi dan enak sekali. Lauk burung puyuh segar masak kari membuat kami hampir lupa diri. Timun, lobak dan bawang segar yang baru dipetik, dijadikan ulam. Rasanya amat manis sekali.

Gatal mulut saya bertanya kepada Mr Abdullah:

            “Where do you sell these products, Sir?”

            “You mean, send, Madam?”

            “No, I mean, sell.”

            “Mr Khalid Sir never sell, Maam. All of these crops – rice, veges, poultry, quails, milk, mutton, fruits – he sends to universities for students to eat. Sadaqah, Madam.”

Hampir tercekik saya mendengarnya. Ternganga mendengar sesuatu yang langsung tidak terduga.

            “Mr Khalid’s family has university, nursing colleges, teachers colleges, schools. Many. Everything free there, Sir. Our children also there.” Sambung Mr Abdullah.

Allah ya Allah! Begitu sekali mereka menggunakan kekayaan dari perniagaan mereka sebagai sumber syurga mereka. Saya teringat kisah Rasulullah sebagai saudagar yang berjaya. Dengan sumber pendapatan yang begitu banyak, baginda sentiasa berinfak “seperti hembusan angin”.

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhu bahwa Rasuluillah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda; “Pedagang yang sentiasa jujur lagi amanah akan bersama para Nabi, orang-orang yang selalu jujur dan orang-orang yang mati syahid.”

Hadis Riwayat Tirmidzi

20 thoughts on “Pinjaman kepadaNya: Ia seperti hembusan angin

  1. Subhanallah.. sungguh saya teruja membacanya. Pernah saya terfikir alangkah baiknya kalau ada org yg sudi memberi makan percuma pd pelajar2 susah di sini..
    alangkah hebatnya manusia begini

  2. Ya Allah, Ya Allah, sentiasa teruja dengan cerita Cikpuan Mahasuria. Aduhai, seronoknya jadi orang kaya yang mulia hatinya, terlalu banyak kebaikan dan kebajikan yang boleh dilakukan. Semoga Allah membalas segala pengorbanan Mr.Khalid dan keluarga beliau dengan Jannatul Firdaus.

  3. Maha Suci Allah. Teruja membacanya. Mereka tersangat kaya raya. Sentiasa bersedekah. AllahuAkbar.

  4. Subhan ALLAH…Begitulah kalau ALLAH menghendaki kita menjadi penderma..semuanya pasti nikmat tidak ada sedikit pun perasaan takut akan kekurangan/rugi…
    Hidayah yang sangat tinggi nilainya…Subhan ALLAH.

  5. Saya seolah2 dibawa bersama menikmati keindahan bersama Puan Suria. Alangkah indahnya andai ia menjadi kenyataan…Allahuakbar begitu pengakhiran cerita yang menakjubkan, tidak terjangkau fikiran. Balasan syurga yang kekal abadi untuk En. Khalid. Moga Allah izinkan saya ke sana..

  6. Kisah yang sangat menarik sebagai sumber inspirasi untuk memuliakan amalan sadaqah…

  7. Terkesan dgn cerita ini. Penceritaan secara santai namun dapat memberi kesedaran. Tidak rugi orang yang menginfakkan harta mereka dgn niat semata-mata kerana Allah SWT.

  8. menggunakan kekayaan dan nikmat yg diberikan kepada jalan Allah. subhanallah

  9. SubhanAllah….
    Ya Allah… Kau jadikanlah aku orang kaya yang pemurah….

  10. subhanallah.. ya Allah kurniakan kda ku sebgaimana Engkau mengurniakan kepada hambaMu ini..

  11. Subhaanallah…semoga menjadi sumber inspirasi jutawan2 kita ttg hebatnya sedeqah dan perlunya membantu mereka yg benar2 memerlukan bantuan terutamanya mangsa2 banjir dikelantan yg masih lagi tinggal dikhemah

Leave a Reply