Sukarnya Bertabah

Bekerja dengan nombor dan fakta sentiasa menggembirakan. Saya “hidup” bila bertemankan calculator, pen dan timbunan kertas. Apabila berniaga sendiri, saya selalu buntu sebab perlu bertentang mata meyakinkan pelanggan. Apatah lagi bila sampai bab nak close deal.

Saya akui saya tidak ada latihan asas dalam bab “Sales & Marketing”. Ia kepandaian yang saya kutip melalui pemerhatian dan on-the-job kerana sepanjang pengajian di pelbagai peringkat, subjek pemasaran tidak pernah termasuk dalam silibus.

Memberi penerangan tentang kualiti produk, harga, pelan pemasaran dan lain-lain fakta semudah A,B,C buat saya, tetapi bila tiba bab menanti jawapan kepada “punch line”, “Tuan/Puan nak beli yang mana?”, saya selalu terkedu. Paling ngeri bila dapat jawapan:

“Nantilah, saya tanya husband dulu ye? Kalau dia kata okay, saya akan beritahu.”

Aduh! Saya kalah mati di situ. Mahu diteruskan perbincangan, nanti dia marah. Nak dibiarkan, sakitnya….. Banyak masa dan usaha sudah dilakukan. Terasa sungguh sia-sia semuanya.

Waktu mula-mula menerima jawapan yang mempunyai keyword “suami”, saya keliru. Apa pulak suami perlu buat keputusan? Bukankah isteri sudah bersusah payah bekerja mencari wang, kalau memang barangan itu dia perlukan, suami tidak ada hak untuk buat keputusan sebaliknya. Itulah pandangan hati.

Selepas beberapa bulan, saya makin banyak beralah. Saya terima jawapan mengikut situasi. Sudah tahu membezakan bila kalanya pelanggan memberi alasan, mengalih perhatian atau jujur menyatakan isi hati.

Dalam satu kes lain, saya memang pasti ada payment yang bakal masuk. Sudah tercatat dalam “payment schedule” wang tersebut akan digunakan untuk membayar beberapa bayaran yang sampai tempoh. Allah takdirkan ia tidak jadi begitu. Duit yang sepatutnya masuk tidak muncul, maka tertunggaklah bayaran yang perlu dilunaskan.. Sedih dan malu tidak terkata.

Ada keadaan juga saya korbankan masa dan wang ringgit yang bukan sedikit. Hantar sample, bil talipon melambung tinggi, kos ke sana ke mari tidak terkira jumlahnya. Awalnya, semua nampak positif.

Pelanggan gembira selepas dua minggu proses meyakinkan beliau berlangsung. Saya panjatkan kesyukuran kepada Allah tatkala menerima mesej darinya yang memberitahu bahawa wang akan dimasukkan secara online. Rasa macam nak buat kenduri!

Usai solat subuh keesokan harinya, saya buka handphone dan baca mesej yang masuk. “Sorry Sis. I have to cancel my order. Something urgent popped-up. Next time, maybe.”

Terduduk saya. Saya benar-benar buntu dan tidak tahu bagaimana mahu menghadapi situasi yang menyakitkan ini. Berjurai airmata menangis. Jantung bagaikan mahu gugur dari tangkainya. Dalam sedu, saya pujuk hati. Belum masanya lagi, Su. Sabarlah. Berhari juga saya murung kesedihan.

Pernah saya sewa booth. Seawal pukul 7 pagi sudah keluar dari Shah Alam bersama barang dagangan penuh sekereta menempuh kesesakan lalu lintas ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan saya berdoa agar Allah beri rezeki melimpah buat kami sekeluarga.

Makan pun sekadar alas perut saja. Selepas 3 hari mengulang rutin, bayaran sewa tapak pun tidak lepas. Belum kira duit minyak, duit gaji, duit parking, duit tol. Rugi habis. Goyahkah hati? Putuskah harapan?

Tidak.

Selagi ada kudrat dan upaya, saya bertahan. Ujian ini menguatkan semangat. Saya pinta bukan setakat dipermudahkan segala urusan, tetapi juga kekuatan hati. Semoga Allah berikan kesabaran tinggi pada saya. Dalam masa sama, saya bersyukur dikurniakan mentor dan jemaah @ “team” yang hebat. Setiap kali buntu apabila berdepan dengan situasi sukar, suara mentor sentiasa ceria di hujung talian.

Sahabat-sahabat dalam jemaah tidak pernah lokek dengan tunjukajar, membangkitkan semangat yang hilang, menghiburkan hati dengan gurauan dan usikan. Andai terasa diri lemah tidak bermaya, merekalah penglipur lara untuk saya bangkit segera. Kasih sayang itu membahagiakan.

Namun, bukan setiap masa hidup ini susah. Alhamdulillah, banyak juga ketikanya Allah beri sesuatu tanpa disangka-sangka. Kadang tu barangan yang tidak kita jual pun ada yang menempah dan minta kita adakan. Ada ketikanya, pelanggan datang menyerahkan wang tanpa perlu kita berkata apa-apa.

Tidak perlu bersedih bila apa yang diharap tidak menjadi. Perit bagaimana sekali pun, Allah akan kurniakan rezekiNya. Tidak akan dibiarkan hambaNya kehampaan atas sifatNya Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dialah Yang Maha Pemberi Rezeki.

Duduklah berteleku di sepertiga malam merayu padaNya. Menangislah biarpun airmata sudah tidak mahu mengalir lagi. Luluhnya rasa hanya sendiri yang tahu. Sudah susah bertambah susah. Sekali, dua kali, tiga kali … malah kadangkala setiap hari berdepan dengan kekecewaan. Saya tidak mahu bertanya “kenapa” kerana saya tahu jawapannya. Yakinlah.

“Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat), sehingga engkau reda – berpuas hati. (Terjemahan Surah Adh Dhuha ayat 5.)

Cuma, di zaman yang serba moden ini, saya kecewa dengan ramai orang ‘kita’ yang mahu jadi senang tanpa perlu bersusah. Melabur dalam pelbagai skim, program, pelan yang tidak patuh syariah. Labur RM150, anda pasti akan menerima RM50,000 tanpa perlu menjual barangan.

Eh! Perniagaan apakah ini? Di mana aqagnya? Bayaran itu untuk apa? Tiada produk mahupun perkhidmatan diberikan, tetapi bayaran dibuat kepada “system”? Ramai yang semakin pandai menggunakan perkataan “Islamik” seperti mahabbah, kasih sayang, sedekah, infaq…. Saya amat berharap rakan-rakan saya membaca segala yang tersurat dan tersirat sebelum melibatkan diri. Takutlah dengan risiko yang bakal dihadapi.

Ya…saya mengaku saya juga pernah melanggar hukum Allah. Saya manusia yang tidak maksum. Ilmu saya yang cetek “membenarkan” saya melakukan kesalahan demi kesalahan. Berkat petunjuk dan hidayah dariNya, saya bertaubat nasuha, tidak akan saya ulang apa yang telah berlaku sebelum ini dan saya pohon Allah ampunkan segala kesalahan saya.

Kejayaan itu perlu diiringi dengan usaha dan doa. Ia tidak akan datang bergolek begitu sahaja. Wallahualam.

NOTA MKI: Kunjungi Facebook Kedai Batu & Co yang diusahakan oleh puan Suria dan suami.

7 thoughts on “Sukarnya Bertabah

  1. Assalam,
    Semuga Allah gantikan yang terbaik disisiNYA di atas kegigihan puan yang tidak berputus asa.

    Saya turut semangat membaca catatan puan.

  2. As salam puan,

    Sy juga mengalami pengalaman seperti puan..bahagian sales n marketing utk product kewangan yg sy ceburi memang mencabar..terutama utk closed deal. Sudahlah mendapat appointment pelanggan menuntut ‘skill’ ayat2 yang power utk berjumpa belum lagi diakhiri dgn closed deal. Jawapan ‘nanti sy fikir’ , , nak tanya pasangan dulu, tak berminat, belum masanya…memang menuntut kesabaran yg tinggi. Kdg2 dah closed tp blh cancel last minute..Ya Allah memang rasa penatnya…

    Bila difikir2..sesungguhnya segala berlaku dgn izinNya..Dia memegang hati2 manusia..kpdNya kita tawakal setelah segala usaha. Ada sesuatu didepan sana yg Dia sediakan lbh baik ganjarannya..hanya perlu YAKIN. Membaca artikel puan ni..menambahkan keyakinan sy. Terima kasih puan. Semuga kita semua mendapat kasih syg dan rahmatNya.

  3. terima kasih Puan atas perkongsian pengalaman… sangat memberi kesan. Semoga Puan sekeluarga sentiasa berada dalam keberkatan dan berjaya dalam bidang yang diceburi….

  4. patutlah 9/10 daripada pintu rezeki itu adalah dalam perniagaan….cabarannya sangat hebat. Berbanggalah wahai para usahawan sekelian kerana usahan juga adalah sunnah para Nabi…. selain keuntunagn dalam bentuk material, keuntungan spiritual juga pastinya sangat berharga….

Leave a Reply