Salut untuk Mereka

Banyak yang saya pelajari sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini. Tidak mudah untuk membina kekuatan dalam masa singkat, apatah lagi untuk mendaki ke puncak jaya. Tersadung, tersungkur, terduduk, menangis, ketawa, tersenyum gembira, melompat ria – semuanya ada.

 

Alhamdulillah. Allah kurniakan nikmat persahabatan dan kasih sayang yang tiada taranya. Teman ada ramai di keliling tetapi sahabat amat sedikit bilangannya. Ia nikmat dan kurnia Allah kepada hambaNya yang meminta. Sokongan padu yang diterima dari mereka yang menyayangi memudahkan saya membina kembali kekuatan diri, sedikit demi sedikit. Biar saya kongsikan sedikit dari mana kekuatan itu datang.

Tuan Ceo 

Saya ikuti Tuan Ceo di facebook. Beliau menggunakan tagline Pakar Bisnes dari Rumah. Satu hari beliau iklankan kursus percuma di rumahnya bertajuk “Bermula Kecil Bermula Betul”. Saya hadiri kursus tersebut dengan seribu satu persoalan di hati. Banyak yang Tuan Ceo kongsikan.

Satu yang pasti, ilmu yang dikongsikan belum saya perolehi dari universiti. Ia ilmu dapatan yang dikutip hasil pengalamannya sendiri. MasyaAllah! Saya makin mengagumi kesungguhan beliau. Begitu fokus dengan apa yang diusahakannya.

Tuan Ceo tidak putus-putus memberi kata-kata perangsang kepada saya. Saya akui ia bukan sesuatu yang mudah realitinya, kesakitan saya begitu kronik.

Puan Ezza

Saya berkawan dengan Kak Ezza juga di facebook. Saya hanya ikuti statusnya dan tidak pernah pun bersembang dengan beliau. Ditakdirkan Allah, kami bersama dalam rombongan usahawan ke Jakarta-Bandung-Garut pada bulan April lalu. Kami berpeluang berkenalan dengan lebih rapat dan saya mengagumi beliau dalam diam.

Kak Ezza begitu bersemangat membina sikap keusahawanan dalam diri saya. Tidak jemu beliau bawa saya ke sana ke mari, berkongsi pelbagai tips sambil memimpin tangan saya melalui jalan dan lorong yang betul. Hampir saban hari beliau berpesan, “Jalan terus! Ikut kata hati. Allah ada.”

MakTok

Saya diperkenalkan kepada beliau oleh seorang sahabat. MakTok datang ke rumah dan amat menyukai masakan tengahari yang saya sediakan serta “crowd” yang hadir.

Sebulan kemudian, MakTok jemput saya dan suami ke Alor Setar dan kami mula mengenali satu sama lain  dengan lebih dekat. MakTok yakin saya boleh lakukan sesuatu yang “outstanding” dalam masa terdekat dan pasti akan melonjak naik. Berulangkali beliau berpesan supaya saya lepaskan apa pun yang bersarang di hati.

Tiga insan hebat di atas adalah mentor bisnes saya. Mereka terima saya tanpa persoalan. Senang cerita, saya diterima seadanya.

Mereka hadir tatkala kehidupan saya dilanda badai. Masih terasa sakitnya bila terkenang kala  keseorangan. Benarlah jawapan Saidina Ali waktu ditanya, “berapa ramaikah sahabatmu?” “Tunggu sehingga aku dilanda kesusahan. Aku akan kira bilangan mereka.”

Astaghfirullahilazim. Begitu sukar rupanya melupakan kesakitan lalu.

Saya amat menghargai kehadiran mereka. Mereka penuh dengan kasih sayang. Mereka memainkan peranan penting dalam melahirkan Suria yang kini.  Saya perlukan mereka lebih dari mereka perlukan saya.

Bila bersama mereka, peluang untuk saya tersasar dapat dikurangkan. Ia jadi begitu kerana mereka lebih tahu di mana lopak dan berapa dalam setiap lopak. Mereka juga tahu bila mereka perlu perlahankan larian dan bila untuk memecut tanpa menoleh. Mereka tarik saya untuk bersama mereka di persada kejayaan.

Ketiga-tiga mereka adalah usahawan berjaya. Wang ringgit bukan sesuatu yang mereka cari. Bagi mereka ia bagaikan udara yang memang mencukupi untuk digunakan seadanya. Mereka ikut kata hati dan fokus dengan apa yang mereka usahakan.

Kak Ezza sedang membawa saya melangkah laju dalam perniagaan. Keyakinan beliau membangkitkan semangat membara dalam diri saya.  MakTok galakkan saya untuk melompat lebih tinggi dan tidak lagi berpaling dengan menyediakan platform yang besar, stabil dan lengkap.

Pesan MakTok yang tersemat dalam benak fikiran saya, “Biaq pi lah apa pun, Su. Usahalah. Sabar, solat dan tawakkal. Fikirkan anak-anak”. Tuan Ceo pula sentiasa berbangga walau dengan satu pencapaian kecil. Bagi beliau, tiada kejayaan tanpa usaha.

Alhamdulillah. Berkat bimbingan dan tunjukajar mereka bertiga, saya mendapat peluang keemasan untuk berdagang merentasi benua. Saya juga menerima beberapa anugerah hasil kejayaan dalam bisnes kecil yang saya ceburi.

Allahuakbar. Berjuraian airmata tatkala menerima kesemua khabar gembira itu. Ia di luar jangkauan akal.

Selain mereka bertiga, saya masih punya ramai rakan yang sentiasa setia menemani, termasuk siswa UMKI. Mereka tahu saya sedang menangis hanya dengan membaca ayat yang saya tulis.

Saya simpan nama dan wajah mereka di kedudukan yang paling tinggi. Saya sebut nama-nama mereka paling sedikit 5 kali sehari di hadapan Allah. Saya mahu bersama mereka di dalam syurgaNya nanti.

Saya sendiri… sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan. Saya tidak mahu dan tidak akan mendustai biar sekelumit pun nikmat itu. Saya begitu yakin bahawa bersama kesusahan itu, ada kemudahan. Saya sudah lepaskan kesakitan lalu. Ia bukan sesuatu yang indah untuk dikenang. Saya sudah buang jauh-jauh, dengan watak-wataknya sekali.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allah hu akbar.

Ayat 4 Surah Al-Mumtahanah yang bermaksud seperti di bawah amat besar pengertiannya. Saya berharap ia sebati dalam diri.

Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!

Ampunkan aku Ya Allah. Terimalah taubat nasuhaku. Aku redha dengan segala ketentuanMu. Aku juga telah memaafkan semua yang mengenali diri-ku.

11 thoughts on “Salut untuk Mereka

  1. Terbaik dan sentiasa terbaik..wpun siapa kita pada hari ini.
    Miskin kaya ukuran dunia..
    Ada org yg merasa sikit tu sakit..tp pd kita sikit tu la yg membahagiakan sbb sentiasa tampat luas..kerana apa ..kerana kita sentiasa syukor dgn nikmat dan rezeki yg kita dapat.

  2. Terima kasih atas perkongsian ilmu Pn Suria…Saya print..tulisan ini …untuk dijadikan semangat dalam mengejar cita-cita…Moga segala urusan kita akan dipermudahkan. Insyallah….

  3. masya Allah…saya dpt rasakan begitu ikhlas sekali Puan melupakan kisah dulu dan memaafkan semua org ….acap kali kita dengar ini , tapi tidak terkesan…tetapi bila Allah hendak memberi ,iktibar itu boleh dtg melalui penceritaan dari seseorang…teruskan menulis Puan…Allahu Akbar

  4. saya maafkan semua orang itu tetapi saya tidak pula mahu berkawan semula dengan orang itu. tak apa ke puan? sebab saya tahu saya akan melakukan kesilapan yang sama. iaitu memberi peluang kepada orang itu mengambil kesempatan atas kelemahan saya.

    ain

  5. Hidup ini kan ada pilihan. Kita pilih dengan siapa kita mahu berkawan.

    “Wound heals. Scars remain”.

Leave a Reply