ASMAH HANIE : Sabar dan Solat

 Apa ujian paling berat pernah anda lalui dalam hidup ini?

Matanya memandang tajam. Kemudian beliau ulang pertanyaan tersebut seorang demi seorang. Prof MKI tidak langsung tersenyum.

Ya ALLAH, kenapa tiba-tiba jantungku berdegup kencang ni?

Jantung bagaikan mahu tercabut dari tubuh. Belum pernah rasanya aku alami debaran seperti ini. “Fuhhh … AlhamduliLLAH,” aku menghela nafas lega apabila soalan terhenti pada dua peserta sebelumku. Perlahan-lahan jantungku kembali tenang.

Begitulah aroma dalam diri berhadapan dengan Prof MKI ketika beliau memulakan sesi pertama Menulis Gaya MKI. Hakikatnya, aku sungguh terinspirasi dengan semangat dan kesungguhan Prof dalam setiap lakunya. Ketika berdepan dengan pelbagai ujian, Prof bersama isteri kesayangannya – Puan Roza – tetap tersenyum. SABAR dan SOLAT merupakan password yang diberi olehNYA dan perlu digigit kuat oleh geraham setiap manusia yang diuji.

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.

(Terjemahan al-Baqarah:153)

Bergenang air mata. Hati rasa direnggut mendengar kata-kata semangat dan ingatan tentang tip dari ALLAH buat mereka yang diuji. Kanser payudara tahap II sememangnya ujian paling berat aku lalui setakat ini. Jika benar soalan itu diajukan kepadaku semasa slot pertama itu mungkin aku gagal menahan sebak!

Perasaan sebak bertukar gembira dan teruja apabila Puan Roza berkongsi pengalaman kanak-kanak beliau dan diakhiri dengan sesi memasak nasi Arab yang menjadi kegemaran isi rumahku. Bezanya, nasi arab ini diterbalikkan. Kami tidak putus berdoa sementara menunggu ia diterbalikkan agar ia menjadi, sedap dan menyihatkan mereka yang menikmatinya. Itulah pesan puan Roza agar apa yang dimasak mendapat reda Ilahi.

AlhamduliLLAAAH…

Bergema ruang dapur Ar-Raudhah. Itulah ucapan keluar dari mulut masing-masing. Terpancar kepuasan dan kegembiraan di wajah kami setelah segunung ‘Nasi Maqlubeh’ dipersaksikan di hadapan mata. Ia cantik dan unik. Hati terus berniat mahu mencuba di rumah untuk dinikmati bersama keluarga.

Besoknya, awal-awal lagi kami dihidangkan tentang sifat dan gaya penulisan MKI yang lebih realistik dan bermotifkan keinsafan sebagai seorang hamba kepada Pencipta. Prof berbicara direct to the point. Begitulah … hasil tulisannya juga begitu, santai, ringkas tetapi signifikan.

Cuma – aku fikir – aku perlu kebal dengan cara Prof memberi kritikan kepada anak-anak muridnya. Sungguh … slot tiga jam ini banyak mutiara berguna bagi mereka yang baru berhajat untuk menulis.

Aku memohon keampunan dari mu Ya Allah.

Leave a Reply