DIAN : Saya di Segamat?

Nama saya Dian Narukaya Dirham. Asal dan menetap di Acheh, Indonesia. Saya pengikut Facebook Prof MKI dan Roza Roslan. Barangkali boleh dihukum sebagai pengikut setia.

Namun tentunya masih dikira “gila” untuk bersama mereka di daerah Segamat, Malaysia bagi mengikuti pakej Hujung Minggu semata-mata mahu belajar menulis gaya MKI dan memasak bersama Roza Roslan. Saya tidak tahu di mana Segamat. Bagaimana mahu ke sana selepas mendarat di KLIA?

Kini ada sesuatu yang pasti. Keputusan mahu bersama mereka adalah salah satu keputusan paling cemerlang dalam hidupku.

Biar saya berterus terang. Hati bergejolak dalam dada memikirkan mahu belajar dan tinggal bersama dengan sembilan yang tidak pernah saya kenali. Benar … kami bertujuan sama tetapi berlainan daerah. Hati sentiasa memohon dan menyebut, “Allah Maha memudahkan hamba Nya,” selalu menenangkan saya.

Prof MKI mengumpulkan kami di dalam kumpulan Whatsapp sebelum bertemu bertentang mata. Allah ya Allah … Dia gerakkan hati untuk dsaya berhubung dengan wanita bernama “FARA”.

Begitulah mulanya detik pejalanan bersama  wanita istimewa ini. Kami menyusuri perjalanan melewati  jalan sunyi, berkelok-kelok dan di kelilingi oleh pepohonan sawit melebihi 200 km. Begitulah pengalaman melihat bumi Allah, menikmati keindahan beberapa negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor – menuju suatu tempat dengan satu tujuan yang sama bernama :

AR-RAUDHAH SEGAMAT HOMESTAY

Masha Allah …  Tabarakallah. Kami tiba di Ar Raudhah di sambut Prof MKI dan menerima pelukan hangat Kak Roza. Hati terus berbisik :

Ya Allah … hilang rasa takutku.

Saya tidak berbohong. Kesemua rasa cuak dan curiga sesat tidak berbekas apabila menatap wajah mereka. Mereka berdua menyambut tamu dengan memberi rasa sangat istimewa di hati. Aneh … seakan-akan kami sebahagian dari keluarga yang sudah lama tidak berjumpa.

Membaca tulisan dan mendengar tutur Prof MKI nyata tidak berbeza. Saya melihat kesungguhan beliau dan isteri tetap istiqamah dalam berdakwah. Prof MKI menyampaikan hujah dengan suara sedikit menggelegar. Saya simpulkan, “fokus, bersungguh, berdisiplin sambil sentiasa mengingati Allah SWT”. Beliau mahu kami sentiasa bangun pada 1/3 hujung malam tersisa, “Insya Allah ia akan memberikan hasil maksimal.”

Masha Allah … Tabarakallah, sepantas itu juga saya teruja melihat sosok wanita berada di belakang Prof MKI. Wanita ini – Kak Roza – lemah lembut tetapi nyata hatinya perkasa. Ucapan keluar dari bibir adalah untaian kalimat-kalimat Allah SWT.

Sungguh … Kak Roza wanita sederhana dalam banyak segi, cergas, cekatan dan pandai memasak. Di tangan beliau masakan sederhana menjadi istimewa kerana ia  di masak dengan penuh kasih sayang .

Dua hari yang saya lalui bersama mereka telah membuka mata hati. Ia sangat berbekas betapa dengan izinnya kita berpeluang mengubah diri dan orang lain.

Pertemuan lewat membaca buku-buku dan dipertemukan secara zahir menjadi lebih istimewa. Prof MKI dan Kak Roza membawa kami – saya dan Fara – melihat kampung Paya Jakas yang menjadi latar Travelog Cinta Abadi (Kandil di Kaki Gunung) tempat Kak Roza menghabiskan zaman remajanya.

Kami bertemu Mak – seorang Ibu dan nenek – yang sarat pengalaman hidupnya. Beliau sempat berpesan:

Ubat kepada segala penyakit adalah membaca Al-qur’an.

Prof MKI dan Kak Roza … saya menulis dari Acheh. Terima kasih atas segalanya dan – InsyaAllah – ilmu yang di ajarkan akan menjadi ilmu bermanfaat. 

Dari Jabir bin ‘Abdillah Radhiallahu’anhu bahawa Baginda SAW  bersabda: Mohonlah kepada Allah ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah kepada-Nya dari  ilmu yang tidak Bermanfaat.

Sungguh, saya sudah sampai di Segamat. Ia bukan satu mimpi. Kami memohon ampunan-Mu Ya Allah

5 thoughts on “DIAN : Saya di Segamat?

  1. Sungguh,jika kita bersungguh…keranaNya…Allah akan permudahkan kesungguhan hambaNya…

  2. Jalan dan maksud cerita walaupun telah diketahui dan dapat ditelah namun dengan lenggok gaya bahasa dan penyusunan ayatnya yang ringan menarik untuk pembaca menyudahkan pembacaannya.
    Itulah KEISTIMEWAAN Dian dari Acheh, Indonesia yang kepetahan berbicara dan penulisan sebegini juga sering terdapat dikalangan mereka yang berasal dari tanah seberang ini.

  3. Tulisan Puan Dian sangat istimewa, terasa ada tarikan kuat untuk sentiasa membaca ayat2 seterusnya..

    Moga Allah memberikan ilham dan kekuatan untuk terus menulis dan berdakwah menerusi tulisan..

    Subhanallah..

Leave a Reply