Rezeki MilikNya

Ekspo Perdagangan Dongguan China.

Teruja bos memberitahu jemputan untuk ikut serta. Namun kami terpaksa membatalkan hasrat tersebut kerana pasport beliau hilang. Allah ya Allah … peristiwa hilang pasport di dalam simpanan sendiri berlaku lagi.

Sebulan berlalu.

Mulut saya mula bersuara. Saya mahu bos bersegera melaporkan kehilangan dan membuat pasport baru. Entah-entah ia diperlukan dalam terdekat.

Sekali lagi bos membuka – setelah sekian kali seisi rumah buka dan tutup kotak yang sama – kotak kayu yang terdiam di atas meja. Itulah tempat kesemua pasport keluarga disimpan. Entah kenapa beliau masih menaruh harapan. Tiba-tiba bos bersuara, “nampak macam….”

Bos terbalikkan pasport terletak paling atas dan – alahai – foto beliau terpampang melekat di muka belakang pasport tersebut!

Terduduk Bos sambil beristighfar berkali-kali. Subhanallah. Tidak perlu dipersoalkan mengapa dan bagaimana ia berlaku begitu. Seluruh pandangan isi rumah tertutup pandangan sebelum ini. Tiba-tiba atas kehendakNya berlaku sesuatu yang kelihatan ajaib.

Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

(Terjemahan surah Yaseen : 9)

Dalam masa sama, kawan yang menguruskan misi perdagangan mengkhabarkan bahawa dua orang membatalkan penyertaan mereka disebabkan beberapa masalah. Bos bertanya sama ada saya mahu pergi bersamanya.

Saya tersenyum kelat. Dengan apa mahu dibeli tiket penerbangan dan modal untuk mendapatkan barang dagangan. Saya tidak malu untuk mengakui bahawa kami sedang berhadapan dengan aliran wang tunai yang amat ketat.

Bos bagaimanapun nekad menyerahkan salinan pasport kami berdua kepada penganjur. “Belum tentu mereka luluskan pun kerana masa sudah amat suntuk,” ujarnya. Keyakinannya cukup tinggi bahawa Allah akan berikan jalan untuk kami uruskan masalah lain satu demi satu bila tiba masanya.

Alhamdulillah, dengan izinNya, pada 28 Oktober lalu kami berdua berangkat ke Ghuangzhou, China membawa bersama hampir 100kg barang dagangan dengan sepenuh harapan. Di sepanjang perjalanan kami berdoa Allah berikan kami kekuatan hati untuk bertabah dan berjuang. Kesemua barangan perlu dijual, dan bawa balik hanya duit. Itu target kami.

Tiga hari ekspo antarabangsa yang disertai oleh ahli perniagaan kecil dan besar dari seluruh dunia berlangsung dengan penuh kemeriahan. Debaran di dada usah diceritakan. Tekanan datang dari pelbagai sudut. Pengunjung bertali arus bagaikan semut mengejar gula. Ramai sungguh! Kekangan untuk berkomunikasi disebabkan masalah bahasa penghalang utama. Ditambah dengan pelbagai lagi isu yang menjadikan perkara kecil menjadi masalah besar dan memeningkan kepala.

Kami hanya mampu memohon dan terus memohon kepada Yang Maha Esa agar diizinkan untuk menjual segala barang dagangan kami dengan keuntungan berlipat kali ganda. Wajah anak-anak yang ditinggalkan muncul silih berganti. Kami kuatkan hati mengetepikan segala macam usikan, ejekan dan pandangan sinis mereka yang berhampiran. Fokus kami hanya kepada menjual dan bawa balik wang sepertimana yang dirancang.

Alhamdulillah. Allah beri rezekiNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Mengalir airmata kesyukuran atas nikmat dan kurniaNya. Kami tidak berdaya memperolehi kesemua ini hanya dengan usaha kami sahaja.

Ghuangzhou yang pernah saya jejaki beberapa tahun lalu semakin sibuk dengan jutaan manusia yang berselirat di sana sini. Ia tidak pernah peduli dengan kehadiran peniaga kecil seperti kami, namun kami bertuah kerana diberi peluang untuk meneroka pasarannya.

Saya kagum melihat kehebatan mereka yang kelihatannya mampu mengadakan hampir kesemua yang diperlukan. Mereka ada keupayaan berskala besar untuk menguasai apa jua bidang pun. Kesungguhan dan kerajinan mereka sentiasa mengagumkan saya. Bagaikan tiada istilah “nanti” ataupun “biar dululah…” dalam kamus hidup mereka.

Tindakan segera dan pantas seolah-olah menjadi falsafah hidup mereka. Jika diukur keletihan badan yang kami alami, pastinya kami sudah menyerah kalah. Di usia setengah abad ini, kami berdua menongkah arus, membuka laluan buat anak-anak kami mengikut dari belakang dan mencapai kejayaan yang jauh lebih besar. Selain dari tempoh masa yang singkat dan percubaan kali pertama, kami berpuas hati dapat pulang membawa hasil yang cukup memberangsangkan.

Bila direnung kembali, itulah maksud kejayaan dari perspektif kami yang hanya punya hati besar yang dambakan kejayaan selagi hayat di kandung badan. Kami tidak mahu mensia-siakan keupayaan yang Allah kurniakan. Kami mahu mencuba selagi daya. Bak pepatah Melayu lama, “Andai tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.

Selepas dua hari tiba di Malaysia, saya masih melayan kesakitan di kaki yang terseksa membawa badan terlebih berat ini di sana. Berdiri di booth jualan lapan jam sehari, berjalan ke sana ke mari dari satu tempat ke satu tempat memberi tekanan melampau kepada sang kaki. Namun saya teringat pesan arwah Bapak tentang hadis Nabi yang bermaksud:

Sesiapa yang bermalam dalam keadaan penat kerana mencari rezeki yang halal maka dia bermalam dalam keampunan Allah

(Riwayat Ibnu Asakir daripada Anas).

Ya Allah! Aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu dari rasa lemah dan malas, dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.

5 thoughts on “Rezeki MilikNya

  1. Rezeki hanya miliknya… Syukron Kak Hajah Mahasuria di atas perkongsian. Ia sedikit sebanyak terkesan di hati naluri setiap seorang yang membaca. Insya Allah.

  2. Terimakasih Cik Puan Rosnia dan Cik Puan Haniza. Saya bercerita dari hati yang tulus. Amat bersyukur kerana ia memberi manafaat.

Leave a Reply