Penyakit Tua

nawikerabu

Kami mempunyai beberapa teman keluarga. Dulu dan sekarang kelihatan tidak berbeza. Sesekali kami mengundang mereka ke rumah untuk makan malam. Mereka juga begitu.

Haji Nawi dan Kak Wan di antara mereka yang sedikit. Sebulan lepas mereka mengundang kami ke rumah. Semua tarikh disebut, kami sudah mempunyai janji atau berada di luar Negara. Akhirnya Haji Nawi membuat kenyataan mudah:

Tak apa … demo buat tarikh bila free sebelah malam, hari Sabtu atau Ahad.

Begitulah kesungguhan mereka. Hari berganti hari. Minggu lepas, saya menerima mesej, “Kak Wan duk tanya lagi … bilalah Roza free nak berdinner … hujung atau tengah minggu tidak kisah”. Kekangan jadual hujung minggu nyata menyukarkan.

Saya tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan tetapi ramai tidak percaya yang jadual hari Jumaat, Sabtu dan Ahad kami sudah ditempah sehingga bulan Januari, 2016.

Akhirnya kami set untuk hadir berziarah malam tadi. Saya membuat panggilan kepada Azrai yang tinggal di Nilai bertanya,

Azrai … Uncle Haji Nawi jemput makan di rumah malam ini. Mahu hadir?

Saya sudah menjangkakan jawapannya, “InsyaAllah, dekat Maghrib, Azrai sampai”. Jarang anak-anak menolak jemputan mereka. Nasi kerabu serba lengkap pastinya terhidang. Sungguh … sedap sangat!

Malam tadi menu istimewanya bertambah … Mereka hidangkan Jala Emas, Tahi Itik dan Akok sebagai pembuka hidangan. Ia dijamah sedikit. Kemudian, kami makan nasi kerabu berlaukkan salok lada dan ayam percik. Bila sampai di hujung, terkeluar kata-kata :

Ya Allah … terlupa keluarkan keropok goreng. Bukan main lama lagi kita goreng tadi.

 Keropok goreng merupakan menu wajib nasi kerabu.

Kemudian … ketika bersantai-santai seketika, sekali lagi disebut, “Eish … ada buah yang sudah dipotong”. Mereka terlupa kerana hidangan tersebut terlindung dengan kertas tisu. Saya ketawa sambil berkata, “itulah isyaratnya betapa masa kita semakin suntuk. Ingatan kita sudah tidak bertahan lama.”

Kami berbicara soal ini.

Saya mengisahkan bagaimana saya sering terlupa sama ada sudah solat dhuha atau pun tidak. Acap kali saya perlu bertanya Roza, “Yang … saya sudah solat dhuha?” sejurus mengambil wuduk. Ingatan ini terhalang kerana melakukan sesuatu perkara yang tidak dirancang – misalnya – membaca buku atau mencatatkan sesuatu.

Haji Nawi bercerita, “ada masanya … selesai ambil wuduk, hati terus bertanya, “wuduk dah ambil ke belum? Kawe rasa ini permainan syaitan”.

Pada ketika ini saya terkenang kisah Ayah Su – berusia hampir 70 tahun – yang mahu memakai stokin. Beliau mencuba dan mencuba tetapi stokin tersebut tidak dapat memasuki jari-jari kaki. Apabila diperhati dengan teliti, barulah disedari yang beliau sedang memegang sarung tangan dan bukannya stokin.

Masa sentiasa bergerak ke hadapan meninggal usia remaja dan dewasa sehingga kita tua dan beruban. Tanda-tanda ini – selalunya – diikuti dengan perubahan fizikal yang lain.

Malah minda tajam dan cergas sebelumnya semakin mengensut pergi. Kita perlu akur!

4 thoughts on “Penyakit Tua

  1. Betul…apabila usia semakin banyak..ingatan juga makin lemah..itulah hakikat kejadian manusia…ada juga yang Allah akan kembalikan seperti bayi..bersyukurlah atas setiap pemberian-NYA

  2. Masayaallah sy jg sering terlupa sama ada sy bc fatihah ke tak apabila sudah rokok’. Terlupa byk perkara. Hingga sorang rakan kata we are wasting our time by searching

  3. Membaca catatan Prof mengingatkan saya satu suasana ini ketika di Mina masa ibadah haji baru-baru ni,,,
    bila sèorg kakak tu tanya kpd Kak Ros dia dah solatkah belum,,Kak Ros pulak ternganga tdk faham kenapa kak tu tanya dia begitu,,,tetiba pulak saya menyampuk,,,baik tu Kak Ros dia mengingatkan,,,
    Rupa2nya kakak yg seorg ni lupa dia dah solat dhuhakah blm,,,selps dia menyambut panggilan telefon,,,,benarlah ketika menghampiri usia senja,,penyakit lupa

  4. Mashaallah.. selalu lupa memberikan saya tanda2 saat kematian semakin hampir.. Hati jadi terharu dengan peringatan Prof..

    Moga kita dapat sentiasa istiqomah dan ‘berlari’ seperti yg selalu prof sebut2..

    Masa terlalu suntuk, sedangkan amalan terlalu sedikit…

    Kadang2 nama anak2 pun lupa, otak fikir lain, mulut panggil lain..

Leave a Reply