Jiwa Tenang

Semua manusia itu mati, kecuali yang berilmu,
Semua yang berilmu itu tidur, kecuali yang beramal,
Semua yang beramal itu tertipu, kecuali yang ikhlas.

Itulah petikan kata-kata Imam Ghazali.

Saya hayati kata-kata ilmuan hebat ini. Alangkah ruginya manusia yang tidak mahu mengambil berat tentang ilmu, amal dan ikhlas. Menjalani hidup sebagai suri rumah sepenuh masa bukan alasan untuk saya tidak perlu tambahkan ilmu di dada. Saya perlu kurangkan tidur dan bercakap (juga makan) dan lebihkan amalan. Paling penting, buat apa jua pun dengan penuh keikhlasan. Sukar tetapi tidak mustahil. Hmmm….semangat tahun baru!

Terkenang kisah seseorang yang setiap kali bertemu akan meratapi nasib dan menyesali peristiwa yang telah berlaku. Mulanya saya simpati. Lama kelamaan jadi muak mendengar rintihannya. Terasa tidak tahu bersyukur.

Satu hari, saya lontarkan kata-kata ini di hadapannya…. “Berhenti dari menyalahkan oranglain yang menyebabkan kekurangan kita. Salahkan diri sendiri yang buta, pekak dan bisu kerana tidak tahu mencari dan menilai.”

Astaghfirullahilazim!

Saya sendiri terkejut mendengar apa yang saya lontarkan. Sungguh tidak patut saya berkata begitu. Saya pasti telah melukai hatinya.

Suasana sepi seketika.

Cepat-cepat saya hulurkan tangan seraya memohon kemaafan atas keceluparan mulut ini. Jawapan yang saya terima darinya tidak menyenangkan hati. Saya tahu dia tersinggung tetapi dia cuba untuk mengambil hati. Apa yang mampu saya lakukan adalah memohon keampunan dari Allah kemudiannya.

Terlajak perahu boleh digalas. Terlajak kata buruk padahnya. Padan dengan mukamu, Suria. Lain kali jaga sikit mulut tu!

Hati kecil saya berkata.

Itu kisah beberapa minggu sebelum tahun 2016. Kami ditakdirkan bertemu kembali awal bulan ini. Hati berdebar kencang. Malunya bukan kepalang. Sebaik melihat saya di hadapannya, dia lantas memeluk saya erat sambil memandang tepat ke dalam mata dan menghadiahkan senyuman manis.

“Terimakasih Suria kerana berjaya mengejutkan saya dari lena. 50 tahun saya menyalahkan semua yang berada di sekeliling atas kekurangan saya. Hari itu, Suria ‘tampar’ saya. Allah hu akbar! Apa yang Suria katakan memang itulah kenyataan.

Saya buta sedangkan mata melihat terang. Saya bisu sedangkan suara kuat berkumandang. Saya pekak sedangkan dengar segala macam muzik dan nyanyian. Saya sombong dan angkuh kepada Sang Pencipta. Saya langgar peraturanNya atas nama kebebasan.”

Mulut saya terlopong. Terkedu melihat wajahnya yang redup dan matanya yang digenangi air.

Sambungnya lagi,

“Saya balik hari tu dengan rasa geram. “Bukan main lagi si Suria smash aku”. Tapi kemudian saya fikir balik… “Suria sedang berusaha membantu aku.” Lepas solat maghrib, saya bangun buat solat sunat dua rakaat. Saya berdoa minta Allah bagi petunjuk sambil pejamkan mata. Tiba-tiba hati  jadi sebak dan pertama kali dalam hidup, saya menangis tersedu-sedu. Sedih sangat. Barulah saya tahu bagaimana rasanya banyak dosa. Ya Suria… Baru saya sedar saya banyak sangat dosa. Saya nangis kuat, Suria…”

Sambil membetulkan tempat duduk, si dia menyambung cerita.

“Sampai Isyak saya menangis. Saya bertaubat sepenuh hati. Terkenang segala yang saya dah lakukan. Lepas rasa lega sikit, saya cari Mak. Saya minta ampun sungguh-sungguh kat dia. Orangtua tu pun terkejut. Dia pun ikut sama menangis dan minta maaf kat saya. Dia peluk kuat. Tak pernah rasanya Mak buat macam tu. Saya tengok muka dia, saya sedih sangat. Saya bagi dia semua yang dia nak… Tapi semuanya harta dunia. Saya tak pernah doakan dia.”

Airmata saya tumpah akhirnya… Ada rasa lega yang menyelubungi.

Ya Allah. Terimakasih kerana mengizinkan sahabat kini kembali ke jalanMu. Ia adalah momen yang membahagiakan.

“Suria, kini saya faham apa yang Suria maksudkan dengan jiwa tenang. Sejak beberapa minggu lepas, saya rasa dunia ni terang benderang. Malam-malam saya bangun. Saya solat dan menangis minta Allah ampunkan saya. Banyak dosa kita kan Suria? Kalaulah Allah tak ampunkan, macam mana kita nanti? Duduk dalam neraka.

Aduh… saya takut sangat. Tiap kali doa, saya terbayang muka Suria. Bersyukurnya saya kerana bertemu kembali dengan Suria. Sabar je Suria layan kerenah saya selama ni. Berbuih mulut cakap itu ini tapi saya buat pekak je. Masa Suria smash saya tu, saya memang bengang betul. Sungguh Suria…! Sempat saya kutuk Suria dalam hati. “Macamlah dia bagus sangat. Dia tau ke siapa dia tu. Bukan ustazah pun nak kata macam tu kat aku…”

Malunya saya ketika mendengar ayat itu. Benar. Saya bukan ustazah. Tiada kelulusan agama. Saya hanya surirumah yang tidak punya apa-apa. Masih terlalu banyak yang perlu dibaiki dalam hidup ini. Perjalanan saya sendiri masih bengkang bengkok. Namun yang pasti, saya mahu bersamanya berada di jalan yang benar.

Saat ini, saya doakan si dia kekal dalam hijrahnya. Setiap hari dia kirim gambar kepada saya. Wajahnya lebih berseri dan kata-katanya lebih manis. Tidak lagi disulami dengan dendam kesumat dan caci maki. Alhamdulillah. Di akhir kehidupan, si dia kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah.

Allah hu Rabbi.

Saya tersenyum tatkala menaip naskah ini. Teringat apa yang si dia ucapkan kepada saya tempohari,

“Bila jiwa tenang, muka pun nampak cantik ye Suria? Bukan apa… Saya ni perasan. Kawan-kawan ramai yang tanya saya pakai produk apa sebab sekarang ni muka saya nampak putih berseri dan pink-pink gitu. Saya jawab yang saya pakai Qu Putih!”

Begitulah ….

Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Terjemahan sebahagian ayat 35 surah An-Nur

2 thoughts on “Jiwa Tenang

  1. Sungguh ..Hati terasa @ mata bagai dirasa ada habuk seketika.
    Benar.Hidayah itu milik Allah s.w.t
    Pesan berpesan bukan kerana Pangkat status tetapi tanggungjawab sesama insan@hamba.
    “Jiwa Yang Tenang” juga disebut didalam “talkin”(mohon semakan@jika sebalik nya ..tegur saya)..
    Sungguh menjaga hati itu #sangat penting# berusaha untuk Bersih hati itu cabaran ..sungguh kita bukan maksum tetapi Biar Hati Berkata Biar Hati Terasa betapa Kerdilnya kita..maka Senantiasa lah berdoa berdoa mohin keampunannya..Benar Allah Maha Pengasih Allah Maha Penyayang Allah Maha Penerima Taubat hamba hambanya..
    Kita tiada kekuatan
    Kita tiada kudrat
    Dalam erti lain Kita tiada apa apa
    Sungguh , saya jua begitu Hanya mampu berdoa
    Memohon ampun dari nya.
    Allah ya Allah ..Daku Mohon keampunan mu sungguh bukan niat ku untuk takbur riak sombong tetapi sekadar mencoret coretan berkongsi ilmu untuk menjentik hati hati kami untuk “sedar” kerdil nya diri ini didunia ini..aamin

Leave a Reply