Sembuh segala penyakit

Jika dunia ibarat rumah sakit maka penghuninya berada di dalam rumah sakit yang sangat complicated, besar dan canggih. Namun ada suatu yang pasti …. kesemua manusia bermula dengan keadaan sihat sejahtera. Hadis sahih Bukhari (Jilid 4: nombor 1779) ada mencatatkan:

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda: Setiap anak dilahirkan menurut fitrah (ciptaan asli). Kedua ibu bapanya yang menyebabkan anak itu beragama Yahudi dan Nasrani ….

Sesiapa yang berada di dalam rumah sakit pastinya mahu meninggalkannya tempat tersebut dalam keadaan sembuh sepenuhnya. Jika dunia diandaikan sebagai rumah sakit maka ia hanya boleh ditinggalkan apabila menempuh kematian. Maksud saya, mereka sepatutnya menerima kematian dalam keadaan mereka bebas daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan sepanjang berada di dunia. Mereka sembuh daripada segala penyakit!

Namun tidak ramai yang mahu memikirkan soal kematian secara sungguh-sungguh. Maksud sungguh-sungguh boleh dipermudah dengan mengambil beberapa analogi kehidupan. Misalnya, jika anak mahu melanjutkan pelajaran ke universiti, maka persiapan dilakukan sebaik mungkin. Perkara asas perlu difikirkan termasuklah keperluan kewangan untuk melaporkan diri, yuran pendaftaran, perjalanan, makan-minum dan tempat tinggal.

Sebagai seorang ayah, sudah pasti saya tidak mahu anak yang bakal ditinggalkan menghadapi sebarang kesulitan. Kita mahu mereka bergraduat secepat mungkin, berjaya dengan cemerlang dan – jika boleh – melanjutkan pelajaran ke tahap tertinggi.

Begitu jugalah dengan persiapan mereka yang mahu menunaikan haji dan umrah. Perjalanan bermusafir dan beramal ibadat hampir 14000 km pergi dan balik dilihat sangat mustahak. Tentu sekali keperluan berada luar dari rumah sendiri di antara 10 hingga 50 hari memberi perasaan untuk bersiap sedia dengan bersungguh.

Ramai yang bersiap dengan berus gigi sehinggalah kepada makanan kering seperti serunding, sambal ikan bilis dan beberapa perkara lain. Ini tidak termasuk dengan kelengkapan khusus ibadat itu sendiri – misalnya – kain telekung dan ihram.

Kematian merupakan pemisah di antara kehidupan dunia dan kehidupan di syurga (nota: kita tolak neraka kerana hanya orang yang tidak bijaksana mahu ke sana). Di antaranya, kita perlu singgah di alam kubur, kemudian dibangkitkan di Padang Mahsyar untuk dihisab sehinggalah kita ditauliahkan untuk memasuki syurga.

Ia perjalanan dipermudahkan aturannya. Dalam diam saya selalu merenung dan berfikir, “berapa lama agaknya kita di alam kubur?, bagaimana kehidupan di dalamnya?, apakah kita dapat merasai kesempitan di himpit bumi yang gelap gelita secara fizikal atau diberi cahaya lain berdasarkan dengan apa yang kita lakukan di dunia”.

Ia nyata sangat abstrak. Namun kehidupan alam kubur ada diceritakan oleh Allah SWT melalui ayat 46, surah al-Ghaffir yang bermaksud,

Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!

Lalu alam kubur juga merupakan satu proses perjalanan yang perlu ditempuh oleh setiap manusia. Kelihatan ia satu tahap yang sangat sepi. Tersirat, gambaran berada di dalam kubur menyatakan apakah yang bakal dianugerahkan Allah SWT sama ada syurga atau neraka.

Maka – jika manusia itu bijaksana – persiapan untuk hadir di dalam kubur tentunya lebih bersungguh-sungguh berbanding dengan persiapan untuk menghantar anak ke sekolah berasrama penuh atau universiti. Malah ia tidak boleh setanding dengan persiapan menunaikan umrah dan haji. Persiapan ini perlu dilihat dalam perspektif berbeza. Tentu sekali ia perlu berlainan kerana ia urusan untuk meninggalkan rumah dunia buat selama-lamanya. Kita akan berpindah di alam serba baru yang tidak diketahui secara nyata bagaimana keadaannya.

Cuma satu yang pasti … rumah baru ini tidak perlu dibina  menggunakan sumber kewangan yang besar dan seni binanya amat ringkas sekali. Hiasan dalamannya sangat minimum dan keluasan tanah juga begitu.

Kami – saya dan Roza – sudah berada dalam tahap reja kehidupan. Kami selalu berbincang tentang kehidupan selepas kematian. Salah satu isu menjadi matlamat kami ialah untuk berada hanya seketika di alam kubur, segera bangkit di Padang Mahsyar dan dirahmati serta dikasihani Allah supaya dapat memasuki syurga tanpa di hisab.

Masa berbaki sangat suntuk. Persiapan ini tidak boleh lagi bersifat main-main. Keinginan untuk cepat dibangkitkan dari alam kubur tentunya bersebab. Allah SWT melalui surah al-Kahf, ayat 9, menceritakan peristiwa tujuh pemuda (bilangan sebenar hanya Allah yang Maha Mengetahui) dengan seekor anjing yang telah ditidurkan selama 309 tahun. Inilah perasaan mereka apabila dibangkitkan semula.

Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanya sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: Berapa lama kamu tidur? (sebahagian dari) mereka menjawab: Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari …

Begitulah. Kami mahu begitu dan saya fikir ramai di antara kita yang mengingati kematian akan berfikir perkara yang sama. Mereka yang diberi perasaan “sekejap sahaja di alam kubur” tentunya manusia istimewa di sisi Allah SWT. Maksudnya, jika kita mempunyai keinginan tersebut maka secara automatik perlu melakukan persiapan secukupnya. Itulah pilihan bijaksana yang ada di tangan.

Allah ya … Allah, pertimbangkan masa reja yang ada. Kami fikir sudah sampai masanya kita memohon keampunan Allah dengan bertaubat nasuha dan berjanji pada sendiri untuk tidak lagi melakukan dosa-dosa yang melamakan masa di alam kubur. Biarlah masa berbaki dengan membanyakkan amal ibadat yang mendekatkan diri kepadanya.

One thought on “Sembuh segala penyakit

Leave a Reply