TEMPOH MASA

coverbahagiaSeimbangkan dunia dan akhirat.

Ia kenyataan sering diungkapkan. Ramai menyangka keseimbangan ini bermakna perlu “sama-sama” bersungguh mengejar dunia dan akhirat.

Jika ditukar dalam bentuk matematik, ia perlu 50-50.

Hakikatnya, seimbang tidak semestinya sama. Analoginya begini. Jika sebuah bilik besar memerlukan 20 lampu menjadikan ia terang benderang, lalu jika bilik itu dibahagi dua maka memadai setiap bilik menggunakan 10 lampu bagi memberi kadar cahaya yang sama.

Jika bilik itu dibahagi dua tetapi satunya mempunyai keluasan 3/4 dan 1/4 daripada keluasan keseluruhan, maka jumlah lampu yang perlu digunakan 15 dan 5 bagi keluasan yang berbeza. Itulah maknanya seimbang. Ia tidak sama. Lalu Allah SWT telah membuat perbandingan tentang kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat. Dia nyatakan:

Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).

(Terjemahan surah al-Mu’minun: 114).

Berapa lama sedikit masa itu? Ia tempoh panjang jika usia dijadikan perbandingan. Manusia boleh hidup 90, 70 atau 60 tahun. Namun ia berbeza jika kehidupan dunia yang terhad dibandingkan pula dengan kehidupan di syurga yang kekal abadi.

Saya termenung memikirkan dengan apa yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui ayat 45, surah Yunus yang bermaksud,

Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari.

Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

Satu saat dari siang hari? Bermakna 1/2 saat berbanding sehari semalam. Lalu masa di dunia jika berbanding kehidupan di syurga yang bersifat infiniti hampir-hampir menuju kosong. Ia tidak boleh jadi sifar kerana kita perlu berada di sini sebelum menjalani kehidupan yang kekal abadi.

Kita perlu mengejar akhirat tetapi tidak boleh melupakan dunia. Hukumnya begitu. Bagaimanapun ia perlu SEIMBANG tetapi tidak SAMA. Ini yang perlu difahami dan – akhirnya – terpantul dalam kehidupan seharian.

InsyaAllah ia boleh mempengaruhi pilihan kehidupan yang mahu kita lalui. Sungguh, kita hanya tinggal sekejap sahaja di sini.