PEMBISIK YANG JAHAT

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia.

Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam.

Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

(Terjemahan surah An-Nas)

Surah ini sering dibaca. Acap kali ia berlalu begitu sahaja. Namun signifikannya amat nyata. Kita berdoa kepada Allah Maha Pemelihara, Maha Menguasai dan Allah yang kita Sembah daripada penghasut terdiri daripada jin dan manusia.

Kita tinggalkan jin buat sementara waktu. Kalau iblis termasuk dari kalangan jin, maka memang menjadi tugas mereka menghasut manusia supaya mengikut tingkah laku mereka. Mereka mahu kita kufur ingkar terhadap Allah SWT.

Namun – nyata lebih sukar – apabila penghasut hadirnya daripada kalangan mereka yang hampir. Rupa dan wajah mereka seiras. Ramai yang terlindung atas nama saudara, rakan, sahabat dan atas sifat mahu membantu dan menolong. Barangkali ada rakan keluarga dan mungkin juga rakan di alam maya (FB).

Katanya begitu.

Hasutan berlaku melalui tutur kata. Ia boleh terjadi dengan cara menulis di khalayak. Malah ia boleh dicapai dengan cara print screen. Ada ketika mulut berbisik di telinga seolah-olah ia satu rahsia hanya untuk kita. Ada masa isu kecil diperbesarkan. Ulasan dan komen melampaui kebenaran.

Bisikan dan hasutan ini menyebabkan kita membenci manusia lain. Membuat hati sakit dan panas membara. Allah … ya Allah, dalam suasana yang paling mudah – diam-diam – manusia menjadi pembisik dan penghasut sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah di atas tanpa kita sedari.

Satu perkara besar yang kita pelajari dengan kenyataan, “Kejahatan pembisik dan penghasut yang timbul tenggelam”. Mereka datang dan pergi. Bertali arus. InsyaAllah, mereka pergi apabila kita sentiasa berdoa dan memohon perlindungan daripadaNya. Tiada yang lebih Menguasai dan Berkuasa daripada Allah SWT. Allah mahu kita hampir denganNya.

Saya nyatakan kepada seorang sahabat yang kelihatan berdukacita apabila ditohmah dan difitnah:

Saya jarang komen. Saya ingin bagi cadangan … cuba puan delete entri tersebut, ambil wuduk, solat sunat dua rakaat dan berdoa minta Allah ampunkan mereka yang kita fikir dengki dan membuat fitnah kepada kita. Cuba rasa perasaan dalaman kita. Jangan terjebak.
 Moga Allah SWT menghindarkan kita termasuk dari golongan pembisik dan penghasut yang jahat.