Ramainya Manusia

Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.

Terjemahan Surah Al Mulk (67: 15)

Jumlah penduduk di India begitu ramai. Dianggarkan sebanyak 1.2 bilion pada tahun 2011, membuatkan kita melihat manusia di mana-mana. Ramai sungguh! Padat.

Sewaktu mula-mula tiba di Chennai, saya dikejutkan dengan situasi yang begitu mencuit hati saya. Ketika itu saya berada di dalam kereta yang berhenti di atas jejantas kerana kesesakan lalu lintas. Dari dalam kereta, mata saya memerhati keadaan sekeliling. Di kiri kanan jejantas, ada deretan kedai yang di hadapannya ada jalan. Saya pelik kerana dari jauh saya melihat seumpama kain berwarna hitam berombak-ombak memenuhi bahagian hadapan deretan kedai tersebut.

“What is that cloth, Iyappan?” Tanya saya kepada Iyappan.

Iyappan memandang ke luar dan kemudian memandang saya kembali dengan pandangan cukup pelik.

“What cloth, Madam?” eh, dia soal saya balik.

“Err… thatt black color in front of the shops?” saya pandang muka Iyappan memohon penjelasan.

Iyappan ketawa berdekah-dekah selang seminit kemudian.

“Heads, Madam!!!” jawabnya sambil terus ketawa.

“Kepala? Banyaknya!” bisik hati kecil saya.

Lalu saya amati dengan teliti. Subhanallah! Memang kepala orang. Yang hitam itu rambut! Dan yang membuat ia berombak-ombak adalah kerana orang-orang itu sedang berjalan!

“So many people?” gerutu hati saya lagi.

Iyappan seakan mendengar suara saya. “We are in India, Madam. We have so many people!” tanpa dipinta, Iyappan memberi saya jawapan.

Subhanallah. Maha Suci Allah. Belum pernah saya lihat sebegitu ramai manusia melainkan sewaktu tawaf di Masjidil Haram!

Saya mula mencongak. Andai dibentang meja dan dijual air bancuh atau apa saja di tepi jalan-jalan tersebut, dengan mengambil keuntungan sepuluh sen dari setiap satu jualan, rasanya senang-senang boleh cecah RM1000 sehari! Biarpun matahari terpacak di atas kepala, dan pelbagai haruman, setidak-tidaknya beratus ribu manusia berjalan di atas jalan-jalan tersebut setiap hari. Ia mengingatkan saya kepada Jalan TAR di Kuala Lumpur. Kalaulah sebegini ramai?

Kepadatan penduduk memaksa peluang pekerjaan diujudkan. Semua orang perlu bekerja untuk hidup. Ia jadi melemaskan kerana ada ketikanya pekerjaan dan pekerja itu tidak perlu ada!

Saya nukilkan situasi di lapangan terbang untuk keluar dari India bagi menggambarkan ramainya orang yang untuk satu pekerjaan ini. Sampai saja di pintu masuk lapangan terbang, menunggu di situ pengawal-pengawal keselamatan yang akan memeriksa tiket penerbangan dan paspot kita. Selepas dapat masuk, kita perlu letakkan bagasi di mesin pengimbas. Di lapanganterbang Chennai, ada tiga lorong mesin pengimbas. Sekurang-kurangnya empat pekerja di satu lorong yang akan memeriksa kandungan bagasi kita melalui mesin. Lapanganterbang di Mumbai dan Delhi jauh lebih besar dari Chennai! Pastinya lebih banyak lorongnya dan lebih ramai pekerja yang bertugas.

Selepas melepasi pemeriksaan di sini, kita akan ke kaunter daftar masuk. Biarpun biasanya saya sudah daftar masuk secara atas talian, namun ada ‘bag-drop’ yang perlu dilakukan. Panjangnya barisan di kaunter ini tidak terkata. Satu kaunter adakalanya ada tiga orang pegawai.

Selepas pas berlepas diperolehi, beratur pula di kaunter imigresen. Kesabaran akan diuji sehingga ke tahap maksima. Berbaris setengah jam adalah satu keajaiban! Jarang sekali ia berlaku. Err…. Orang India suka bercakap. Dan, suara mereka kuat!

Di Chennai, balai berlepas terletak di tingkat atas. Sebelum memasukinya, kita perlu melepasi satu lagi kawalan keselamatan. Allah hu akbar. Setiap bagasi yang dibawa perlu di’tag’ dengan penanda yang diperolehi dari kaunter daftar masuk. Berbaris lagi dalam barisan panjang. Penumpang dan bagasi perlu melalui mesin pengimbas sekali lagi. Tag di bagasi akan dicop di sini.

Penerbangan Malaysia Chennai-Kuala Lumpur ialah pada jam 12 tengahmalam. Begitu juga Jet Airways. Waktu Malaysia 2.30 pagi. Mata saya selalunya sudah teramat kecil. Apatah lagi jika di siang harinya ada mesyuarat-mesyuarat penting. Perasaan kecewa yang teramat menemani saya sepanjang waktu menunggu.

Ditambah lagi jika ‘tag’ bagasi yang kita galas terhilang atau terkoyak. Kita tidak akan dibenarkan melepasi kawalan di pintu memasuki pesawat. Bukan sekali atau dua kali saya terpaksa berlari semula ke ‘check-point’ yang berada di luar balai berlepas. Ia tidak mudah. Ia terletak jauh dan kita perlu beratur lagi. Subhanallah.

Di Malaysia, warganegara asing menguasai segala bidang pekerjaan. Di India, pekerjaan perlu dicipta untuk memberi peluang kepada semua. Menyusahkan? Menyenangkan? Saya tiada jawapan tepat mengenainya.

Bayangan situasi di atas perlu dicampurkan dengan elemen bunyi. Tidak pernah walau sehari di India yang saya tidak mendengar sebarang bunyi. Mungkin pernah: dalam mimpi! Setiap tempat dan masa, segalanya berbunyi. Suara manusia, kenderaan dan apa saja yang ada di sana. Ditambah lagi dengan muzik yang amat digilai oleh orang India. Hatta di hari kematian, muzik dipasang sekuat yang boleh. Menari lah mereka tanpa henti. Saya pernah diketawakan oleh Mr Anba waktu saya lihat sekumpulan manusia menari-nari di atas jalanraya. Rupanya mereka sedang mengusung mayat untuk dibawa ke kuil. Sudahnya jalan menjadi sesak dan tidak bergerak.

“Are you guys happy when someone passed away? Those people are dancing and singing! I would do the same only when I am happy!”

Setiap kali muzik bergema, setiap kali itu juga jantung saya berdegup kencang. Kepala otomatik jadi serabut. Hati jadi tidak keruan. Banyak kali saya dengar KaKa menjerit “Syaitannn!!” Ingatkan mengapa. Rupanya KaKa marahkan mereka yang suka sangat menari dan menyanyi kuat-kuat di belakang rumah kami. Adakalanya, mereka boleh menari 3 jam tanpa henti! Beramai-ramai dan berwarna-warni!

Keriuhan dan kekalutan yang menyesakkan dada sentiasa ujud. Namun ia tidak mampu menghilangkan kesunyian yang menyelubungi hidup saya. Begitupun, saya akur dengan kata orang tua, “Masuk ke kandang kambing, mengembek. Masuk ke kandang kerbau, menguak.”

Keberanian

Hidup ini penuh cabaran dan ujian. Begitulah. Berada di negara asing menyebabkan saya perlu berhadapan dengan pelbagai keadaan yang membentuk peribadi baru. Sedikit demi sedikit.  Lalu ia mengajar saya banyak perkara.

Salah satu dari aktiviti yang perlu dijalankan untuk memperkenalkan perniagaan ialah membuat pembentangan di hadapan bakal pelanggan. Ia menggerunkan saya. Sebagai akauntan, saya memang suka duduk di belakang tabir. Bermain dengan angka dan membuat analisa dengan pelbagai statistik. Saya suka kerja saya. Walau tidak dikenali dan tidak diberi perhatian. Berdepan dengan pelanggan atau orang ramai menyiksa jiwa. Terasa seolah ada raksasa yang merah menyala matanya siap untuk menelan.

Tugasan di Chennai bertentangan dengan apa yang saya suka. Perlu ke depan. Perut sentiasa rasa kecut. Tuan CEO memahami kemampuan dan keupayaan saya. Setiap kali kami bertemu, dia pasti berkata – “You can do it, Suria! Believe me! After all, you are the one who prepared all those facts. Just do it!” Namun kata-kata itu seolah-olah tidak memberi kesan. Ia bagaikan masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Saya masih tiada keberanian.

Sehari demi sehari bekerja bersama orang-orang India, saya akui kelebihan mereka dibandingkan dengan orang Melayu. Mereka pandai bercakap. Selain dari penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, mereka pandai beratikulasi. Bijak mengupas isu biarpun ia kecil. Selalunya mereka ini “terlebih”. Saya belajar dari mereka secara “learning by doing. Fast track”.

Saya mula berlatih. Bercakap di hadapan cermin. Dengan ekspresi muka dan tangan. Saya buang rasa malu untuk berdiri di depan khalayak. Berani menjawab soalan yang tidak pernah dijangka. Berani menentang mata audien yang mengharapkan jawapan. Walaupun darjah ketakutan masih di tingkat yang sama, saya bersyukur. Sedikit demi sedikit ia mampu saya atasi dengan menanamkan kata-kata, “I have to do this!”

Satu hari, Mr Anba beritahu bahawa ada seorang saudara Pak Hasan mahu bertemu saya. Beliau seorang yang amat berpengaruh di Chennai. Tetapi PA beliau memperuntukkan hanya 5 minit untuk saya. Ah! Betapa tidak pentingnya saya kepada manusia ini! Ditemani Mr Anba, kami ke pejabat beliau di tengah bandaraya. Saya diam membisu sepanjang perjalanan. Mahu menangis sebenarnya. Hati berdebar. Jantung bergetar. Perut bagai dipulas-pulas.

Apatah lagi bila saya dengar input dari Mr Anba tentang Mr Khalid ini. Selain dari menguasai pasaran hartanah di Chennai, beliau juga adalah anak saudara kepada pengasas syarikat keluarga mereka. Mata terpegun dan kaki terkaku tatkala melangkah masuk ke pejabat yang serba mewah. Subhanallah. Bagaikan berada dalam dunia Cinderella. Warna keemasan di segenap penjuru. Tahap kekayaan melampau ini pernah saya lihat hanya dalam filem-filem Hindustan.

Oh Suria! Ini realiti!

Wajah PA Mr Khalid yang masam mencuka membuat saya semakin takut. Skrip yang telah dihafal sedari tadi hilang lenyap dibawa angin lalu. “You have 5 minutes, Madam. Mr Khalid’s schedule is very pack. Please don’t waste his time.”

Adoi… sombongnya manusia. Saya angguk tanda amat memahami. Berada di sini pun merupakan satu penghargaan. Di tanahair sendiri, tiada siapa sudi menjemput saya! Sebaik memasuki kamar pejabat beliau, otak saya menjadi beku. MasyaAllah. Besar sungguh. Meja beliau berbentuk segi lapan. Kaca kesemuanya. Duduk di satu sudut seorang lelaki pertengahan usia, segak, berkulit gelap, berambut keriting, bermisai tebal dan berkacamata. Wajah seriusnya menggerunkan.

“Tell me Madam.” Ayat pembuka kata beliau tanpa membuang masa. Saya tarik nafas dalam-dalam dan terus memperkenalkan diri dan produk yang saya bawa. Di mata terbayang jarum-jarum jam. Saya hanya ada 5 minit. Saya perlu pastikan beliau faham segalanya. Akhirnya, saya habiskan ayat terakhir dengan satu helaan nafas. Saya pandang tepat ke wajah Mr Khalid yang juga sedang memandang tepat ke wajah saya sambil tersenyum.

Ahh…saya mula kalut. Silapkah saya? Koyakkah baju saya? Sengetkah tudung saya? Kenapa dia senyum begitu? Kepala saya jadi panas. Pandangan mata saya berpinar-pinar. Degupan jantung saya bertambah kencang. Saya berdoa Allah lindungi saya dari sebarang mara bahaya.

Takutnya saya bukan kepalang. “Madam. Why are you so nervous? Do you know how much I admire you?” Aduh…gugur jantung saya! Airmata saya sudah penuh di hujung mata. “This is the first time ever in my life listening from a very religious Malaysian lady such a brilliant idea. Your intelligence impress me a lot! Where are you all these while?”

Ahhh….saya sudah tidak dengar apa yang dikatakan. Rama-rama di dalam perut saya sudah terbang bebas! Keberanian tiba-tiba menerjah ke dalam diri. Perbualan makin rancak. Air yang dihidang terasa enak. Mr Khalid bercerita bagaimana Islam tiba di India. Ditunjukkan kepada saya salasilah asal-usul keturunan beliau yang tertulis di dalam sebuah buku.

Mereka keturunan Saiyidina Abu Bakar r.a. Asal keturunan mereka ialah dua orang dari Yaman yang berdagang hingga ke Kilakarai, di selatan India. Salah seorang dari mereka berkahwin dengan putri raja keturunan hindu. Dari situ lah Islam berkembang pesat di India. Pedagang Islam dari India membawa agama Islam kemudiannya ke Melaka.

Subhanallah.

Keturunan Khalid sememangnya kaya raya sejak zaman berzaman. Ikatan kekeluargaan mereka bagai idiapom atau putu mayam. Tiada mula atau akhir. Alasannya? Skema. Tanpa berselindung beliau menjawab, “We want to keep our fortune within us, Madam.” Ohhhh…. Perniagaan keluarga ini meliputi pelbagai industri. Batu permata, emas, pembinaan, kejuruteraan, kenderaan, perkapalan, penyiaran, penerbangan, pembuatan, dan sumber tenaga. Mereka miliki sebuah universiti swasta yang cukup besar namanya di India, beberapa buah kolej jururawat dan kolej perguruan, hospital bersalin, hospital swasta, hospital kanser …. malah mereka juga membina berpuluh-puluh buah masjid bukan saja di India, tetapi di Hong Kong dan di Colombo.

Buntang mata saya mendengar kehebatan keluarga Mr Khalid. Alangkah bertuahnya mereka yang dilahirkan di dalam dulang emas bertatahkan berlian. Biarpun kekayaan menyelubungi kehidupannya, bagi Mr Khalid, ia adalah amanah Allah untuk dikongsikan dengan umat Muhammad yang lainnya. Kesemua institusi yang mereka dirikan memberi pendidikan percuma kepada pelajar-pelajarnya yang tidak berkemampuan.

Malah tempat tinggal, makanan dan wang saku juga disediakan. Selepas tamat pengajian, mereka diberi pekerjaan di dalam syarikat-syarikat yang dikuasai. MasyaAllah….. patutlah Allah beri kekayaan yang amat banyak kepada mereka. Sesungguhnya, janji Allah itu pasti, sebagaimana firmanNya:

Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka yang membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.

Terjemahan surah al-Hadid 57:07

Panasnya Chennai

Bermula bulan April, berada di Chennai bagaikan berada di dalam oven. Bahangnya tidak terkata. Tiada awan langsung kelihatan di langit. Matahari seolah mahu membakar apa sahaja yang ada di dalam bumi dengan rakusnya.

Angin seakan berhenti bertiup. Sesekali ia berhembus, kita akan berkata, “Ya Allah! panasnya….”. Daun-daun habis luruh. Tinggal batang, dahan dan ranting semata pada sebatang pokok. Parit dan sungai kering kontang. Setitik air pun tiada. Habuk bermaharajalela. Berterbangan di ruang udara.

Saya cukup takut untuk keluar dan berjalan di bawah terik mentari. Selain dari kepala terasa panas, selipar atau kasut yang dipakai seolah mencair di kaki. Belum lagi silau cahaya yang masuk ke dalam mata.

Seboleh mungkin saya akan pastikan saya tidak keluar dari kereta atau dari rumah. Saya masuk ke dalam kereta yang terletak di anjung rumah, dan Iyappan akan menurunkan saya di pintu masuk pejabat. Jika perlu keluar sekali pun, saya tidak akan lupakan kacamata hitam saya! Saya lebih selesa berkurung di dalam bilik menonton filem P Ramlee dari komputer riba saya makan kuaci dari berada di luar rumah.

Pernah sekali, saya dan dua orang rakan perlu ke pejabat pelanggan yang terletak jauh dari bandar. Kebetulan pula, jalan untuk ke pejabat yang dituju ditutup oleh pihak berkuasa tempatan. Kami bertiga perlu berjalan agak jauh. Lebih dari 300 meter.

Mencungap saya dibuatnya. Bukan kepenatan kerana terlalu gemok. Bukan! Bukan! Saya mencungap kerana kekurangan oksigen! Kepanasan suhu (mungkin lebih 48C) membuat kepala saya ligat berpusing. Hanya nampak bintang bertaburan di depan mata. Longlai kaki setibanya di hadapan pejabat yang dituju.

Terjelepuk saya di atas simen. Gelap langsung dunia. Kerapkali juga sebelah kepala berdenyut kuat. Sakitnya Allah saja yang tahu. Sehingga berair mata. Gigi terasa ngilu. Tengkuk tegang dan sakit. Rasa mual, pening dan berpusing tidak akan berhenti selagi tidak muntah.

Ia boleh berlaku pada bila-bila masa. Kadang-kala ketika sedang bermesyuarat. Pernah juga ketika sedang bersandar di dalam kereta. Atau mungkin ketika sedang berbaring di atas katil.

Ubatnya? Telan Panadol dan masuk ke dalam bilik yang gelap gelita serta sejuk. Andaikata terkena sewaktu dalam perjalanan?

Tahan sajalah kesakitan itu sambil menangis.

Peribahasa melayu yang berbunyi, “Apabila dengar guruh di langit, air tempayan dicurah jangan” amat sesuai untuk digunakan di sini. Pernah saya alami kejadian angin bertiup kencang disertai guruh sabung menyabung sehingga berjam-jam. Hati meronta-ronta memohon agar hujan diturunkan. Langsung tidak. Sekelip mata cuaca menjadi panas kembali. Matahari terpacak tepat di atas kepala.

Kulit muka juga jadi terbakar. Sementelah saya tidak langsung rajin menjaga rutin rawatan wajah. Hentam kau lah Labu… Maka keluarlah tompok-tompok hitam di kedua belah pipi. Kulit pipi terasa kasar.

Warna kulit di belakang tapak tangan dan muka cukup berbeza bila dibandingkan dengan bahagian yang terlindung. Kalau dalam iklan di Malaysia, muka putih tetapi leher hitam, keadaan saya terbalik. Muka hitam legam. Leher putih melepak.

Kata anak saya, “Ma, orang India berbulu mata tebal untuk menghalang habuk dan menjadi pelindung cahaya dari masuk ke dalam mata.” Oh betul ke? Patutlah kebanyakan dari mereka punya bulu mata panjang melentik dan mata mereka juga cukup cantik! Tidak sempat lagi saya kaji mengapa hidung mereka mancung-mancung belaka!

Namun ada satu perkara yang membuat saya kagum dengan kekuatan fizikal penduduk di sini. Di sepanjang jalan atau di mana-mana padang, kita akan dapat melihat anak-anak muda belasan tahun bersungguh-sungguh bermain kriket di waktu tengahari. Tepian pantai juga menjadi pilihan pemain-pemain kriket amatur ini.

Cuaca panas ditambah dengan angin laut yang membahang sama sekali tidak memberi sebarang kesan kepada mereka! Satu peristiwa lain yang membuat saya tersenyum mengenang kebodohan saya ialah bilamana saya dengan rajinnya berhasrat untuk membersihkan diri sebaik sahaja pulang dari pejabat.

Pukul 6 petang masih terang di sana. Sebaik masuk ke dalam bilik air, saya pasang paip. Air yang memercik melalui pancuran air terkena kaki saya. Menjerit melolong saya dibuatnya! Air panas menggelegak yang turun! Menangis lagi! Cengeng sungguh saya. Asyik menangis. Apabila saya bercerita dengan rakan-rakan, habis semua pakat gelakkan saya. “So stupid of you, Suria!!”

Macammana tidak bodoh, tempat dari mana saya berasal tidak begitu. Kata mereka lagi, paip air yang digunakan menyimpan haba, lebih-lebih lagi di musim panas. Oh… Dari Ibnu Mas’ud r.a., dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:

Panas api yang kamu nyalakan di dunia ini (termasuk matahari) hanyalah sepertujuh puluh dari panasnya api neraka di akhirat. Kalau sebagian kecil (api neraka) jatuh ke dunia, niscaya mendidihlah air laut kerana panasnya.

            HR Muslim

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah.

Di negara sendiri saya selesa dengan cuaca yang panas dan hujan yang banyak. Di India, saya sering terduduk kesakitan apabila berada di bawah terik matahari. Dan kepanasan itu hanya sepertujuhpuluh dari panas api neraka di akhirat sepertimana hadith di atas.

Ya Allah! Jauhkan aku dan merka yang aku sayangi dari api nerakaMu.

Bersama di Chennai

Dan Allah menurunkan dari langit air (hujan) dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang mendengarkan (pelajaran).”

(Terjemahan surah An-Nahl: 65)

Setiap tahun, bulan November hingga Januari merupakan musim hujan di Chennai. Suhu akan jatuh sehingga 18C. Bumi yang kering kontang akan subur dengan adanya hujan. Pokok-pokok yang hanya tinggal batang dan dahan bertukar menjadi rimbun. Debu dan habuk yang menyebabkan bumi berwarna kuning hilang dibawa air hujan.

Dengan angin yang bertiup sejuk, berada di Chennai pada musim hujan amat mendamaikan. Sesekali tertipu dengan cuaca mendung, gelap dan angin bertiup kencang berserta guruh berdentum-dentum tetapi tiada hujan. Sekali hujan turun, ia turun dengan lebat yang amat.

Matahari juga merajuk untuk menampakkan wajah. Dalam cuaca sebegini, saya cukup suka duduk di beranda tingkat atas rumah memerhatikan air hujan yang mencurah-curah. Angin sejuk kadang-kala terasa menyucuk hingga ke tulang. Tatkala bersendirian, saya berangan minum kopi O pekat sambil makan goreng pisang atau jemput-jemput ikan bilis. Ia tentu lebih indah bila disetai dengan anak-anak yang berebut-rebut makanan.

Rata-rata penduduk Chennai amat menghargai air hujan atau diingatkan untuk menghargai air hujan. Selalunya mereka gunakan tong dram yang besar untuk menadah air hujan untuk digunakan beberapa bulan yang akan datang. Air hujan lebih bersih dari air paip.

Ya, kualiti air paip di sini amat menghibakan. Keadaan ini memaksa setiap rumah untuk memasang penapis air yang baik. Di rumah yang saya diami, air paip untuk mandi di bilik air melalui penapis tetapi air di sinki bilik air ia terus dari paip besar.

Hari pertama di rumah ini, bangkit saja dari tidur, saya terus ke sinki untuk menggosok gigi. Nauzubillah! Serta merta saya muntah! Air yang masuk ke dalam mulut berbau busuk yang amat! Warnanya persis air longkang! Pengalaman itu mengajar saya untuk sentiasa berhati-hati dengan air paip, di mana jua di India.

Di sepanjang jalanraya utama ada papan tanda yang berbunyi “Save rain water”. Ia membuktikan betapa berharganya air hujan yang turun kepada penduduk India. Akan tetapi, musim hujan juga membawa bersama musibah. Banjir berlaku setiap kali hujan biarpun hujan yang turun hanya sehari suntuk.

Iyappan pernah membawa saya ke satu kawasan di mana beberapa blok rumah pangsa dinaiki air sehingga ke tingkat 5 sewaktu banjir besar pada tahun 2008. Menurutnya, banjir mungkin disebabkan sistem perparitan yang hampir tiada di sana. Disebabkan hujan jarang sekali turun, pembinaan bandar tidak mengambilkira pembinaan parit atau longkang untuk mengalirkan air.

Agakan saya begitu.

Sewaktu cuti sekolah akhir 2009, selepas tamat peperiksaan SPM, suami dan anak-anak datang ke Chennai dan tinggal di sini selama dua minggu. Kehadiran mereka di kala musim yang indah ini membuat kehidupan saya lebih berwarna-warni. Keletah dan kerenah setiap seorang dari mereka membuat saya asyik ketawa dan tersenyum.

Tugasan yang saya galas tidak terasa beratnya. Masalah yang menimbun hilang bersama senyuman mereka. Kakak alah dengan makanan di sini. Setiap hari dia akan sakit perut. Asyik berkurung di dalam bilik. Muncung mulutnya bagaikan boleh digantung penyangkut baju. Ada saja yang tidak kena di matanya. Perkataan yang sering diutarakan adalah “busuk, bising, rimas…”. Serba salah kami dibuatnya.

Jimie amat menjiwai Chennai. Dia mencuba apa saja yang menarik perhatiannya. Bermain kriket di atas bumbung rumah bersama Iyappan dan Krishna, si pemandu dan tukang cuci rumah; menunggang motosikal Royal Anfield kepunyaan Amjad, PA di pejabat; menaiki bas yang senget sebelah bersama Krishna dan mengikut KaKa si tukang masak menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

Jimie dan Abey juga sempat menonton wayang gambar tamil bersama Iyappan dan Krishna. Pulang dari panggung, mereka berkongsi cerita lucu. Panggungnya umpama dewan serbaguna. Mendatar. Tayangan gambar di sini siap ada ‘interval’. Iyappan keluar dan belikan mereka pop corn yang berperisa masala! Selepas tayangan tamat, penonton semua berdiri lalu bertepuk tangan!

Masih terbayang Jimie dan Abey ketawa hingga keluar airmata. Di antara mereka bertiga, Abey agak pemilih orangnya. Dia tidak mungkin sanggup berjalan mengharung becak atau bersesak-sesak dengan rakyat India yang berbau kari. Kari masam ada, kari tengik ada, kari basi ada, kari sedap pun ada…. Ada cerita lucu tentang Abey yang tidak mungkin dilupa.

Ketika kami keluar dari kawasan lapangan terbang sewaktu baru tiba dari Malaysia, dia bertanya dengan penuh kehairanan, “Ma…kenapa ramai orang beratur mengadap tiang jambatan tu?”. Kami yang faham serentak ketawa. “Itu ‘tandas’ orang kat sini, Bey.” Seraya itu dia mengangkat kedua bahu menunjukkan rasa geli geleman sambil berkata, “Hee…”.

Malangnya, sepanjang berada di sini, Abey sentiasa terpandang adegan-adegan yang tidak ingin dilihat. Di satu pagi, selepas menghantar saya ke pejabat, Iyappan membawa mereka berjalan-jalan di bandar. Kedai buku di India adalah tarikan utama mereka. Buku-buku yang di sini jauh lebih murah dari Malaysia kerana India adalah antara negara yang dibenarkan membuat pencetakan semual menggunakan kertas kitar semula.

Anak-anak juga sukakan kawasan pemborongan, seumpama Jalan Chow Kit, yang bernama Parys. (Buang ‘i’ ganti dengan ‘y’). Pelbagai barangan dijual di sini dengan harga murah. Jika dibeli dalam kuantiti yang banyak, ia jadi lebih murah. Namun keadaan kedai dan gerai yang berselerak ditambah dengan becak kerana hujan, serta anjing yang berkeliaran membuat anak-anak bingung.

Nyata kebersihan langsung tidak dipedulikan di sini. Perjalanan dari Parys samada untuk ke pejabat saya dan untuk kembali ke rumah, perlu melalui satu kawasan yang paling sesak di Chennai. Ia berdekatan dengan stesen keretapi dan stesen bas. Bila hujan turun, air akan bertakung dan perlu diharungi.

Dalam perjalanan pulang dari mengambil saya di pejabat, sewaktu kereta merangkak-rangkak di dalam air yang semakin meninggi, terdengar Abey berbunyi…”eee….uwek!” Kami terkejut. Semua menoleh ke arahnya. Dengan suara perlahan, beliau jelaskan, “masa kita nak ambik Mama kat ofis dari Parys tadi, air belum tinggi macam ni. Kat situ tu Abey nampak ada ehem-ehem…Tu…kat tempat Aci sari biru tengah berdiri tu…kuning-kuning…..hee!!!….”

Serentak kami memandang Aci bersari biru yang sedang berdiri tenang walaupun basah kuyup di dalam air separas lutut sambil sebelah tangannya berada di atas kepala. Kami faham sepenuhnya kenapa Abey berbunyi begitu.

Rasa mual tiba-tiba datang. Dalam hati berkata, “kalaulah aku yang berdiri di tempat Aci tu…!” Kesian Abey. Sampai demam dibuatnya berdepan dengan pemandangan yang tidak disukainya. Dia lebih suka tinggal di rumah dari mengikut kami berjalan-jalan di sekitar kota.

Ditakdirkan akhirnya Abey jatuh demam selepas beberapa hari di sini. Sejak mula tiba, layanan KaKa terhadap Abey sedikit istimewa. Ditatang bagaikan menatang minyak yang penuh. Sewaktu saya sedang menyiapkan ubat-ubat untuk Abey makan, saya lihat KaKa sedang menyuap bubur ke mulut Abey.

Bila saya dekati, rupanya bukan bubur. Tetapi nasi yang digaul dengan ‘curd’ atau susu masam…. KaKa menggaul menggunakan tangannya. Bila Abey nampak saya, terus dia berkata…”Ma…” seolah-olah meminta pertolongan. Sekali tengok saya tahu Abey geli mahu menelan ‘bubur’ tersebut.

Saya katakan padanya, “makan je lah!” KaKa bersungguh-sungguh memberitahu saya bahawa makanan itu paling sesuai untuk orang demam. Ia akan menyejukkan badan dan menurunkan suhu. Dengan dahi berkerut-kerut, Abey bersusah payah cuba menelan bubur di dalam pinggan tersebut. Keluar dari bilik itu, saya dan suami menahan perut ketawa.

Abey oh Abey!

Bermulalah ….

Selepas persetujuan dengan rakan kongsi termeterai, tugasan menjadi lebih berat. Kelulusan dari pemegang saham adalah keutamaan. Tugas utama saya pada saat persetujuan dicapai adalah untuk menyediakan rancangan perniagaan dan kanvas model perniagaan. Ia perlu memikat hati pelabur demi mendapatkan suntikan modal yang bukan sedikit jumlahnya.

Platform bagi sistem yang telah direka juga perlu disediakan. Pelan perniagaan dan sumber manusia yang diperlukan diperhalusi. Bank data pelanggan dan model harga jual adalah agenda penting. Ia mengambil masa, tenaga dan konsentrasi. Kami perlu fokus dan komited dengan inisiatif ini. Hati tidak boleh berbolak-balik.

Bagi mendapatkan data-data “primary”, kami perlu berada dekat dengan pelanggan dan perniagaan. Maka bermulalah episod ulang alik Kuala Lumpur-Chennai-Kuala Lumpur yang bagaikan perjalanan Klang-Kuala Lumpur. Pengalaman berurusan dengan agensi kerajaan di India sesungguhnya amat mahal nilainya buat saya.  Ada kalanya melucukan. Selalunya membuat darah menggelegak. Boleh gugur jantung. Ia sukar awalnya tetapi boleh diatasi dengan mudah jika tahu caranya. Malah ia lebih memudahkan jika mendapat bantuan mereka yang berpengetahuan.

Pak Hassan meminjamkan orang kepercayaannya – Mr Anba – untuk membantu saya. Iyappan, pemandu syarikat ditugaskan untuk menjadi pemandu peribadi. Burkhan dan Senthilkumar pula menyiapkan urusan bank dan penubuhan syarikat. Subhanallah. Tiada yang mustahil boleh berlaku di dunia ini jika Allah izinkan.

Dalam masa sama, saya perlu menguruskan perkara-perkara besar dan kecil bersama kumpulan saya di Malaysia. Syukurlah Tuan CEO dan Tuan ED sentiasa bersama, samada fizikal mahupun “virtual”. Tuan Peguam tidak pernah bosan melayan permintaan dan pertanyaan. Begitu juga kakitangan lain, Subahanallah, mereka sentiasa bersedia. Victor, Farkhan, Mr T dan Zue. Pengorbanan mereka sungguh besar. Nikmat Tuhan mana lagikah yang saya dustakan?

Sokongan dari suami dan keluarga tidak kurang hebatnya. Biarpun suami sibuk dengan urusannya, beliau tidak keberatan untuk meluangkan masa terbang bersama saya ke Chennai sekali sekala. Kali pertama Pak Hasan bertemu muka dengan suami, nyata beliau amat gembira. Apalagi bila saya katakan padanya, “Sir, this is Naha, my husband. This time, I am travelling with my mahram.” Dipeluknya suami saya dan entah apa yang dibisikkan hingga suami saya tersenyum lebar.

Pak Hasan tambah teruja bila En Suami memberitahu yang beliau mengusahakan perniagaan barang kemas di Malaysia. Mereka mula bercakap dalam bahasa yang sama. Rupanya Pak Hasan adalah seorang ‘gemologist’. Beliau memulakan kerjaya di Antwerp, Belgium selama beberapa tahun untuk menguruskan perniagaan batu permata keluarga. Selepas Antwerp, Pak Hasan menetap di Hong Kong untuk sekian lama sebelum keluarga beliau memilih untuk meninggalkan industri barang kemas. Biarpun begitu, Pak Hasan masih memiliki sebuah kedai emas di Mumbai yang diuruskan oleh anak saudara beliau. Kedai emas di India besar-besar belaka.

Sedang asyik bercerita, Pak Hasan tiba-tiba bangun dan menarik tangan En Suami  dan duduk di sofa di sudut pejabatnya. Saya pula dibiarkan duduk berdekatan meja tulis beliau. Suara mereka perlahan. Pak Hasan memandang tepat ke wajah suami. Gaya Pak Hasan yang begitu serius mencemaskan saya. Apakah sebenarnya yang mereka bualkan?

Saya perhatikan wajah suami yang sesekali menjadi merah, kadangkala mendung, kadangkala berseri. Masa yang singkat saya rasakan lama. Pak Hasan mengangguk beberapa kali. Sesekali memandang tepat ke arah saya, kemudian menyambung lagi perbincangan dengan suami. Jantung saya berdegup bertambah kencang. Apa agaknya yang mereka berdua bincangkan?

Pak Hasan kemudian bangkit dan memanggil saya. Dengan tegas beliau berkata bahawa tempat saya adalah di sisi suami. Sebagai seorang yang lebih dewasa, beliau tidak mahu kami berdua berjauhan. Banyak masalah yang akan timbul. Namun selepas berbincang dengan suami, beliau akur dengan kemahuan saya yang setinggi gunung dan juga keyakinan suami terhadap saya.  Sebelum kami beredar, beliau berjanji untuk menjaga saya sepanjang saya berada di Chennai. Malah mempelawa saya tinggal di rumahnya Pelawaan yang kelihatannya amat menarik!

Selang beberapa jangka waktu, kami mula menduduki pejabat yang terletak dalam bangunan yang dimiliki oleh keluarga Pak Hasan. Saya pilih bilik hujung yang ‘cozy’, dekat dengan tingkap dan jauh dari pandangan orang lain. Syarikat mula menggaji beberapa kakitangan tetap. Antara mereka ialah Dr Shan, Mr Anba, Harris, Burkhan, Mansoor dan dua tiga nama lagi yang berbunyi sama saja pada saya. Mr T pula adalah teman saya dari Malaysia yang bertanggungjawab untuk hal-hal teknikal.

Pihak syarikat juga mengizinkan saya mencari rumah yang selesa untuk saya jadikan ‘istana hinggap’ sepanjang menetap di Chennai. Rumah banglo sederhana besar di kawasan elit Chetpet menjadi pilihan. Berjiran dengan banglo-banglo persendirian milik syarikat-syarikat antarabangsa, ia jauh dari bunyi bingit dan kesesakan. Ia menjanjikan sedikit keselesaan. Ia juga terletak berdekatan dengan istana Pak Hasan. Dilengkapi dengan perabut yang sederhana dan pembantu-pembantu yang sedia menanti dengan senyum lebar. KaKa si tukang masak beragama Islam, Krishna si pembantu rumah beragama Kristian dan Iyappan pemandu beragama Hindu.

Syukur alhamdulillah, KaKa menjaga saya bagaikan menatang minyak yang penuh. Saya gemuk dengan masakannya yang amat sedap. Setiap pagi KaKa akan bertanyakan menu hari tersebut. Sarapan pagi biasanya capati, tosei, puree, apom dan idli. Makan malam selalunya briani. Kambing, ayam atau daging. Sebut saja mahu makan apa. KaKa akan berjalan berlenggang-lenggok ke pasar berhampiran dan menyediakan keperluan. Kagum saya…tiada bahan mentah yang tersimpan di bahagian sejuk beku peti sejuk di rumah itu. Tiada juga makanan dalam tin atau makanan segera yang dimasak sepanjang saya tinggal di sana. Rempah ratus juga digiling sendiri.

Tiada orang Melayu bersama saya di sana. Kesemua mereka berbangsa India dengan kepercayaan agama yang pelbagai. Adat resam dan cara hidup mereka jauh bezanya dengan cara hidup orang Melayu. Iyappan adalah tempat saya bertanya soalan tentang adat dan budaya mereka. Selalunya saya hanya tersenyum mendengar sebab dan alasan yang tidak masuk akal yang dikemukakan olehnya. Oh ya! Ada satu persamaan antara saya dengan mereka. Nama yang ‘berbunyi’ India.

Namun, tiada kesukaran kecuali apa yang Allah jadikan sukar. Saya pegang juga pepatah Melayu, “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Firman Allah yang bermaksud seperti di bawah menambahkan keyakinan di hati:

Ditimpa kehinaan mereka walau di mana mereka berada melainkan berjaya berpegang dengan agama Allah s.w.t. dengan menghubungkan diri dengan Allah s.w.t. dan juga berbuat baik sesama manusia.

Terjemahan Surah Al-Imran: 112

Bila tiba masanya …..

Misi utama pemergian pertama saya ke India kerana mahu mencari rakan kongsi. Pelbagai kriteria penting telah dikenalpasti dan dipersetujui oleh pihak pengurusan tertinggi sebelum itu. Antaranya, mereka mahu ber-rakankongsi dengan konglomerat antarabangsa.

Selepas beberapa pertemuan dan mesyuarat, pencarian saya semakin hari kelihatan semakin sukar. Saya sudah putus asa. Lalu lahirlah rasa kekecewaan saya kepada Tuan CEO di Malaysia. Saya mahu pulang segera. Mujurlah kepercayaan yang beliau letakkan kepada saya amat tinggi. Semangat yang sudah menghilang kembali menjengah ke dalam diri.

Saya jadi semakin kuat menangis dan asyik mengadu kepada Allah yang satu. Memohon agar Dia mudahkan urusan saya. Memohon agar Dia temukan saya dengan orang yang saya cari. Memohon agar Dia bukakan hati hambaNya, walau siapa pun dia, untuk menerima idea saya. Sudi menjadi rakan kongsi yang saya cari.

Sejak kecil arwah Bapak mengajar kami untuk meminta dariNya secara spesifik. Bapak selalu berkata,

“Bila berdoa, bayangkan apa yang kau nak. Minta dari Dia apa yang kau bayangkan. Sebab Dia akan bagi apa saja yang kau minta. Lambat cepat je. Paling penting kita yakin dengan Dia dan kita serahkan sepenuhnya pada Dia. Jangan ada sangsi walau sekelumit.”

Semoga Bapak diletakkan bersama hambaNya yang beriman dan berbahagia di sana.

Didikan dan pesanan Bapak menjadikan anak-anaknya degil dengan kehendak dan berpegang teguh dengan kepercayaan. Saya tidak berkecuali; terutama tatkala berdepan dengan kepayahan seperti ini. Sementelah saya bersendirian di bilik hotel, tidak ada rasa gusar di hati dikata gila kerana bercakap seorang diri.

Di satu petang, selepas hari ke sepuluh, dengan berat hati, saya gagahkan diri menghadiri mesyuarat dengan seorang CEO sebuah syarikat. Dr Shan dan bekas anak murid beliau, juruaduit luar syarikat tersebut, menemani saya. Beliau mengenali CEO tersebut. Saya tidak meletakkan sebarang harapan kepada pertemuan ini. Hati saya sudah tawar. Yang ada hanya gundah dan gulana.

Allah ya Allah. Sombong sangatlah pulak Pakcik ni. Langsung tidak mahu memberi kesempatan kepada kami menerangkan model perniagaan. Saya bayangkan beliau umpama raksasa yang mahu menelan mangsanya. Dan saya adalah Ultraman yang belum memakai pakaian seragam. Dihempas-hempas sesuka hatinya. Hampir saja airmata tumpah kerana tidak sanggup menelan kesombongan beliau. Suaranya bernada tinggi dan temponya laju. Tangannya mendepang-depang disertai pandangan mata yang sinis. Hati ini cukup terhiris. Berada di situ terasakan satu perbuatan yang sia-sia. Bertapuk tinggi lagi rasa kecewa saya.

Tidak sukar untuk memahami kenapa beliau boleh menjadi begitu sombong. Sebagai CEO sebuah syarikat yang mempunyai pendapatan lebih US$2 bilion setahun, dengan ratusan ribu kakitangan di bawahnya, kedudukan beliau cukup tinggi. “Sabarlah duhai hati. Kau harus sedar diri. Kau tidak punya apa-apa untuk ditawarkan. Hanya idea, semangat dan kemahuan yang tinggi.”

Saya betul-betul angkat bendera putih dengan Tuan CEO Sombong ini. Dalam hati berkata, “Lantak pi lah.” Tumpuan mula beralih kepada hiasan dalaman bilik besar itu. Ada perasaan mahu menentang yang begitu membuak; syukur Allah tidak izinkan. Ia pastinya memudaratkan jika kata hati diturutkan. Kail saya ketika itu panjangnya hanya sejengkal, tidak mungkin lautan dalam mampu diduga.

Di saat getir itu, saya merayu kepada Allah agar terus diberi kekuatan untuk menghadapi situasi yang paling sukar sejak dari hari pertama saya tiba di India. Kumat kamit mulut membaca surah Al-Insyirah. Berulang-ulang kali. Makin lama makin bersemangat. Saya yakin dengan firman Allah:

“Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”

(Terjemahan surah Al-Insyirah: 5- 6)

Hampir tercabut jantung saya tatkala mendengar satu suara yang begitu dekat dengan telinga saya.

“Can I have your business card, Madam?” Itu soalan beliau.

Saya tidak perasan bila ketikanya hamba Allah tersebut, seorang lelaki berusia 60an, yang wajahnya cukup bersih, putih melepak kulitnya, mengambil tempat di sebelah saya. Beliau menghulurkan kad bisnes kepada saya. Tertera namanya: Muhammad Hasan. Executive Director.

Secepat kilat kad nama saya serahkan kepadanya. Beliau bertanya laju, “Where is Idris?”

Jawab saya sambil tersengih bagai kerang busuk, “He is 7 feet down, Sir.”

“Your husband passed away already?” Tanyanya kembali.

“Oh no, Sir. My husband is in Malaysia. Idris is my late father. We, Malaysian, we use our father’s name, Sir. We don’t use our husband’s name.” Tanpa disoal saya menjawab. Rasa panas mula menjalar di pipi.

“Hmmm. You are here without your husband? Then, who is he?” Mulutnya dimuncungkan ke arah Dr Shan.

“He is my colleague, Sir. His name is Dr Shan. He is a local Indian from Thambaram, Sir.” Hati mula diburu rasa bersalah.

“You cannot travel without your mahram. Don’t you know that? It is wrong.” Sekali lagi saya tersengih. Terkedu. Tiada jawapan. Khalas.

Tuan CEO Sombong yang sedang rancak berdegar-degar bercakap tadi mula memperlahankan suara. Yang lantang menjadi lembut tiba-tiba. Seolah-olah baru perasan ada manusia lain di hadapannya.

Bersungguh-sungguh pula beliau perkenalkan saya kepada Muhammad Hasan. Hati kecil yang nakal ini mula ketawa bagai digeletek. Tadi pandang kita sebelah mata pun tidak. “Bodek! Auta aje lebih Mamat ni. Habuk pun tak ada rupanya.”

Selepas sedikit penjelasan dari Tuan CEO Sombong, barulah saya faham bahawa Muhamad Hasan adalah wakil keluarga beliau dalam Lembaga Pengarah. Syarikat induk keluarganya berpengkalan di Dubai dan menguasai 80% saham dalam syarikat ABC ini. Gelak saya di dalam hati bertambah kuat. Tuan CEO Sombong ini hanya berkuli di syarikat ini. Samalah macam saya. Hujung bulan dapat gaji sebulan. Ada rezeki dapat bonus lebat. Silap haribulan kena tendang.

Pipi terasa semakin panas kerana perasan yang mata Muhamad Hasan tidak lekang dari menatap wajah saya. Ya Allah! Beri kepadaku keajaiban. Berikan kepadaku. Dan jauhkan sebarang malapetaka dariku Ya Allah! Bersungguh-sungguh saya merintih di dalam hati.

Allah Maha Mendengar. Dia menguji hambaNya dengan ujian yang hambaNya mampu hadapi. Saya hampir terjatuh dari kerusi tatkala mendengar Muhammad Hasan berkata,”I was been informed that someone from Malaysia is coming today. I am surprised to see you. I thought you are a man. The fact that you are a religious Muslim lady with a very strong character, travelled here all by yourself, selling your brilliant idea, made me impressed. I don’t understand a bit on what business you want to embark here in India, but, I want you to know that I am with you. Welcome to the Group. We will discuss this further either here in India or in Malaysia.”

Allah hu akbar. Allah yang Maha Besar. Segala puji hanya padaNya.

Muhamad Hasan bangun.  Semua yang ada dalam bilik itu juga bingkas bangun, termasuk Tuan CEO Sombong yang kelihatannya malu alah. Saya tundukkan kepala dan membawa kedua tangan saya ke dada sewaktu Muhamad Hasan memandang tepat ke arah saya. Sambil tersenyum beliau berkata, “I like you. Keep that spirit. And keep smiling. You look good when you smile. Call me tomorrow morning and I will give some names to you. I will inform our Group MD in Dubai immediately and explain in detail when I go there next week. Hopefully we can have our next meeting before next week?”

Kami tinggalkan bangunan yang tersergam itu dengan hati yang penuh dengan bunga. Saya tidak sabar untuk mengkhabarkan berita hebat itu kepada CEO saya di Malaysia. Sebelum saya tekan nombor beliau, saya tekan nombor kekasih hati saya. “I did it!!! Yeay!” Saya menjerit kegirangan….dan saya dengar jelas suara beliau di hujung talian, “Alhamdulillah. Syukur. Bila nak balik?” Ada rindu yang terpendam. Rasa kasih yang mendalam.

Maafkan Su …. Bang

Tiada satu perkara berlaku tanpa tujuan. Allah SWT mengatur kehidupan manusia mengikut keperluannya. Cuma – ada ketikanya – manusia tidak mahu berfikir dan bersyukur dengan laluan kehidupan anugerahNya. Allah ya Allah seluruh kehidupan itu sendiri merupakan ujian bagi melihat samada manusia lebih hampir kepadaNya atau tidak.

Pengalaman menelusuri India menjadi lebih mudah dengan bantuan seorang manusia bernama Shan. Allah SWT mengutus beliau – Profesor Perakaunan – dari India bersama-sama bertugas di sebuah universiti swasta di Malaysia untuk kami berkenalan. Begitu jauh beliau mengembara mencari rezeki walaupun sudah bertugas di Universiti Madras sebelumnya.

Beberapa tahun tinggal di Malaysia, banyak yang telah beliau pelajari kecuali bercakap menggunakan Bahasa Melayu. Katanya kepada saya, “How can I speak Malay when everybody speaks English to me? If not English, they will speak Tamil.”

Dr Shan mengambil keputusan pulang ke India demi menjaga isterinya yang sakit. Beliau menyambung khidmat di sebuah universiti lain di sana. Alhamdulillah … beliau tidak lokek ilmu. Bantuan Dr Shan kepada pasukan kami sangat bermakna. Beliau memberi pelbagai input mengenai negara India, ekonomi dan dunia bisnesnya. Keberanian dalam diri muncul dari mereka yang  hampir dan Dr Shan menyumbang terlalu banyak budi dan jasa di sepanjang perjalanan ini.

Selain Dr Shan, saya berulangkali membaca buku bertajuk We are Like that Only: Understanding the Logic of Consumer India” yang ditulis oleh Rama Bijapurkar. Buku terbitan tahun 2008 ini – saya fikir – memberi gambaran tepat mengenai dunia perniagaan dan kehendak pengguna di India yang ternyata jauh berbeza dari apa yang dipelajari di universiti.

Saya kagum melihat fakta-fakta berkaitan dengan peniagaan dan ekonomi India. sesiapa jua pasti kagum. Ekonomi India dipacu oleh kekuatan kuasa beli pasaran domestiknya. Namun ada sesuatu yang ‘tricky’ dalam membina perniagaan di India yang perlu saya pelajari.

Saya tidak mampu menelah dengan tepat. Ia ada di situ, seringkali menjadi penghalang, dapat dirasa tetapi tidak dapat dilihat dan dikenalpasti. Dr Shan sendiri tidak berupaya membantu saya mengupas kesulitan ini.

Perbincangan demi perbincangan kami lakukan di setiap ketika yang ada. Ada kalanya kami berdebat. Bermasam muka dan kemudian berbaik semula. Tugas Dr Shan ialah mencari jalan dan kenalan untuk mendapatkan petunjuk. Dari satu petunjuk, kami selusuri jalan-jalan yang perlu diambil dan hasilnya kami jadikan input untuk membuat keputusan.

Biar bagaimana sukar sekali pun sesuatu perkara, andai dilakukan bersama, terutama bila ada teman yang lebih bijak, nyata yang sukar akan menjadi mudah. Dr Shan membantu memudahkan usaha saya dengan kepintaran dan kerajinannya membuat kajian dan analisa.

Dalam masa sama, berada jauh di tempat orang tanpa teman dan saudara menyebabkan kesepian menguasai diri. Ia hadir tanpa diundang. Hanya Allah SWT tempat mengadu.

Biarpun saya kenal dan mempercayai Dr Shan – saya fikir – beliau tetap manusia biasa. Adakalanya timbul rasa sangsi dan gusar di hati. Setiap masa saya panjatkan doa supaya Allah mudahkan urusan saya dan Dia selamatkan saya dari sebarang musibah.

Seringkali saya menangis dan merintih kepadaNya kerana jauh di sudut hati, saya cukup takut berada sendirian di tempat orang. Di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Ketahuilah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.

(Terjemahan Surah al-Ra’d: 28)

Bilik hotel cantik dan selesa tidak mampu mengubat rasa tertekan. Saya sentiasa sukar melelapkan mata. Pusing kanan terbayang itu dan pusing kiri terbayang ini. Selalunya, saya akan terjaga di tengah malam dan mata jadi terang benderang biarpun kepala terasa amat berat dan mengantuk.

Saya cuba mengubati tekanan perasaan ini dengan mengambil wudhu dan bertahajud. Memang kerja syaitan suka mengusik manusia yang lemah. Bila duduk bersila sambil berzikir di atas sejadah, sekejap sahaja sudah tersenggut-senggut. Malangnya, bila naik ke katil, hilang langsung rasa mengantuk.

Alhamdulillah, saya punya teman setia yang dapat saya buka dan baca. Minggu pertama di Chennai, saya habiskan lebih 15 juzuk. Sungguh, ayat-ayat Quran menenangkan jiwa. Satu pencapaian buat saya yang lemah dan sentiasa leka. Itulah hikmah tika bersendirian.

Satu hari, selepas waktu pejabat, Dr Shan membawa saya ke rumah beliau yang terletak lebih 30km dari pusat Bandar. Thambaram namanya. Padat dan sesak sungguh jalan-jalan yang kami lalui. Manusia dan kenderaan bersesak-sesak di sepanjang perjalanan.

Bunyi bising dan hingar-bingar menyesakkan dada. Kaki saya pula asyik menekan brek yang tiada. Pemanduan Dr Shan berjaya membuat perut saya kecut, malah hampir hilang terus. Manakan tidak, tanpa rasa bersalah, beliau memandu di lorong yang bertentangan arus kerana terlepas simpang! Menjerit-jerit saya tanpa suara. Anihnya perbuatan Dr Shan itu seolah-olah biasa-biasa saja!

Lega rasa bila akhirnya kami sampai di rumah beliau yang tersergam indah. Isterinya yang manis menawan menunggu dengan penuh keterujaan. Nama saya rupanya tidak asing bagi keluarga Dr Shan. Sambutan hangat yang saya terima membuat saya berbesar hati.

Saya dijemput makan sebaik melangkah masuk ke dalam rumah. Bau harum makanan membuat saya lapar. “Try this, Suria. It is called dosa here. In Malay, you call it Tosai”. Tekak saya tidak berapa biasa dengan makanan India. Tosai atau dosa amat jarang saya makan sebelum ini. Dr Shan pula beranggapan yang saya meragui makanan tersebut. Mungkin lirikan mata saya memberi isyarat kepada beliau. Dengan pantas beliau berkata, “It is halal, Suria. The gravy is made of coconut. Dosa is purely flour. No oil! Don’t worry!” Saya hanya mampu tersenyum sambil meneguk air liur.

Sebaik tosai itu garing di atas kuali, ia terus diangkat ke dalam pinggan saya dan Dr Shan. Lembutnya tosai buatan Mrs Shan! Setiap kali tosai di pinggan kami mengecil, Mrs Shan akan mengangkat tosai dari atas kuali dan diletakkan ke dalam pinggan kami. Subhanallah! Banyaknya saya makan! Hilang kisah tidak pernah makan tosai.

Saya pelajari satu lagi perkara baru. Mrs Shan berdiri di belakang suaminya yang sedang makan umpama seorang ‘butler’. Berulang-kali saya ajak beliau duduk dan makan bersama, tetapi beliau menolak dengan lembut.

Sambil makan, saya ajukan soalan kepada Dr Shan kenapa isteri beliau tidak mahu duduk dan makan bersama. Rupanya, mengikut adat orang India, isteri perlu melayan suami sepenuhnya. Tatkala suami mahu makan, semua telah siap terhidang di depan suami.

Suami hanya perlu menyuap makanan masuk ke dalam mulut dan tidak perlu berganjak biar sedikit pun. Hatta jika boleh, isteri yang perlu meyuap makanan tersebut ke dalam mulut sang suami, tidak kira setinggi mana pun pangkat dan kedudukan si isteri.

Tiba-tiba, wajah suami terbayang jelas di ruang mata. Sudah makankah dia? Di mana agaknya dia makan? Apa yang dia makan? Tanpa sedar, airmata mengalir laju. Kerinduan membuak-buak. Hilang langsung selera makan. Badan jadi kejang. Kalaulah ada sayap, pasti saja saya terbang pulang ke pangkuannya.

“Maafkan Su, Bang ….”

Pandangan Awal

Disember masa indah di Chennai.

Angin berhembus sejuk memberi rasa nyaman dan mengasyikkan. Ia gemersik beralun ketika daun-daun bergeseran ditiup bayu. Rasa hati saya begitu. Alahai … barangkali begitulah Allah SWT memberi rasa terpukau supaya jiwa tenteram ketika berjauhan dengan keluarga tercinta.

Tiada cuti rehat.

Hari keduanya saya mula bertugas. Sementara menanti ketibaan Dr Shan, saya mengambil keputusan berjalan menikmati pemandangan indah di sekitar kawasan hotel. GRT Grand terletak di atas kawasan tinggi dari jalanraya dan dipagari tembok tinggi. Ia kelihatan begitu gah dan ekslusif.

Saya tersenyum melihat gaya si penjaga pintu hotel. Beliau berpakaian seperti pahlawan maharaja. Dengan misai melenting, berserban tinggi, beliau memandang saya dengan ekor mata bersungguh. Barangkali beliau terfikir dan mahu bertanya, “dari kampong mana kamu datang wahai perempuan gemok?”.

Mungkin saya berburuk sangka. Namun beliau senget-senget kepala mengekori pergerakan saya. Matanya cukup tajam. Biarlah. Saya terus berjalan menikmati dingin pagi sehingga ke pintu pagar hotel. Saya mendapat satu kejutan besar sebaik sahaja melangkah ke sisi jalan besar di depan hotel.

Subhanallah … bisingnya! Ia amat bising.

Mata saya cepat menangkap pemandangan yang tidak mungkin ada di Kelang atau Shah Alam. Selang 20 meter dari hotel berbintang ini beratur khemah-khemas kanvas berisi manusia.

 Eh … ada lembu dan anjing juga!

Hari masih awal pagi tetapi kenderaan sudah mula membanjiri jalanraya. Gegak gempita umpama peperangan akan berlaku sebentar lagi. Suara manusia berlawan-lawan dengan bunyi kenderaan.

Saya teringat arwah mak mertua – orang Muar – yang pastinya akan menggunakan ayat seperti ini jika beliau melihat suasana di hadapan mata, “berdempeh-dempeh bercakap. Sampai nak terkeluar anak tekak!” Maksudnya, bercakap dengan suara tinggi, kuat dan kasar.

Situasi ini menakutkan. Kehidupan saya di Malaysia tidak begitu. Saya jarang berdepan dengan khalayak berteriak dan menengking-nengking bila bercakap. Saya pasti gugur air mata jika ayah atau suami melakukan perkara yang sama.

Barangkali saya lembut hatinya. Ia soal asuhan dan didikan. Rasanya adab bersembang orang Islam berkait rapat dengan saranan agama yang telah diajar oleh Allah SWT.

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian meninggikan suara kalian melebihi suara Nabi.

(Terjemahan surah Al-Hujurat ayat 2).

Mak selalu berpesan betapa mereka yang suka meninggikan suara terhadap seseorang seolah-olah menyatakan kita tidak hormat kepada mereka.

Jangan biadap!

Itulah teguran mak setiap kali kami bercakap dengan suara tinggi. Ia masih terngiang-ngiang di telinga sehingga kini. MasyaAllah … tingginya ilmu Mak. Ia jadi ilmu bermanfaat untuk saya amalkan. Semoga Mak ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman.

Kaki terus melangkah. Perlahan kerana melayani mata aktif menyaksikan pelbagai pandangan baru. Di sana-sini kelihatan – AUTO – motosikal berbumbung yang menjadi nadi pengangkutan utama di sini (nota: di Indonesia ia dikenali bajjaj dan di Thailand disebut tut-tut). Jalan raya bersimpang siur di antara auto, motosikal, kereta, bas dan van.

Ia sungguh melemaskan mata, hati dan perasaan. Pandangan pertama kali.

Namun ada pandangan melucukan. Saya terperasan hampir kesemua penunggang motosikal tidak memakai topi keledar. Sebaliknya motosikal yang memakainya kerana topi diikat di bahagian belakang motor.

Lucu sekejap … muncul pula rasa menakutkan apabila melihat pembonceng memakai sari meleret-leret, duduk menyenget di belakang pemandu dan kelihatan juntaian kain sari mereka terbuai-buai di tepi roda.

Saya mengeluh sendirian.

Terbayang andaikata kain melekat di celah jejari roda maka sekelip mata motor tersebut akan jatuh. Kalaulah ada kereta laju di belakang pastinya berlaku kecelakaan pada penunggang dan pemboncengnya.

Ahh … menyasar dan melampau pula ilusi hati.

Begitulah Allah SWT mahu saya melihat dunia dalam dimensi berbeza. Jarak memisahkan bangunan hotel dengan tempat berdiri tidak sampai pun 300 meter. Jurang antara keduanya kelihatan terlalu besar. Ibarat langit dengan bumi.

Hotel dikelilingi pokok-pokok dengan hiasan teratur, bersih dan kemas. Di luar hotel ia nyata berbeza. Kawasannya kotor, berhabuk, bersepah dan menjijikkan buat anak Malaysia yang datang dari bandaraya Shah Alam yang sememangnya kemas, teratur dan bersih.

Najis kelihatan merata-rata. Tidak sanggup untuk saya memeriksa dan mengetahui jenis-jenis najis. Bau busuk dan hancing menerjah hidung sehingga ia meloyakan. Terasa mahu keluar isi perut walaupun ia masih belum terisi.

Jangan salahkan saya kerana mencatatkan suasana ini. Ia keadaan yang tidak masuk akal dan logik bagi kebanyakan manusia yang terdidik dengan nilai asas kebersihan. Misalnya, arwah Mak mendidik saya sejajar dengan ajaran Quran.

Bersihkanlah pakaianmu dan jauhilah segala kekotoran.

(Terjemahan surah Al-Muddathir ayat 4-5).

Saya sudah tidak sanggup meneruskan kembara pagi tersebut. Cukuplah rasa dan pengalaman sejenak yang memenuhi ruang ingatan. Apatah lagi perut sudah mula terasa  perlu di isi.

Allah SWT mencipta malam dan siang berbeza di dua kawasan yang berlainan. Namun India dan Malaysia mempunyai perbezaan waktu di sekitar 2 ½ jam. Saya merenung jam hotel. Patutlah … jam sudah menunjuk tepat kepada angka lapan, kira-kira pukul 10.30 pagi di tanahair. Kali terakhir saya menjamah makanan di dalam kapalterbang.

Saya terus ke dalam restoran meninjau limpahan juadah yang dihidangkan. Terasa sangsi di hati. Hati was-was dengan status makanan samada ia halal dan bersih. Akhirnya saya memilih roti, mentega, yoghurt dan kekacang serta kopi untuk mengisi perut.

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

(Terjemahan surah Al Baqarah: 168)

Tiba-tiba – ketika asyik menikmati makanan – saya terlihat senyuman di wajah seorang lelaki India tidak jauh dari meja saya. Saya balas senyuman lelaki tersebut dan beliau menyapa saya dengan satu patah perkataan, “Malaysia?”. Bila saya mengangguk, beliau bingkas bangun lantas mengambil tempat di kerusi mengadap saya.

Saya Raman dari JB. Dari jauh saya nampak awak tadi. Tengok cara awak pakai tudung, saya tahu awak orang Malaysia. Seorang sajakah?

Pakaian boleh membawa identiti pemakai? Begitulah bagaimana Islam menekankan soal berpakaian terutamanya kepada kaum wanita. Ia membezakan antara mereka yang beragama Islam dengan yang lain. Ia soal kehormatan diri. Kami bersembang seketika sebelum saya meminta diri.

Akhirnya Dr Shan tiba bersama bekas pelajar beliau – Krishnan – jutawan dalam pasaran saham dan wang. Muda lagi orangnya dan saya saya dapat merasakan yang beliau berketurunan orang kaya dan hidup berbantal dan berselimutkan duit.

Pertemuan ini sungguh melegakan. Saya membuat cadangan dan memohon bantuan bagi mengetuk pintu-pintu konglomerat yang bersedia untuk menjadi rakan kongsi syarikat kami. Krishnan kelihatan tertarik dan beliau kelihatan setuju membantu tanpa banyak soal. Allah SWT memudahkan urusan.

Saya melalui minggu pertama di Chennai dengan bertemu serta berbincang dengan ramai orang. Ia memerlukan banyak kemahiran berkomunikasi. Ia jauh menyimpang daripada tugas hakiki saya sebagai seorang akauntan yang sering berada di belakang tabir.

Tugasan yang tidak mudah sama sekali. Setiap hari saya belajar banyak perkara baru. Paling utama hubungan sesama manusia. Masyarakat India secara keseluruhannya masih kuat berpegang kepada adat terutamanya sistem kasta.

Kedudukan dan pangkat  menjadi kayu ukur utama. Tentu sekali ia bertentangan dengan asas ajaran Islam tentang persamaan darjat dan kedudukan sesama manusia.

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

(Terjemahan surah Al-Hujurat: 13)

Cabaran dan ujian mula muncul. Tentu sekali tidak mudah untuk mereka meyakini keupayaan saya. Saya bukan hanya seorang wanita tetapi wanita Islam yang bertudung.

Isu ini sahaja sudah memberi atau membina tanggapan negatif apatah lagi ketika itu perselisihan militan Islam dan militan Hindu di utara India dan pengeboman di Mumbai dan Bali sedang hangat diperkatakan.

Namun ada satu perkara menonjol membuatkan saya berjaya menempatkan diri di kalangan mereka dalam masa yang singkat. Nama saya Mahasuria. Ia berbunyi India. Mereka sangka saya sebahagian dari mereka.

Apa ada pada nama?

Ada. Ternyata ia memberi saya kelebihan besar. Mereka melupai saya wanita Islam tetapi melihat nama yang seiras dengan nama mereka. Akhirnya saya terfikir,

Selepas lebih 40 tahun … barulah terjawab kenapa Allah SWT menggerakkan hati arwah Bapak untuk memberi aku nama yang unik ini.

Saya fikir begitu. Ia telah ditakdirkan betapa India menjadi salah satu tempat hebat menjadi persinggahan saya. Nama Mahasuria membantu persinggahan ini.

Allah ya Allah … kami mohon keampunanMu ya Allah.

Perjalanan

Katakanlah: Berjalanlah di muka bumi, maka perhatikanlah bagaimana (Allah) memulai penciptaan (makhluk), kemudian Allah menjadikan kejadian yang akhir, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

(Terjemahan surah al-‘Ankabut: 20)

Ia tidak pernah terlintas di minda. Apatah lagi mahu merancang perjalanan luar biasa ini. Begitulah ketetapan Allah apabila dimasukkan ke dalam task force memikirkan satu idea perniagaan di India.

Mengapa India?

Ia makluman umum betapa segala bentuk “otak” teknologi dibina dan diselenggarakan di sana. Keahlian saya di dalam “task force” bersifat spesifik. Tugas utama mengkaji samada projek ini “feasible” dan “viable”.

Saya teruja. Saya hanya perlu merenung sisi RM. Ia sememangnya tugas hakiki sebagai akauntan terlatih.  Apatah lagi saya tidak suka dikenali. Saya selesa berlindung di balik tembok tinggi.

Alahai … jiwa sering muncul rasa takut, gementar dan gelabah apabila perlu berada di khalayak ramai. Perut saya dipenuhi rama-rama.

Kumpulan kami kecil. Kami – saya, Nasir, Thiaga, Jang dan Edward – mempunyai peranan tersendiri. Namun hampir setiap hari kami bersama memecah kepala bagi mendapatkan idea untuk meloloskan diri ke dalam dunia IT yang sedang berkembang pesat di India.

Selain kami berlima, saya juga meminta bantuan sahabat – Dr Shan – berasal dari India. Ia tindakan logik memandangkan kami tidak berpengetahuan tentang roh dan perasaan India.

Ketentuan Allah tidak pernah terjangkau dek akal manusia.

Tiba-tiba kesemua ahli pasukan meninggalkan saya dan Edward setelah mendapat tawaran kerja lebih menarik. Akhirnya … saya berseorangan apabila Edward pula ditugaskan dengan projek lain.

Saya tiada pilihan. Sudah lebih enam bulan kami habiskan masa dan tenaga untuk projek ini. CEO memberi kata dua,

No excuse Suria. You are better than me in making this happen. You have mastered Indian economy than anybody else in the company. Take this as your own project. You will drive this project. If it means that you have to be in India, then go. Don’t worry, you have my full support.

Aneh betul rasa jiwa manusia. Saya teruja tetapi ketakutan. Dua rasa dalam satu. Menerima amanah ini bermakna saya jadi Suria berbeza. Namun ia satu penghargaan serta penghormatan.

Akhirnya, redha suami yang saya pohon. Dan ia bukan satu kesulitan buat beliau memberi sokongan. Naha sentiasa yakin dengan keupayaan isterinya.

MasyaAllah … saya sambut cabaran CEO lalu bermulalah perjalanan baru dalam kehidupan seorang insan bernama Mahasuria Idris. India muncul ketika saya fikir tiada rakyat Malaysia yang mahu bermukim di sana.

Ujian kehidupan bermula serta-merta. Ketika saya berkira mahu terbang, dunia dikejutkan dengan kejadian bom meletup di Taj Hotel, Mumbai. Berderau darah, bergelodak jiwa. Ia berlaku seminggu sebelum tarikh penerbangan Saya hubungi Dr Shan di Chennai.

Can you help me, Sir? I am stuck!

If you want to come to Chennai, I am 100% ready for you, Suria. Definitely not Mumbai.

Rancangan awal bertukar seratus peratus. Mumbai gugur dan muncul Chennai. Itulah bandar operasi kami yang dipersetuji oleh Tuan CEO. Allah ya Allah … kini saya semakin jelas bagaimana kedudukan 4 Metro atau atau kota besar. Delhi di Utara, Mumbai di Barat, Chennai di Selatan dan Kolkata di Timur.

Akhirnya – hujung 2008 – saya terbang ke Chennai mencipta sejarah kehidupan. Dunia luar biasa menyentuh hati dan perasaan. Pertama, pandangan pertama di lapangan terbang antarabangsa Chennai membuatkan saya sangat terkejut. Sungguh, hati berderau dengan persekitaran berbeza.

Ramainya manusia.

Kedua, saya jadi lebih terkejut selepas melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam. Saya bagaikan menonton wayang gambar Tamil. Berbaris manusia menunggu di lorong keluar. Mereka berasak-asak dan ramai juga yang memegang placard bertulis nama.

Ada memegang kalungan bunga dan tidak sedikit pula menjerit-jerit memanggil pelbagai nama. Hiruk pikuk dan amat bising walaupun hari telah jauh malam. Tidak bolehkah mereka menunggu dengan bibir terkatup? Telinga saya bingit sekali.

Tiba-tiba saya terdengar nama sendiri di hujung telinga. Rasa gementar serta sedikit kebingungan hilang apabila melihat wajah Dr Shan ceria lagi teruja menanti ketibaan. Beliau kelihatan seperti warga India yang lain.

Allah ya Allah … sememangnya beliau berasal dari sana!

Cuaca di Chennai ketika itu musim sejuk. Tiada salji, hanya hujan turun lebih banyak dari musim lain. Oh ya, Chennai ada empat musim. Panas, panas, panas dan hujan. Purata hujan turun hanya 25 hari setahun.

Dr Shan kemudiannya membawa saya bersama keretanya yang comel menghala ke bandaraya. Saya tambah terkejut. Bisingnya bunyi di jalanraya. Semua kenderaan membunyikan hon.

Why must they honk on us, sir?

Welcome to India, Suria!

Jarak antara lapangan terbang ke pusat bandar tidaklah terlalu jauh. Namun perjalanan mengambil masa panjang. Kereta bersimpang siur, motor mencelah-celah, bas dan lori tidak mahu ketinggalan menyelit-nyelit di antara kenderaan.

Saya mulai terhibur dengan apa yang dipandang mata. Tersenyum melihat bas senget sebelah. Hampir kesemua bas begitu. Kelihatan tiada bas berhawa dingin. Pantas sekali suasana ini mengembalikan ingatan silam.

Ia mengingatkan saya kepada bas awam yang pernah saya naiki sewaktu kecil untuk ke bandar Kelang. Barangkali 40 tahun lampau. Aduh … ia ingatan berbalam-balam. Lama. Ia kenangan yang cukup lama. Kini ia muncul kembali.

Oh … hampir terlupa saya … lembu juga banyak di atas jalan. Ia pasti mengambil ruang baru ingatan. Ia pandangan pertama begitu.

Bunyi kenderaan, brek kecemasan dan hon seolah-olah menjadi irama kepada suasana di sepanjang perjalanan saya. Saya ralit memerhatikan Chenai, berkenalan dan menyerap suasana. Rasa terkejut beransur pergi.

Saya mencongak masa.

5 jam – kurang-lebih – di atas pesawat, satu jam untuk melepasi imigresen dan dua jam di jalanan, akhirnya saya di sambut di hotel bernama. GRT Grand. Serta-merta suasana mata nampak berbeza. Ia kelihatan mewah dan gah persis lokasi filem Tamil dan Hindi.

MasyaAllah … saya berada di tengah-tengah Metro Chennai, kawasan kelas atasan yang di kenali sebagai T.Nagar. Ia suasana berbeza dalam jarak waktu yang cukup hamper.

Hiasan dalaman hotel tersebut menggamit perasaan. Cantik. Hilang kepenatan selepas mengharungi perjalanan panjang. Diam-diam saya panjatkan kesyukuran kepadaNya kerana memudahkan perjalanan.

Lega. Dia menyelamatkan saya dari sebarang mala petaka. Malah saya terhutang kepada Allah SWT kerana membenarkan saya memerhatikan bagaimana kekuasaanNya ke atas segala yang ada di atas muka bumi ini. Tambah-tambah lagi di daerah yang tidak terfikir untuk saya hampiri.

Perjalanan baru ini sudah dimulai. Saya kini menjadi sebahagian daripada 1.2 bilion penduduk yang 60% dari mereka hidup di bawah garis kemiskinan, 30% jutawan dan 10% golongan pertengahan.

Tiga jam di sini membenarkan sedikit ilmu yang ada di dada. Saya fikir minda sudah bersedia memulakan hidup baru yang saya agak penuh warna-warni.

Benar … selamat datang ke India, Suria!

Harapan

Salam sejahtera … terima kasih kepada Prof MKI kerana menaruh harapan setinggi langit untuk saya berkongsi kisah kehidupan di U-MKI. Ia kenyataan mudah, “Suria … tulislah pengalaman you di bumi India. Mesti banyak kisah sisi yang boleh amati dan diteladani. Tidak ramai yang berpeluang begitu”.

Namun pesan jelas beliau nyata menimbulkan rasa sedikit gusar, “ini kerja percuma … ramai yang tidak mampu bertahan. Perlu ada disiplin niat yang benar barulah datang kekuatan dan kesungguhan”.

Harapan … itulah harapan yang sama beliau nyatakan lebih 10 tahun lampau ketika menyelia disertasi sarjana saya bersama beberapa rakan-rakan yang lain. Ketika itu beliau belum bergelar Profesor. Beliau baik hati tetapi jahat mulut. Namun itulah yang terkesan di hati. Sikap terus-terangnya.

Lalu saya mulakan kuliah pertama dengan kisah harapan. Harapan yang ada pada setiap orang. Barangkali ia seragam. Namun ada harapan yang mampu dilunaskan. Ada harapan yang tinggal harapan.

Ia kisah muhasabah diri.

MasyaAllah … Subhanallah. Ramadhan semakin berlalu pergi. Usiaku akan menginjak ke angka lebih besar dalam beberapa hari lagi. Namun, keupayaan diri masih di takuk lama. Untuk dunia masih begini, untuk akhirat masih begitu.

Fikiran masih menerawang memikirkan peristiwa yang telah berlalu. Terlalu banyak kisah di sebalik penceritaan. Ada keluh yang tidak berkesudahan. Ada resah yang tidak berpenghujung. Ada mimpi yang tidak sudah …

Mengapa sukar dilupakan kenangan? Apatah lagi tika hati dilanda sepi. Patutkah sepi dibiarkan dalam diri?

Hati manusia yang berada dalam diri ini cukup mulus. Ia begitu cepat tersentuh. Namun hati yang dulu dengan hati yang kini nyata berbeza.

Seketika melayan rasa, mengimbau lipatan kisah, berjuraian airmata. Oh Tuhan…. Terlalu banyak kekesalan yang menerjah di kotak fikiran. Aku lupa, aku alpa, aku leka …. Dunia ini terlalu mengujakan hambaMu yang lemah. Aku asyik berjanji pada diri. Tetapi aku asyik mungkiri janjiku.

“Sungguh orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah surga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah ridha terhadap mereka dan mereka pun ridha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhan-nya.” (Terjemahan surah Al-Bayyinah ayat 7-8)

Aku impikan syurgaMu. Ia impian tidak pernah berubah. Ia kekal sebagai impian yang pasti. Dan syurgaMu adalah milik hambaMu yang beriman dan mengerjakan kebajikan. Yang hanya mengharap redhaMu. Yang takut kepadaMu.

Bagaimana aku?

Terlalu kerdil diriku di hadapanMu. Aku leka menikmati keindahan dunia yang aku tahu hanya sementara ini sehingga ia mengurangkan takutku terhadapMu. Aku menangis mengira kesilapanku sehari-hari, namun aku tetap mengulangi kelekaanku.

Dan menangis lagi.

Hatiku masih belum putih bersih seperti yang aku dambakan. Seperti yang aku harapkan. Fikiranku masih mahu menerawang jauh dalam khayalan, dalam impian, dalam keindahan dunia …

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astagfirullah. Keampunan dariMu aku harapkan Ya Allah.

Jika ini Ramadhan terakhirku, Kau jadikan ia Ramadhanku yang terbaik Ya Allah. Aku mahu hidup kekal di dalam syurga ‘Adn Mu, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Duhai hati, berhentilah dari menyintai dunia. Kehidupan abadi bukan di sini.

Ya Rabb, jadikan jiwaku ini jiwa yang tenang. Aku tahu jiwa yang tenang adalah milik penghuni syurga. Aku redha dengan segala yang Kau takdirkan ke atas diriku. Dan dengan sepenuh pengharapan, doaku agar Kau redhailah segala yang aku lakukan.

“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah kamu ke dalam syurga-Ku.” (Terjemahan surah Al-Fajr ayat 27-30).

Aku tidak mahu menoleh lagi. 49 tahun kehidupanku Kau penuhi dengan warna-warni. 49 tahun yang sarat dengan kebahagiaan, kasih sayang dan kejayaan biarpun sesekali diterjah dengan kedukaan, kesakitan, kelukaan dan kekecewaan. Aku tidak pernah menyesali takdir yang telah Kau tetapkan padaku.

Di selang masa, ada ketikanya aku seakan tidak mampu menanggung beban yang begitu berat ku rasakan, namun beban itu seolah dibawa angin lalu tatkala aku menyebut namaMu dalam sendu yang sarat. Di celah juraian airmata, Kau hadirkan kekuatan untuk aku bangkit melawan resah.

Kau hadirkan insan-insan hebat untuk menemaniku mengharungi setiap babak dalam hidupku. Aku amat bersyukur dikurniakan seorang lelaki bernama suami yang tidak pernah jemu menyiram cinta di hatiku; dan tidak pernah cuai dalam membimbing aku dan anak-anak untuk menjadi penghuni syurgaMu.

Kedua ibubapaku yang meninggalkan aku pada ketika aku masih amat memerlukan mereka dalam hidupku, namun didikan dan asuhan merekalah yang menjadi tunjang kekuatan hatiku.

Redup wajah kakak-kakak dan abang-abangku memberi ketenangan kepada jiwaku; biarpun ada antara mereka yang hanya mampu ku gambarkan dalam kenanganku, aku tahu kasih sayangku tidak pernah berkurangan walau seinci.

Ya Allah, semoga kehidupanku yang masih berbaki Kau penuhi dengan rahmatMu, dengan kasih sayangMu, dengan redhaMu. Izinkan aku meneruskan usahaku mengerjakan kebajikan  dan meneruskan perjuangan demi agamaMu, bangsa dan negaraku hingga akhir hayat.

Segala puji hanya bagiMu Ya Allah. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Ampunkan aku Ya Allah. Ampunkan segala dosa-dosa kedua ibubapaku. Ampunkan dosa-dosa suami dan anak-anakku; kedua mertuaku, kakak-kakak, abang-abang dan adik-adikku, ipar-ipar dan biras-birasku, anak-anak saudaraku, guru-guru, ustaz ustazah dan pensyarah-pensyarahku, rakan-rakan dan jiran tetanggaku, dan seluruh muslimin dan muslimat yang aku kasihi.

Kurniakan kepada kami akhiran hidup yang baik, yakni husnul khatimah. Letakkan mereka yang pergi terdahulu dariku bersama hamba-hambaMu yang beriman.

Amin.